Categories
SELANGOR

7 anak Tawas terima bantuan ‘Donor Advised Fund’

Oleh: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 9 JAN: Tujuh kanak-kanak yang berdaftar di bawah Tabung Warisan Anak Selangor (Tawas) menerima bantuan melalui program ‘Donor Advised Fund’ di bawah Skim Teras, hari ini.

Ahli Tawas itu yang menerima bantuan itu terdiri daripada penghidap pelbagai jenis penyakit kronik dan ia disampaikan Penasihat Yawas, Datuk Anuar Md Zin yang turut dihadiri Pengurus Besar Yawas, Mohd Nor Mohd Zin.

Majoriti penerima penerima menyatakan kesyukuran atas bantuan itu dan masing-masing menerima wang tunai RM1,000 dan RM1,500 mengikut cadangan bantuan.

Kakitangan swasta, Mohd Riduan Sulaiman, 33, yang menerima bagi pihak anaknya, Nur Fatini Damia, 5, sangat berterima kasih dengan Kerajaan Negeri memperkenalkan skim baru itu.

photo 1 (1)Mohd Riduan berkata, dia sebelum ini ibarat peminta sedekah dalam meminta pertolongan bagi mendapatkan sumbangan untuk menjalankan rawatan anaknya yang menghidap leukimia.

“Saya tidak pernah mendapatkan bantuan dari mana-mana pihak walaupun sudah melakukannya ibarat peminta sedekah sebelum ini.

“Saya berterima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana mengotakan janji dan memberi bantuan kepada saya selaras dengan hasrat prihatin kepada rakyat,” katanya.

Bagi Yusni Harmi Yaakob, 37, pula bantuan itu sangat diperlukan ketika ini terutama dia dibuang kerja, sejak tiga bulan lalu.

Yusni berkata, anak keduanya, Muhammad Isyraf Darsuki, 2, baru menjalankan pembedahan jantung berlubang kini sangat memerlukan kos rawatan susulan.

“Anak saya dikesan menghidap jantung berlubang ketika dalam kandungan. Bagaimanapun alhamdulillah, anak saya semakin pulih selepas menjalani pembedahan dengan dana yang disediakan Institusi Jantung Negara.

“Namun, saya masih memerlukan kos rawatan susulan. Terutama, saya baru dibuang kerja dan masih mencari pekerjaan.

“Saya sangat terharu dengan pemberian ini dan berharap program ini dapat diteruskan. Bagi saya, walaupun hanya RM1,500 tetapi ia cukup bermakna dan besar bagi,” katanya.

photo 2 (1)Ibu kepada Alif Muizuddin, 1 tahun 9 bulan, yang menghidap penyakit sawan (epilepsy) sangat terharu dengan bantuan itu.

Normala Ismail, 33, seorang suri rumah hanya mampu mengalirkan air mata dan mengucapkan syukur serta terima kasih kepada Tawas.

“Dengan pendapatan keluarga ketika ini dan tiada bantuan dari mana-mana pihak membuatkan saya sangat sedih. Terima kasih kerana memberi kami sumbangan ini, ia sangat membantu,” katanya.

-NFN-