Categories
SELANGOR

ABIM sasar Selangor dan KL laksana Dermaga

OLEH NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 20 MEI: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) di bawah agenda pembangunan sosial dan keluarga komited menangani masalah dalam kalangan remaja menerusi program Diriku Permata Berharga (Dermaga).

Menerusi laman sesawang rasminya, ABIM berkata pihaknya mensasarkan Selangor dan Kuala Lumpur sebagai lokasi pelaksanaan program itu.

“Alhamdulillah, berakhir latihan Kejurulatihan Dermaga dianjurkan bersama ABIM WP (Kuala Lumpur) dan ABIM Selangor pada 6-7 Mei lalu.

“Kita berjaya mengumpulkan lebih 20 jurulatih yang bersedia turun lapangan bagi proses pendidikan tidak formal dalam isu pendidikan reproduktif remaja,”katanya.

ABIM REMAJAPertubuhan itu juga berkata, pihaknya sedia menawarkan khidmat Dermaga kepada mana-mana sekolah mahupun pusat tumpuan komuniti termasuk masjid atau surau dalam zon Selangor dan Kuala Lumpur yang besar hati untuk bersama dalam program pendidikan remaja masing-masing.

Dermaga diilhamkan bagi membantu mengukuh kefahaman dan menyampai maklumat betul berkaitan kesihatan reproduktif kanak-kanak dan remaja.

Penubuhannya juga membantu memahamkan bahawa remaja juga punya tanggungjawab menjaga diri sendiri.

“Dermaga juga membantu remaja mengenal pasti tingkah laku berisiko atas sebab diri atau orang lain yang boleh mendekatkan diri pada risiko keselamatan diri,”kata kenyataan itu lagi.