Categories
AGENDA NASIONAL

Inisiatif JaminKerja bantu rancak pasaran kerja, pulih ekonomi

KUALA LUMPUR, 18 FEB: Inisiatif JaminKerja Keluarga Malaysia yang akan dilancarkan esok adalah kesinambungan usaha untuk merancakkan semula pasaran kerja dan membantu melancarkan pemulihan ekonomi negara.

Ketua Eksekutif Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata sebelum ini usaha itu dilaksanakan melalui Program Insentif PenjanaKerjaya, dan pada tahun lepas berjaya membantu 320,864 pencari kerja mendapatkan pekerjaan menerusi pelbagai program.

“Sebenarnya kalau kita lihat kepada kedua-dua program ini tidak banyak beza. Program Insentif PenjanaKerjaya merupakan program insentif pengambilan pekerja dan latihan, dilaksanakan sejak 2020 untuk golongan perantis, mereka yang berumur bawah 40 tahun serta mereka dalam segmen 40 tahun dan ke atas.

“Inisitiaf JaminKerja pula berbentuk kewangan kepada majikan yang membuat pengambilan pekerja baharu bermula pada 1 Januari lalu dalam kalangan perantis, graduan, golongan mudah terjejas seperti Orang Kurang Upaya (OKU), bekas tentera, bekas banduan, warga emas dan penggangur,” katanya dalam Program Bual Bicara membincangkan topik JaminKerja – Insentif Penggajian Merangsang Pasaran Buruh Negara terbitan Bernama TV malam tadi.

Mohammed Azman berkata di bawah inisiatif JaminKerja, majikan yang mengambil pekerja akan menerima insentif 20 peratus daripada gaji bulanan setiap pekerja, bagi tempoh enam bulan pertama, dan 30 peratus sekiranya pekerja tersebut terus digaji bagi tempoh enam bulan seterusnya.

Inisiatif itu juga, beliau berkata turut memanfaatkan pekerja dengan elaun mobiliti sebanyak RM500, yang akan dibayar sekiranya mereka terpaksa bergerak dari satu negeri atau daerah ke tempat baharu untuk memulakan pekerjaan.

“Langkah ini juga akan membantu melancarkan usaha pemulihan sosioekonomi di samping merancakkan lagi pertumbuhan pekerjaan…jika kita lihat matlamat utamanya untuk mengurangkan penggangguran, sekali gus memastikan mereka yang cari pekerjaan dan majikan yang memerlukan pekerjaan dapat dibantu,” katanya.

Selasa lepas, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz memaklumkan inisiatif JaminKerja yang melibatkan peruntukan RM4.8 bilion akan dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, untuk mewujudkan 600,000 peluang pekerjaan.

Di bawah inisiatif itu, beberapa program akan dilaksana iaitu Insentif Penggajian JaminKerja, Malaysia Shortterm Employment Programme (MySTEP) serta Program Latihan dan Peningkatan Kemahiran, dengan permohonan menyertainya dibuka mulai 17 Januari hingga 30 Jun 2022, yang boleh dibuat melalui laman web Perkeso.

-BERNAMA

 

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Perkeso salur RM629.2 juta bantu individu hilang kerja, pendapatan berkurang

KUALA LUMPUR, 14 DIS: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menyalurkan bantuan kewangan berjumlah RM629.2 juta menerusi Sistem Insurans Pekerja (SIP) sejak awal 18 Mac 2020 sehingga 5 Nov lepas.

Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Awang Hashim berkata bantuan kewangan itu melibatkan tiga kategori iaitu elaun mencari pekerjaan sebanyak RM588.5 juta, elaun pendapatan berkurangan (RM6.9 juta) dan elaun bekerja semula awal (RM33.8 juta).

“Berdasarkan statistik SIP, bilangan permohonan faedah dari 18 Mac 2020 hingga 5 Nov 2021 adalah sebanyak 148,926 permohonan dan daripada jumlah itu, 119,500 permohonan telah diluluskan,” katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Su Keong Siong (PH-Kampar) yang ingin tahu secara terperinci bilangan tuntutan dan jumlah pembayaran yang telah di bayar oleh Perkeso di bawah SIP.

Menurutnya negara merekodkan 55,742 kehilangan pekerjaan sejak Januari hingga 5 Nov lepas dan sebanyak RM324.6 juta telah diluluskan untuk pembayaran faedah kepada individu terlibat.

Sementara itu, beliau berkata hampir 90 peratus individu yang memohon melalui portal MYFurtureJobs telah mendapat pekerjaan.

Menjawab soalan Charles Anthony Santiago (PH-Klang) mengenai rancangan kerajaan untuk meningkatkan gaji minimum kepada RM1,500, Awang berkata Majlis Perundingan Gaji Negara telah melaksanakan Kajian Semula Perintah Gaji Minimum 2020.

Katanya Jawatankuasa Teknikal Perundingan Gaji Negara telah mengadakan perundingan awam dan sesi libat urus melibatkan wakil majikan, pertubuhan majikan, wakil pekerja, kesatuan sekerja dan orang awam bagi mendapatkan input tentang impak pelaksanaan gaji minimum ke atas sosiokonomi negara.

“Proses kajian semula turut mengambil kira indikator-indikator sosioekonomi seperti pendapatan garis kemiskinan, penengah gaji (keupayaan majikan untuk membayar gaji), kadar pengangguran, produktiviti buruh dan perubahan indeks harga pengguna yang mencerminkan kos sara hidup. Indikator-indikator sosioekonomi ini akan mencerminkan pasaran tenaga kerja semasa.

“Kerajaan prihatin dengan kesan kenaikan kadar gaji minimum terhadap perusahan mikro, kecil dan sederhana. Oleh itu, peningkatan gaji minimum sewajarnya dilaksanakan secara berperingkat agar tidak memberi tekanan dan membebankan majikan serta menjejaskan operasi syarikat dan mendedahkan pekerja kepada risiko kehilangan pekerjaan,” katanya.

Justeru, katanya Majlis Perundingan Gaji Negara yang bersidang pada 9 Dis lepas telah menyelesaikan perbincangan dan dalam proses penyediaan kertas Jemaah Menteri untuk dikemukakan bagi pertimbangan dan persetujuan.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Aplikasi ‘PRIHATIN PERKESO’ beri ruang pencarum dapat maklumat caruman

KUALA LUMPUR, 27 NOV: Pencarum Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kini boleh mendapatkan informasi terkini mengenai caruman mereka di aplikasi mudah alih ‘PRIHATIN PERKESO’.

Aplikasi itu memberi kemudahan dan pengalaman digitalisasi kepada pencarum untuk mendapatkan informasi terkini hanya di hujung jari meliputi caruman bagi Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969, Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 serta Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017.

Perkeso dalam kenyataan menyebut aplikasi itu juga boleh digunakan bagi membuat permohonan Sistem Insurans Pekerja (SIP) Prihatin 2.0 atau Elaun Mencari Pekerjaan (EMP) di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH).

“Dengan adanya aplikasi ini, Perkeso akan terus memperkasa dan menyediakan jaringan perlindungan sosial yang lebih komprehensif dan menyeluruh kepada pemegang taruhnya,” menurut kenyataan itu.

Aplikasi PRIHATIN PERKESO boleh dimuat turun secara percuma melalui App Store/Google Play.

Majlis pelancaran aplikasi itu disempurnakan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan bersempena dengan Majlis Gala Sambutan Jubli Emas agensi berkenaan yang ke-50, malam tadi.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Perkeso anjur karnival kerja esok, tawar lebih 7,000 jawatan

KUALA LUMPUR, 8 OKT: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) akan menganjurkan Karnival Kerjaya UP (Urban Poor) Jubli Emas Perkeso yang menawarkan lebih 7,000 kekosongan jawatan kepada pencari kerja esok.

Perkeso dalam kenyataan hari ini memaklumkan karnival bersempena sambutan jubli emasnya itu bertujuan membantu golongan rentan bandar mendapatkan pekerjaan khususnya ketika tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN) agar masalah pengangguran dapat ditangani segera.

“Berlainan dengan siri Program Kerjaya UP yang pernah dilaksanakan secara fizikal sebelum ini, Karnival Kerjaya UP Jubli Emas Perkeso ini dijalankan sepenuhnya secara dalam talian dengan penglibatan 71 majikan di enam buah negeri iaitu Perlis, Pulau Pinang, Selangor, Johor, Terengganu dan Sabah serta dua Wilayah Persekutuan iaitu Kuala Lumpur dan Putrajaya,” menurut kenyataan itu.

Menurut Perkeso pendaftaran ke sesi temu duga Karnival Kerjaya UP Jubli Emas Perkeso itu adalah percuma dan terbuka kepada semua golongan pencari kerja.

Selain itu, pencari kerja yang bukan pencarum Perkeso seperti graduan baharu, lepasan sekolah dan pekerja sektor tidak formal juga boleh membuat permohonan insentif SIP (Sistem Insurans Pekerjaan) Prihatin 2.0 dengan mengemukakan bukti penyertaan mereka dalam mana-mana sesi temu duga yang dijalankan di karnival itu.

Perkeso berharap pencari kerja daripada golongan B40 bandar akan menggunakan peluang itu untuk mendapatkan pekerjaan demi kelestarian hidup masing-masing.

Pencari kerja yang berminat boleh mendaftar di Portal Pekerjaan Negara, MYFutureJobs menerusi pautan http://www.myfuturejobs.gov.my atau hubungi nombor Careline Perkeso 1-300-22-8000 atau 03-8091 5300.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Subsidi Upah Perkeso selamatkan 2.9 juta pekerja, lebih 300,000 majikan

KUALA LUMPUR, 4 OKT: Kira-kira 2.9 juta pekerja dan lebih 300,000 majikan dapat diselamatkan menerusi Program Subsidi Upah (PSU) dengan peruntukan berjumlah RM18 bilion yang disalurkan menerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sehingga kini.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan berkata pelaksanaan PSU merupakan satu pendekatan yang amat baik bagi membantu majikan dan pekerja yang terkesan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan amat disambut baik oleh golongan berkenaan.

“Kita lihat sejak PKP pertama sehingga kini, PSU jadi program cukup popular dalam kalangan warga kerja dan industri sehingga permintaan cukup tinggi daripada industri untuk memastikan kerajaan membekalkan peruntukan cukup bagi ketiga-tiga PKP,” katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (PAKATAN-Kulim Bandar Baharu) di Dewan Rakyat berhubung impak peruntukan besar RM18 bilion untuk PSU bagi pekerjaan yang dapat diselamatkan.

Sebelum ini media melaporkan Perkeso membayar lebih RM18 bilion dalam bentuk subsidi upah, elaun pencarian pekerjaan melalui insentif yang disediakan di bawah tujuh pakej rangsangan, setakat 6 September lepas.

Menjawab soalan asal Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) berhubung jumlah penganggur, Saravanan berkata Laporan Survei Tenaga Buruh dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan pada suku kedua tahun ini, kadar pengangguran adalah sebanyak 4.8 peratus iaitu seramai 768,700 orang.

Bagaimanapun Saravanan berkata pada Julai tahun ini, terdapat peningkatan bilangan penganggur seramai 9,500 orang menjadikan jumlah penganggur bersamaan dengan 778,200 orang.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Caruman Perkeso guru Kafa jamin kebajikan warga pendidik

SHAH ALAM, 23 OGOS: Caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kepada guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) mampu menjamin kebajikan warga pendidik di negeri ini.

Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor bertitah inisiatif diperkenalkan Kerajaan Negeri dengan perbelanjaan RM1.1 juta memanfaatkan seramai 4,200 guru Kafa.

“Beta amat berkenan dengan langkah Kerajaan Negeri memperkenalkan caruman Perkeso kepada 4,200 guru Kafa. Langkah ini bagi memastikan kebajikan warga pendidik terus dijamin dan dipelihara,” titah Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

Baginda bertitah pada Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor ke-14 di Bangunan Annex di sini hari ini.

Dalam titah Baginda, Sultan Sharafuddin turut berkenan pembinaan beberapa sekolah baharu yang beroperasi tahun ini dengan peruntukan keseluruhan RM22 juta.

Baginda bertitah sekolah tersebut meliputi Maahad Integrasi Tahfiz Selangor di Pandan Indah, Hulu Langat; Sekolah Rendah Agama (SRA) Denai Alam, Shah Alam dan SRA Country Homes, Gombak.

“Ini adalah bukti komitmen kerajaan beta bagi memastikan agenda pendidikan Islam terus diperkasa. Pendidikan adalah tunjang utama dalam aspek pembangunan modal insan,” titah baginda.

Siaran langsung sidang dewan negeri boleh ditonton menerusi Youtube SelangorTV dan Facebook MediaSelangor. Laporan berita pula boleh diikuti melalui portal selangorkini.my.

Categories
AGENDA NASIONAL

Pekerja, majikan terjejas Covid-19 diminta dapatkan faedah sistem insurans

KUALA LUMPUR, 23 JUN: Pekerja dan majikan dalam semua sektor termasuk peruncitan dan membeli-belah yang terkesan akibat pandemik Covid-19 diminta mendapatkan bantuan atau faedah sementara ditawarkan kerajaan melalui Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Kementerian Sumber Manusia (KSM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan antara bantuan SIP bagi pekerja yang kehilangan pekerjaan adalah Elaun Mencari Pekerjaan (EMP), Elaun Bekerja Semula Awal (EBSA), Elaun Pendapatan Berkurangan (EPB), Elaun Latihan dan faedah bantuan pencarian pekerjaan.

“Selain itu, fi latihan juga dibayar kepada penyedia latihan yang berdaftar dengan jumlah maksimum sebanyak RM4,000.

SIP merupakan satu program jaringan keselamatan sosial bertujuan membantu pekerja kehilangan pekerjaan untuk mendapatkan bantuan kewangan secara sementara dan membantu mereka yang terkesan untuk mendapatkan pekerjaan agar dapat meneruskan kelangsungan hidup,” katanya.

Kenyataan itu turut memaklumkan individu berinsurans akan diberi nasihat dan bantuan serta peluang untuk meningkatkan kemahiran melalui skim latihan disediakan kerajaan.

“Pekerja yang kehilangan pekerjaan juga boleh mendapatkan khidmat nasihat daripada Jabatan Tenaga Kerja dan Jabatan Perhubungan Perusahaan Malaysia secara dalam talian berhubung permasalahan dihadapi,” menurut kenyataan itu.

KSM turut meminta agar permohonan tuntutan faedah SIP dibuat sama ada secara dalam talian di portal SIP atau hadir di mana-mana kaunter Perkeso berhampiran.

Selain itu, pekerja yang terkesan juga boleh melayari Portal Pekerjaan Negara MYFutureJobs di http://www.myfuturejobs.gov.my yang terbuka kepada semua lapisan masyarakat untuk mendapatkan peluang pekerjaan.

“Pada masa ini terdapat 242,598 kekosongan jawatan aktif yang berdaftar di bawah Portal Pekerjaan Negara MYFutureJobs,” menurut kenyataan itu.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh melayari pautan https://eiscentre.perkeso.gov.my/ms/utama/ atau hubungi Pusat Khidmat Pelanggan di talian 1-300-22-8000 atau melalui e-mel ke [email protected].

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Menteri: Mangsa insiden LRT boleh tuntut faedah Perkeso

PUTRAJAYA, 26 MEI: Mangsa kemalangan tren Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya pada Isnin layak menuntut bantuan faedah seperti yang tertakluk di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) dan Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 (Akta 789), kata Menteri Sumber Manusia Datuk M. Saravanan.

Beliau berkata Kementerian Sumber Manusia melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) komited untuk memproses tuntutan faedah daripada mangsa kemalangan terbabit dan memastikan segala bantuan disalurkan dengan kadar segera.

“Di bawah Akta 4, Perkeso menyediakan perlindungan kepada pekerja yang mengalami kemalangan ketika sedang bekerja atau semasa perjalanan pergi dan balik dari kediaman dan tempat kerja mereka menerusi Skim Bencana Pekerjaan.

“Sehubungan itu, mangsa kemalangan tren LRT terbabit yang mencarum dengan Perkeso dan disahkan mengalami kes bencana kerja layak menerima bantuan faedah di bawah Skim Bencana Pekerjaan,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Saravanan berkata bagi mangsa kemalangan terdiri daripada Orang Bekerja Sendiri (OBS) yang berdaftar dan mencarum dengan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) di bawah Akta 789, mereka layak memohon faedah Perkeso jika kemalangan itu berlaku sewaktu mereka menjalankan aktiviti pekerjaan sendiri atau dalam perjalanan pergi bekerja atau balik ke rumah.

Beliau berkata antara manfaat yang disediakan kepada mangsa yang layak di bawah kedua-dua akta ialah rawatan perubatan percuma di klinik panel Perkeso atau klinik dan hospital kerajaan menerusi Faedah Perubatan.

Katanya selain itu, bagi mereka yang diberi cuti sakit dan disahkan oleh doktor akan menerima bayaran Faedah Hilang Upaya Sementara (FHUS) sepanjang tempoh cuti sakit mereka.

Saravanan juga berkata jika terdapat mangsa yang disahkan mengalami kecederaan parah sehingga menyebabkan hilang upaya kekal akibat kemalangan itu, mereka akan dibantu dengan Faedah Hilang Upaya Kekal (FHUK) dan Kemudahan Pemulihan Jasmani iaitu bekalan alat prostetik, ortotik dan ortopedik seperti kaki dan tangan palsu, kerusi roda, tongkat serta kasut khas.

“Mengambil kira keadaan mangsa yang cedera dan mungkin sedang menjalani rawatan, saya menyeru majikan ataupun ahli keluarga mangsa supaya segera mengemukakan tuntutan permohonan faedah di mana-mana pejabat Perkeso yang berdekatan.

“Saya ingin mengambil peluang ini untuk menzahirkan rasa simpati kepada mangsa-mangsa kemalangan ini dan berharap agar semua mangsa segera pulih daripada kecederaan yang dialami,” katanya.

Untuk pertanyaan lanjut, boleh hubungi nombor careline Perkeso di 1-300-22-8000 atau e-mel kepada [email protected].

Terdahulu, media melaporkan 47 penumpang cedera parah manakala 166 mengalami kecederaan ringan apabila sebuah tren membawa penumpang dan sebuah tren rosak yang sedang dipandu uji bertembung pada kira-kira 8.45 malam Isnin.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Perkeso sasar lindungi 200,000 orang bekerja sendiri

KUALA LUMPUR, 9 MEI: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menyasarkan untuk melindungi 200,000 pekerja aktif daripada kategori Orang Bekerja Sendiri (OBS) menjelang akhir tahun ini.

Perkeso dalam satu kenyataan memaklumkan Majlis Pekerjaan Negara (NEC) menyokong dan memperakui perancangan pertubuhan itu untuk meluaskan liputan perlindungan keselamatan sosial yang diberikan kepada pelbagai kumpulan OBS melalui inisiatif kolaborasi bersama beberapa pihak.

Kolaborasi itu termasuk dengan Kementerian Pengangkutan atau persatuan pekerja seperti Lembaga Kemajuan Perikanan Malaysia dan Persatuan Seniman Malaysia.

Kenyataan itu menyebut Perkeso telah memaklumkan terdapat peningkatan positif dalam jumlah OBS termasuk pekerja sampingan yang mendapat perlindungan sosial daripada pertubuhan itu semasa mesyuarat ketiga NEC yang dipengerusikan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, kelmarin.

Menurut Perkeso, jumlah OBS aktif setakat ini berjumlah lebih 142,000 individu, meningkat daripada 2,338 individu pada 2017; lebih 71,000 pada tahun 2019 dan lebih 80,000 (2020).

“Lonjakan ini adalah hasil pengiktirafan kerajaan terhadap peranan penting yang dimainkan oleh mereka yang bekerja sendiri termasuk pekerja gig terutamanya dalam mendepani pandemik Covid-19 yang melanda,” menurut kenyataan itu.

Pengiktirafan itu membolehkan Perkeso dengan sokongan Kementerian Kewangan menerusi pelbagai pakej rangsangan yang diperkenalkan merangka tiga program padanan caruman bagi perlindungan sosial ke atas golongan bekerja sendiri termasuk PenjanaGig, Skim Pekerjaan Sendiri (SPS) Lindung dan SPS Prihatin Wanita.

Selain itu, Perkeso bersama-sama Kementerian Sumber Manusia merancang untuk meminda Akta Sistem Insurans Pekerjaan (Akta 800) yang akan memberikan perlindungan kepada kumpulan OBS apabila berlaku kehilangan pekerjaan atau pendapatan akibat daripada kejutan ekonomi, bencana alam dan lain-lain.

“OBS yang kehilangan pekerjaan atau pendapatan akan diberi akses kepada perkhidmatan pekerjaan menerusi portal MYFutureJobs dan program pasaran buruh aktif di bawah Perkeso yang akan membantu dalam mengurangkan tempoh masa pengangguran dan juga peningkatan kerjaya mereka,” menurut kenyataan itu.

-BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

Lebih 500 peluang kerja menanti asnaf Selangor

SHAH ALAM, 3 APRIL: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menawarkan lebih 500 peluang pekerjaan kepada golongan asnaf negeri ini melalui penganjuran Karnival Penjana Kerjaya.

Agensi itu dalam kenyataan di Facebook berkata program bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) berlangsung pada 5 dan 6 April mulai jam 9 pagi hingga 4 petang.

“Daftar segera di https://bit.ly/LZS2021. Ajak dan sebarkan kepada kenalan asnaf untuk hadir,” maklum LZS.

Menurut agensi itu, setiap calon perlu melayari portal www.myfuturejobs.gov.my untuk maklumat lanjut berhubung kekosongan dan permohonan jawatan.

LZS dan Perkeso kini dalam persiapan akhir bagi melancarkan program temu duga secara fizikal yang akan berlangsung kelak.

Sebarang pertanyaan boleh hubungi 019-6348385 (Helmy), 016-5003092 (Zaim), 019-2945266 (Isma), 019-2969846 (Hassan) dan 019-3720019 (Iqbal).

Categories
AGENDA NASIONAL

Pencarum kemalangan layak mohon faedah meski tiada lesen memandu

KUALA LUMPUR, 21 MAC: Setiap pencarum Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang mengalami kemalangan semasa bekerja atau kemalangan berkaitan termasuk berpunca daripada pekerjaan, layak menuntut faedah di bawah Skim Bencana pekerjaan berdasarkan Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan 1969 dan Peraturan-Peraturan (Am) Keselamatan Sosial 1971.

Perkeso dalam kenyataan hari ini menjelaskan dakwaan seorang pakar keselamatan jalan raya bahawa individu yang tidak mempunyai lesen memandu tidak layak menuntut sebarang faedah daripada Perkeso jika terlibat dalam kemalangan jalan raya, adalah tidak tepat dan mengelirukan orang ramai.

“Perkeso menegaskan bahawa pihaknya tidak menetapkan keperluan lesen memandu sebagai satu syarat ataupun syarat tambahan untuk semua tuntutan faedah di bawah skim-skim Perkeso.

“Kesalahan tidak mempunyai lesen sewaktu memandu di jalan raya adalah perkara perlu diselesaikan antara individu terbabit dengan pihak berkuasa berkaitan…dakwaan pakar berkenaan yang disiarkan di sebuah portal berita semalam adalah salah sama sekali,” katanya.

Menurut kenyatan itu, antara dokumentasi mandatori yang perlu dikemukakan untuk tuntutan kemalangan di bawah Skim Bencana Pekerjaan adalah Borang 34, laporan polis, sijil cuti sakit dan peta lakar kemalangan.

“Bagi setiap permohonan yang diterima, Perkeso akan menjalankan siasatan dan membuat pengesahan sebelum kelulusan diberi dan pembayaran dibuat,” katanya sambil meminta akhbar berkenaan membetulkan kenyataan tersebut dengan segera.

Ia bagi mengelakkan kekeliruan umum yang boleh menimbulkan tanggapan negatif terhadap skim perlindungan sosial dan bantuan-bantuan yang disediakan Perkeso kepada para pencarum dan golongan sasar, menurut kenyataan itu.

Maklumat lanjut berkenaan syarat-syarat kelayakan dan skim bantuan Perkeso, orang ramai boleh merujuk laman web www.perkeso.gov.my atau menghubungi Pegawai Perkhidmatan Pelanggan Perkeso di talian 1-300-22-8000 atau e-mel [email protected].

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Perkeso bantu cari kerja, tumpu golongan B40

KUALA LUMPUR, 20 MAC: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) akan menganjurkan program Jom Kerja bagi membantu individu terutama golongan B40 yang terkesan akibat pandemik Covid-19 mendapatkan pekerjaan.

Perkeso dalam kenyataannya di sini hari ini memaklumkan sebagai permulaan, program Jom Kerja akan memfokus kepada langkah membantu pencari kerja di sekitar kawasan Projek Perumahan Awam dan Projek Perumahan Rakyat (PA/PPR) di Kuala Lumpur.

“Program Jom Kerja dimulakan dengan Program Persediaan Temu Duga-Sesi Profiling. Sesi Profiling yang berlangsung dari 9 pagi hingga 4 petang hari ini yang diadakan di 24 lokasi di PA/PPR merangkumi kawasan Titiwangsa, Setiawangsa, Lembah Pantai, Bandar Tun Razak, Batu, Seputeh dan Cheras,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu menyebut program hari ini akan diikuti dengan Karnival Pekerjaan yang berlangsung pada 11 April.

Perkeso juga menyeru semua pencari kerja termasuk graduan, pekerja yang kehilangan pekerjaan, lepasan sekolah dan sesiapa sahaja yang ingin mencari pekerjaan supaya menghadiri sesi profiling itu.

Individu yang berminat boleh membuat pendaftaran di pautan http://bit.ly/PPRKL bagi membolehkan Pegawai Perkhidmatan Pekerjaan Perkeso membantu mereka.

“Selain itu, pencari kerja boleh terus berdaftar di Portal Pekerjaan MYFutureJobs yang dikendalikan Perkeso menerusi laman sesawang www.myfuturejobs.gov.my yang mempunyai lebih 180,000 kekosongan jawatan aktif untuk dipohon dari semasa ke semasa,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, seorang pencari kerja, Nur Amirah Nor Muhammad, 22, berkata program tersebut amat berguna terutama pada masa ini ketika ramai individu kehilangan kerja akibat pandemik Covid-19.

Nur Balkis Saidam, 26, pula berkata penganjuran program sedemikian perlu digiatkan lagi kerana ia memudahkan pencari kerja mencari kerjaya yang bersesuaian dengan kemahiran dan kelayakan masing-masing.

-BERNAMA