Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Saringan percuma: 35 disyaki positif, jangkitan dalam komuniti masih berlaku

AMPANG, 27 JUN: Sebanyak 35 kes disyaki positif Covid-19 dikesan dalam Saringan Komuniti fasa tiga di Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Klang dan Bukit Antarabangsa.

Ahli Dewan Negeri Hulu Klang berkata jumlah setakat jam 11 pagiĀ  itu menunjukkan jangkitan masih dikesan dalam komuniti.

“Keputusan awal ini menunjukkan peratusan jangkitan dalam komuniti masih tinggi kerana jumlah tersebut melibatkan kira-kira 600 peserta saringan.

“Semua individu disyaki positif ini perlu menjalani ujian tindak balas berantai polimeras masa nyata (rt-PCR) bagi mengesahkan status jangkitan,” kata Saari Sungib di Dewan Serbaguna MPAJ AU5 hari ini.

Selain itu katanya pemberian vaksin perlu segera diberikan kepada masyarakat supaya risiko terdedah dengan Covid-19 dapat dikurangkan.

Saringan Komuniti fasa tiga bermula Sabtu lalu di DUN Seri Setia dan Taman Medan diikuti Gombak Setia, Sungai Tua dan Taman Templer serta diikuti semalam di Kajang dan berakhir hari ini di Hulu Klang serta Bukit Antarabangsa.