Categories
SELANGOR

“Saya hanya orang kecil tak berharta, bukan macam Lokman” – Zawawi

OLEH NAZLI IBRAHIM

KLANG, 3 OGOS: Calon KEADILAN bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N49 Sungai Kandis, Mohd Zawawi Mughni menegaskan beliau memegang teguh prinsip menolak rasuah dan politik wang.

Mohd Zawawi berkata, beliau bukanlah seperti calon Barisan Nasional (BN), Lokman Adam yang dilihat mempunyai kedudukan dan sumber kewangan besar.

“Saya bukan macam dia. Saya adalah orang kecil yang tak banyak harta dan saya berpegang pada prinsip bahawa kami menentang rasuah, politik wang dan apa jua yang sewaktu dengannya.

“Kalau dia menuduh begitu pastikan tuduhan itu bukan cerita kosong yang dilemparkan untuk meraih sokongan, buktikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas tuduhan Lokman kononnya beliau akan menabur wang bagi membeli undi pada sidang media di Bilik Gerakan Utama KEADILAN PRK DUN Sungai Kandis di sini, hari ini.

Mohd Zawawi berkata, beliau mengalu-alukan sekiranya Lokman mahu membuat laporan kepada mana-mana pihak bertanggungjawab.

Katanya, pihak beliau sentiasa terbuka berikutan tiada apa yang mahu disembunyikan daripada pengetahuan umum.

Categories
SELANGOR

Kehadiran pimpinan utama solidariti kesepakatan PAKATAN

OLEH AFIX REDZUAN

SUNGAI KANDIS, 1 OGOS: Kehadiran Pengerusi Pakatan Harapan (PAKATAN), Tun Dr Mahathir Mohamad yang dijadual hadir berkempen di Sungai kandis Jumaat ini, disifatkan sebagai simbol solidariti antara pimpinan tertinggi PAKATAN.

Calon KEADILAN Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N49 Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, kehadiran pemimpin tertinggi amat dihargai dan berharap kunjungan Tun M itu menjadi realiti.

“Saya terlibat dalam kempen pilihan raya lalu di Taman Sri Andalas di mana ketika itu kami promosikan nama Tun (Mahathir) akan turun di ceramah malam itu yang kami jangka 3,000 orang akan penuh di Padang Rakan Muda.

“Tetapi 12,000 yang hadir sehingga jalan sesak hanya kerana nak dengar suara Tun (Mahathir).

“Kita bukan melihat perlunya mereka turun tapi lebih kepada simbol kerjasama pimpinan utama PAKATAN,” katanya dalam sidang media di Bilik Gerakan Utama KEADILAN, hari ini.

Sebelum ini, Barisan Nasional (BN) menjangkakan Mahathir tidak akan ada turun sepanjang tempoh berkempen di Sungai Kandis.

Proses pembuangan undi PRK DUN Sungai Kandis berlangsung Sabtu ini, 4 Ogos 2018.