Categories
AGENDA NASIONAL

PKP: KHM harap liga hoki Malaysia boleh dianjur

KUALA LUMPUR, 5 FEB: Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) berharap kerajaan akan meluluskan permohonan kelonggaran sektor sukan dan rekreasi dalam tempoh pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membolehkan penganjuran saingan TNB Liga Hoki Malaysia (TNB MHL) 2021.

Presiden KHM Datuk Seri Subahan Kamal berkata kejohanan itu akan memainkan peranan cukup penting kepada pasukan senior kebangsaan serta skuad Projek Khas Lelaki dan Wanita kerana penganjuran liga tersebut merupakan antara platform untuk pemain mendapatkan sentuhan perlawanan.

Beliau berkata TNB MHL 2021 turut dijadikan sebagai persediaan kepada pasukan negara sebelum menghadapi perlawanan akan datang terutamanya kejohanan antarabangsa.

“Penganjuran TNB MHL 2021 juga tentunya akan memberi impak kepada arena hoki di Malaysia dari sudut kelangsungan ekonomi pemain serta kepercayaan pihak penaja untuk terus menghulurkan penajaan dan tentunya akan membantu merancakkan perjalanan sukan hoki di Malaysia,” katanya dalam kenyataan.

Sebelum ini, KHM terpaksa menunda kejohanan TNB MHL 2021 yang dijadual bermula pada 14 Januari ke Julai atau Ogos depan, selaras dengan pengumuman dibuat Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai pelaksanaan semula PKP bermula 13 hingga 26 Januari lepas.

Mengulas lanjut, Subahan berkata pihaknya akan memastikan setiap tatacara operasi piawai (SOP) yang bakal dikeluarkan selepas mendapat kelulusan pihak kerajaan akan dipatuhi sepenuhnya ketika penganjuran TNB MHL 2021.

Beliau berharap semua pihak akan bersama-sama menunjukkan tahap disiplin tinggi untuk mengikuti segala SOP serta ketetapan yang bakal dibuat supaya kelulusan diberikan kerajaan itu dapat dimanfaatkan sepenuhnya demi kesihatan dan juga kelangsungan sukan hoki di negara ini.

Terdahulu, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata Kementerian Belia dan Sukan (KBS) membentangkan cadangan dan SOP bagi kelonggaran sektor sukan dan rekreasi khususnya berkaitan aktiviti sukan luar, gimnasium dalam kawasan kejiranan serta aktiviti tidak membabitkan sentuhan serta tanpa kehadiran orang ramai.

Antara dibentangkan oleh KBS adalah SOP latihan atlet secara quarantine-based approach (program latihan berpusat secara tertutup dan terkawal) serta SOP kejohanan industri sukan berimpak tinggi seperti liga bola sepak, liga hoki dan liga sepak takraw mengikut model gelembung sukan.

“KHM menyokong penuh dan menyambut baik usaha yang dilakukan oleh KBS menerusi Menteri Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang membentangkan permohonan kelonggaran bagi sektor sukan dan rekreasi dalam tempoh PKP 2.0.

“KHM dalam masa sama juga mengucapkan jutaan terima kasih kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di atas keprihatinan beliau untuk mendengar dan meneliti cadangan dibentangkan oleh KBS yang tentunya memberi kelegaan kepada penggiat sukan negara sekiranya cadangan tersebut diluluskan,” katanya.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL SUKANKINI

Skuad hoki negara dapat ‘sentuhan ajaib’ Taekema

KUALA LUMPUR, 2 MAC: Skuad hoki lelaki negara akan mendapat ‘sentuhan ajaib’ daripada pakar pukulan sudut penalti tersohor dunia, Taeke Taekema, pada kem motivasi skuad negara di Kuantan, bermula 10 Mac ini.

Skuad negara di bawah bimbingan Roelant Oltmans, berpeluang mempelajari teknik melakukan penyudahan yang tepat depan gawang gol lawan daripada pemain Belanda itu semasa kem motivasi selama enam hari itu.

Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Seri Subahan Kamal berkata, pemain berusia 29 tahun itu akan berkongsi idea dan kemahirannya dengan 28 pemain skuad negara semasa kem terbabit bagi menghadapi Kejohanan Siri Final FIH di sini dari 26 April hingga 4 Mei ini.

Beliau berkata, kelemahan dalam melakukan penyudahan pukulan sudut penalti dihadapi skuad negara telah mendorong pihaknya bekerjasama dengan Majlis Sukan Negara (MSN) untuk menjemput Taekema ke kem motivasi terbabit.

“Dalam corak perlawanan hari ini, pukulan sudut penalti menyumbang kepada kemenangan sesuatu pasukan.

“Oleh itu kemahiran sekurang-kurangnya lima pakar pukulan sudut yang ada dalam pasukan perlu dipertajamkan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Ahli Lembaga Eksekutif MHC kali ke-13 di sini, hari ini, lapor BERNAMA.

Sebagai rekod, Taekema diiktiraf sebagai pakar pukulan sudut penalti paling digeruni di dunia dengan menjaringkan 221 gol daripada 242 kali mewakili skuad kebangsaan Belanda sejak 2000 hingga 2011.

Pemain pertahanan itu juga muncul sebagai penjaring terbanyak dengan lapan gol pada Piala Dunia 2010 di New Delhi dan sebelum itu meraih gelaran sama pada Kejohanan Negara-Negara Eropah 2007 dengan 16 gol serta membantu Belanda memenangi pingat perak pada Sukan Olimpik Athens 2004.

Subahan berkata, beliau mahu Oltmans yang dilantik empat bulan lalu, meningkatkan prestasi anak buahnya dalam memburu slot ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Malaysia perlu muncul antara dua pasukan terbaik dalam Siri Final FIH 2019 di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil di sini untuk layak ke pusingan kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020, November ini.

Dalam pada itu, Subahan meletakkan sasaran final untuk dicapai skuad negara pada Kejohanan Piala Sultan Azlan Shah edisi ke-28 di Ipoh dari 23 hingga 30 Mac ini.

“Walaupun Oltmans tidak meletakan sasaran tinggi tetapi pasukan negara yang turun sebagai pasukan tiga terbaik di kejohanan itu perlu memberikan pencapaian yang bagus sekurang-kurangnya layak ke final,” katanya.

Selain tuan rumah Malaysia, Piala Sultan Azlan Shah tahun ini turut disertai India, Kanada, Afrika Selatan, Korea Selatan dan Jepun.