Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Niaga hadapan emas dijangka tidak berubah minggu depan

KUALA LUMPUR, 2 JAN: Urus niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives dijangka tidak banyak berubah minggu depan berikutan ketiadaan pemangkin baharu, kata peniaga.

Bagaimanapun, Peniaga Phillip Futures Sdn Bhd Lee Pei Wan berkata emas tempatan akan menjejaki prestasi niaga hadapan emas COMEX Amerika Syarikat (AS) yang diunjur terus kukuh berikutan kelemahan dolar AS dan ketidaktentuan pasaran.

“Kelemahan dolar AS akan menyaksikan jongkong emas dalam denominasi mata wang itu lebih murah bagi pelabur yang akan meningkatkan lagi permintaan terhadap logam berharga itu.

“Pasaran juga menunggu maklumat awal data tuntutan pengangguran AS bagi mengukur sejauh mana keadaan ekonomi negara itu,” katanya kepada Bernama.

Pasaran tempatan ditutup pada Jumaat bersempena cuti umum Tahun Baharu 2021 dan dagangan dibuka semula pada Isnin ini.

Bagi perbandingan Khamis hingga Khamis, niaga hadapan emas di Bursa Malaysia bagi Disember 2020 susut 65 mata asas kepada RM244.25 segram manakala Januari 2021, Februari 2021 dan Mac 2021 tidak berubah pada RM235.60, RM233.60 dan RM233.60.

Jumlah dagangan mingguan sifar berbanding empat lot minggu lepas bernilai RM97,250 manakala kepentingan terbuka berkurangan kepada 24 kontrak daripada 25 kontrak, sebelum ini.

Dalam pada itu, harga emas fizikal merosot 75 sen kepada RM236.66 segram daripada RM237.41 segram pada minggu lepas.

– BERNAMA