Categories
AGENDA NASIONAL

Contohi peladang Kuala Langat pasar hasil tani tanpa orang tengah – menteri

KUALA LANGAT, 26 JAN: Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di seluruh negara diseru mencontohi PPK Kuala Langat yang mampu menjana keuntungan melalui pemasaran hasil pertanian tanpa penglibatan orang tengah.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata ini kerana PPK Kuala Langat melalui Pusat Pengumpulan Hasil Pertanian (PPHP) di Telok Penglima Garang menjadi lokasi mengumpul hasil pertanian di sekitar kawasan tersebut sebelum dihantar ke pasar raya dan pasar borong di Selangor dan Kuala Lumpur.

“Aktiviti pemasaran melalui PPHP seperti ini mampu menjana pendapatan yang tinggi dan wajar dicontohi oleh PPK lain.

“Pengumpulan dan pemasaran hasil pertanian melalui PPHP ini juga mampu mengurangkan pengaruh orang tengah di samping meningkatkan hasil pendapatan petani.

“Kementerian berharap lebih banyak PPK berperanan aktif dalam industri makanan negara sehingga mampu mempunyai kewangan yang kukuh,” katanya selepas melakukan lawatan kerja di PPHP PPK Kuala Langat hari ini.

Sementara itu, mengulas mengenai kenaikan harga makanan, Kiandee berkata ia melibatkan makanan dan sayuran yang diimport kerana harganya tertakluk kepada pasaran dunia.

“Seperti contoh, jagung yang diimport untuk dijadikan makanan haiwan. Harganya sedang meningkat sekarang, jadi ia turut akan memberi kesan kepada industri penternakan ayam dan lembu.

“Bagaimanapun, kenaikan ini masih terkawal dan kementerian saya bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna sedang memantau perkara ini,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Stok stabil, menteri nafi beras bertahan takat dua bulan

KUALA LUMPUR, 28 MAC: Dakwaan jumlah stok beras negara hanya mampu bertahan selama dua setengah bulan tidak benar, sebaliknya keadaan stok beras negara adalah stabil bagi menampung keperluan berterusan rakyat, kata Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.

Beliau memberi jaminan, jumlah stok semasa beras dengan mengambil kira pengeluaran tempatan dan import adalah stabil, terkawal dan konsisten untuk menampung keperluan dalam negara secara berterusan.

Katanya, stok semasa beras tempatan di peringkat kilang, pemborong dan peruncit adalah sebanyak 523,000 tan metrik dan jumlah itu tidak mengambil kira stok pengeluaran beras tempatan dan beras import yang berada dalam negara.

“Buat masa ini, import beras juga tidak terjejas dan berjalan seperti sedia kala. Selain negara Vietnam, beras turut diimport dari negara-negara pengeluar lain seperti Thailand, Pakistan, Myanmar, India, Cambodia dan lain-lain.

“Syarikat Padiberas Nasional Berhad (Bernas) juga diarahkan untuk memastikan dan mempertingkatkan bekalan beras import dalam negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun Kiandee berkata, kebergantungan kepada beras import hanya 30 peratus daripada keseluruhan keperluan dalam negara.

Kementerian juga akan terus memantau bagi memastikan bekalan beras sentiasa mencukupi untuk menampung keperluan bulanan negara sebanyak 200,000 tan metrik.

Orang ramai dinasihatkan supaya tidak bimbang dengan keadaan stok beras dalam negara, katanya.

– BERNAMA