Categories
NASIONAL

Dewan Negeri Terengganu dijangka bubar, 6 ADUN Umno keluar parti

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 13 MEI : Dewan Negeri Terengganu dijangka dibubarkan bagi membolehkan Pilihan Raya Negeri ekoran krisis politik yang berlaku dalam Kerajaan Negeri di kalangan wakil rakyat Umno.

Memetik portal Tranungkite.com, setakat ini dikhabarkan seramai enam orang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Umno mengisytiharkan keluar parti itu dan bergelar wakil rakyat bebas.

Mengulas desas desus itu, ADUN Bandar, Azan Ismail (PKR) mengesahkan perkembangan yang berlaku dan mendakwa Barisan Nasional (BN) secara automatik gugur sebagai Kerajaan Negeri di Terengganu.

Azan Ismail“Secara mudahnya, Umno dan BN hanya minoriti, maka tidak layak untuk membentuk kerajaan. Tetapi, upacara rasmi untuk angkat sumpah mengganti kerajaan yang ada masih belum diadakan, kita tengok apa yang berlaku.

“Kemungkinan juga akan ada usaha untuk menarik mereka ini masuk Umno semula,” katanya kepada Selangor Kini, di sini, hari ini.

Krisis itu timbul apabila Bekas Menteri Besar Terengganu yang juga ADUN Kijal Datuk Seri Ahmad Said bertindak meletak jawatan tidak lama selepas penggantinya Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman mengangkat sumpah memegang jawatan di hadapan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin di Istana Syarqiyyah, Kuala Terengganu, semalam.

Beliau mendakwa tidak puas hati dengan masa pertukaran menteri besar yang dibuat beberapa hari sebelum perkahwinan anaknya, pada 17 Mei ini.

Malah, beliau turut membayangkan lebih ramai lagi ADUN negeri itu akan mengikuti langkahnya, namun tidak menyatakan bilangan tepat.

Datuk-Seri-Ahmad-SaidMengikut jejak langkah beliau setakat pagi ini adalah ADUN Ajil, Ghazali Taib dan Exco Kemajuan Luar Bandar Negeri yang juga ADUN Bukit Besi, Roslee Daud.

Sumber tidak rasmi turut menyatakan ADUN Permaisuri, Datuk Mohd Jidin Shafie; ADUN Kemasik, Rosli Othman dan ADUN Hulu Besut, Nawi Mohamad turut mengambil tindakan sama keluar Umno dan bergelar ADUN bebas.

Bagaimanapun, Mohd Jidin dan Rosli melalui Berita Harian Online menafikan perkara itu sementara Nawi Mohamad gagal dihubungi.

Namun,  Azan turut mengesahkan lima lagi ADUN Umno turut isytihar tindakan sama dan bergelar bebas iaitu Ghazali Taib (Ajil), Roslee Daud (Bukit Besi), Datuk Mohd Jidin Shafie (Permaisuri), Rosli Othman (Kemasik) dan Nawi Mohamad (Hulu Besut).

-NFN-