Categories
SELANGOR

Tambah peruntukan SkimSel dan MiMBAR, rangsang perkembangan niaga, elak terjebak along

Oleh: HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 28 NOV: Cadangan Kerajaan Negeri menambah peruntukan Skim Mikrokredit Selangor (SkimSEl) dan Mikrokredit Miskin Bandar (MiMBAR) kepada RM100 juta tahun depan baik bagi merangsang kerancakan perkembangan Perniagaan Kecil dan Sederhana (PKS).

Setiausaha Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) Selangor, Yahya Sahri, berkata cadangan Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali dalam Belanjawan Selangor 2015 bernas dan tepat waktunya kerana PKS memerlukan suntikan modal pusingan atau modal kerja yang cepat.

B3Lj5YpCUAEz2Do“Kita alu-alukan cadangan meningkatkan peruntukan SkimSel ke RM60 juta dan MiMBAR RM40 juta kerana kebanyakan PKS terbabit dalam sektor makanan, barang keperluan pengguna dan peruncitan. Sektor ini sangat memerlukan pusingan tunai yang cepat dan segera.

“Penambahannya bagi SkimSel juga mengelak peniaga kecil dari terjebak dengan lintah darat along ekoran peratusan golongan ini terbabit dengan along cukup tinggi,” katanya kepada SelangorKini di sini, hari ini.

Yahya berkata, fenomena itu berlaku adalah kerana hampir semua peniaga kecil tidak layak mendapat pinjaman daripada mana-mana institusi kewangan atau bank perdagangan.

Katanya, syarat ketat dikenakan menjadikan ‘along’ sebagai tempat bergantung dan mendapat pinjaman mudah.

“Keprihatinan Kerajaan Negeri bagi menambahkan peruntukan untuk membantu peniaga kecil sangat bermakna,” katanya.

Dalam pembentangan Belanjawan Selangor 2015 berjumlah RM2.42 bilion di Dewan Negeri Selangor (DNS, 24 November lalu, Mohamed Azmin berkata, Kerajaan Negeri memperkasakan pembiayaan melalui SkimSel dan MiMBAR dengan menaikkan siling peruntukan untuk kedua–dua dana kepada RM100 juta berbanding hanya RM70 juta sebelum ini.

SkimSel ditingkatkan kepada RM60 juta manakala MiMBAR RM40 juta.

EZY