Categories
AGENDA NASIONAL

PKP: KHM harap liga hoki Malaysia boleh dianjur

KUALA LUMPUR, 5 FEB: Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) berharap kerajaan akan meluluskan permohonan kelonggaran sektor sukan dan rekreasi dalam tempoh pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membolehkan penganjuran saingan TNB Liga Hoki Malaysia (TNB MHL) 2021.

Presiden KHM Datuk Seri Subahan Kamal berkata kejohanan itu akan memainkan peranan cukup penting kepada pasukan senior kebangsaan serta skuad Projek Khas Lelaki dan Wanita kerana penganjuran liga tersebut merupakan antara platform untuk pemain mendapatkan sentuhan perlawanan.

Beliau berkata TNB MHL 2021 turut dijadikan sebagai persediaan kepada pasukan negara sebelum menghadapi perlawanan akan datang terutamanya kejohanan antarabangsa.

“Penganjuran TNB MHL 2021 juga tentunya akan memberi impak kepada arena hoki di Malaysia dari sudut kelangsungan ekonomi pemain serta kepercayaan pihak penaja untuk terus menghulurkan penajaan dan tentunya akan membantu merancakkan perjalanan sukan hoki di Malaysia,” katanya dalam kenyataan.

Sebelum ini, KHM terpaksa menunda kejohanan TNB MHL 2021 yang dijadual bermula pada 14 Januari ke Julai atau Ogos depan, selaras dengan pengumuman dibuat Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai pelaksanaan semula PKP bermula 13 hingga 26 Januari lepas.

Mengulas lanjut, Subahan berkata pihaknya akan memastikan setiap tatacara operasi piawai (SOP) yang bakal dikeluarkan selepas mendapat kelulusan pihak kerajaan akan dipatuhi sepenuhnya ketika penganjuran TNB MHL 2021.

Beliau berharap semua pihak akan bersama-sama menunjukkan tahap disiplin tinggi untuk mengikuti segala SOP serta ketetapan yang bakal dibuat supaya kelulusan diberikan kerajaan itu dapat dimanfaatkan sepenuhnya demi kesihatan dan juga kelangsungan sukan hoki di negara ini.

Terdahulu, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata Kementerian Belia dan Sukan (KBS) membentangkan cadangan dan SOP bagi kelonggaran sektor sukan dan rekreasi khususnya berkaitan aktiviti sukan luar, gimnasium dalam kawasan kejiranan serta aktiviti tidak membabitkan sentuhan serta tanpa kehadiran orang ramai.

Antara dibentangkan oleh KBS adalah SOP latihan atlet secara quarantine-based approach (program latihan berpusat secara tertutup dan terkawal) serta SOP kejohanan industri sukan berimpak tinggi seperti liga bola sepak, liga hoki dan liga sepak takraw mengikut model gelembung sukan.

“KHM menyokong penuh dan menyambut baik usaha yang dilakukan oleh KBS menerusi Menteri Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang membentangkan permohonan kelonggaran bagi sektor sukan dan rekreasi dalam tempoh PKP 2.0.

“KHM dalam masa sama juga mengucapkan jutaan terima kasih kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di atas keprihatinan beliau untuk mendengar dan meneliti cadangan dibentangkan oleh KBS yang tentunya memberi kelegaan kepada penggiat sukan negara sekiranya cadangan tersebut diluluskan,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Kejohanan Liga Hoki Malaysia tunda ke Julai atau Ogos

KUALA LUMPUR, 12 JAN: Kejohanan Liga Hoki Malaysia (MHL) 2021 yang dijadualkan bermula Khamis ini, ditunda ke Julai atau Ogos depan.

Penangguhan itu diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) Datuk Seri Anil Jeet Singh dalam satu sidang media di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, di sini hari ini.

Penundaan itu adalah selaras dengan pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula esok hingga 26 Januari ini.

Keputusan untuk menunda kejohanan itu juga dibuat selepas perbincangan bersama barisan Ahli Jawatankuasa Pertandingan, pengurus pasukan yang mengambil bahagian serta barisan Ahli Lembaga Eksekutif KHM.

“Mengikut perancangan Jawatankuasa Pertandingan, kami bercadang menganjurkan semula kejohanan tersebut pada bulan Julai atau Ogos, atau mana-mana tarikh yang bersesuaian di mana semuanya bergantung kepada situasi semasa.

“Saya juga ingin berterima kasih kepada semua pasukan yang bertanding pada tahun ini kerana memberikan kerjasama yang cukup baik,” katanya.

TNB MHL 2021 yang dijadualkan bermula pada 14 Januari hingga 20 Februari bagi kategori lelaki dan 20 Januari hingga 20 Februari bagi kategori wanita, sepatutnya menjadi kejohanan pertama dalam kalendar kejohanan KHM bagi 2021.

– BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

KHM: Liga Hoki Malaysia 2021 berlangsung tanpa penonton

KUALA LUMPUR, 12 DIS: Kejohanan Liga Hoki Malaysia (MHL) 2021 akan dijalankan secara berpusat di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil dan dilangsungkan tanpa kehadiran penonton.

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) Datuk Seri Anil Jeet Singh berkata keputusan itu dibuat ekoran kebimbangan terhadap penularan wabak Covid-19 yang masih belum reda.

“Kami juga tidak merancang untuk membawa masuk penonton bagi menyaksikan saingan liga di stadium kerana khuatir akan berlakunya sebarang masalah melibatkan pematuhan tatacara operasi piawai (SOP).

“Bukan mudah untuk memastikan setiap penonton mengikuti SOP yang ditetapkan dengan sebaiknya,” katanya pada sidang media hari ini.

Kejohanan yang akan membuka tirai pada 14 Jan hingga 20 Feb depan itu menjadi perlawanan sulung dianjurkan mengikut kalendar kejohanan KHM bagi musim 2021.

Kategori lelaki akan bermula pada 14 Jan hingga 20 Feb depan bakal menampilkan Sabah selaku muka baharu selain tujuh pasukan musim lalu iaitu Terengganu Hockey Team (THT), Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Tenaga Nasional Berhad (TNB), TNB Thunderbolts, Maybank, Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Nurinsafi HT.

Sementara kategori wanita yang akan bermula pada 20 Jan hingga 20 Feb pula akan disertai oleh empat pasukan musim lepas iaitu PKS Uniten–KPT, PDRM Blue Warriors, Mutiara Impian-MSSPP-PSHA dan Sabah selain dua pasukan baharu, Young Tigress dan UniKL Ladies yang membuat penampilan sulung, bagi musim 2021.

Berbeza dengan penganjuran tahun sebelumnya, musim 2021 akan memperkenalkan format perlawanan yang baharu dengan ia dijalankan secara saingan liga satu pusingan dengan pasukan yang berada di tangga teratas liga akan muncul selaku juara liga.

Empat pasukan yang berada pada kedudukan teratas liga pula akan meneruskan pemburuan Piala TNB 2021 bagi kategori lelaki dan Piala Vivian May Soars bagi kategori wanita dengan aksi separuh akhir akan dijalankan secara timbal balik bagi menentukan pasukan yang melangkah ke pentas final.

“Melihat kepada situasi pandemik Covid-19 ketika ini, kami memutuskan untuk mengubah format kejohanan pada musim 2021, kepada liga satu pusingan dan secara berpusat di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil kerana ingin memastikan semua SOP dapat diikuti dengan sebaiknya selain memudahkan urusan pemantauan dijalankan,” katanya.

-BERNAMA