Categories
AGENSI SELANGOR

Wanita disyaki dera anak sampai gigi patah ditahan

KUALA LUMPUR, 6 MAC: Seorang wanita ditahan selepas disyaki mendera anak perempuannya berusia 17 tahun di Taman Pandan Mewah, Ampang di sini.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asieten Komisioner Polis Noor Azmi Yusoff berkata pihaknya menerima laporan berkenaan kejadian itu Rabu lalu sebelum menahan wanita berusia 39 tahun itu semalam.

Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati terdapat kesan melecur di perut mangsa selain cedera di bahagian kuku dan patah gigi.

“Mangsa mengalami gangguan emosi sehingga enggan pulang ke rumah. Remaja itu dibawa ke Hospital Ampang untuk rawatan dan pemeriksaan,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Noor Azmi berkata, suspek yang tidak bekerja itu ditahan reman lima hari sehingga 10 Mac depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

– BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

Juwairiya: Ibu dinasihat kawal emosi atasi kes dera anak

SHAH ALAM, 17 FEB: Wanita bergelar ibu perlu bijak mengawal emosi bagi mengurangkan kes penderaan anak kandung, kata pengerusi Institut Wanita Berdaya.

Enggan membandingkan status ibu kandung atau tiri, Juwairiya Zulkifli berkata golongan itu seharusnya membentuk suasana positif dan selamat kepada anak-anak.

“Saya juga meminta masyarakat memainkan peranan masing-masing dengan mengambil tahu antara satu sama lain bagi mengelak kes penderaan berlaku dalam kejiranan mereka,” katanya.

Pada 14 Februari lalu, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat membentangkan statistik menunjukkan lebih 39 peratus atau 192 kes daripada 685 kes dera dilakukan ibu kandung pada tahun lalu.

Golongan bapa pula mencatatkan 158 kes atau 32 peratus, pengasuh taska atau penjaga pusat jagaan membabitkan 29 kes (enam peratus), manakala kes melibatkan ibu tiri hanya tiga peratus atau 15 kes.