Categories
SELANGOR

“Fast track” selesai 861 kes cerai

Oleh : AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 4 DIS : Sebanyak 861 kes cerai berjaya diselesaikan Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS) melalui kaedah “fast track” sejak diperkenalkan Julai lalu.

Ketua Hakim Syariah Selangor, Dr Mohd Na’im Mokthar, berkata ia sekaligus mengurangkan jumlah kes penceraian berdaftar di negeri itu termasuk kes tertunggak.

Katanya, selain menjimatkan kos, kaedah itu memberi peluang kepada pasangan bercerai untuk menjalani kehidupan baharu dengan lebih cepat.

Dr Mohd Na'im Mokthar“Proses cerai “fast track” mengurangkan tempoh kepada enam jam sahaja, berbanding tempoh 90 hari sebelum ini yang ditetapkan bagi pasangan yang setuju berpisah.

“Jadi, ia boleh mengelakkan perkara tidak diingini berlaku kerana tempoh 90 hari itu agak panjang dan pelbagai kemungkinan boleh menimpa kepada pasangan yang inginkan penceraian,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Hi-Tea Ketua Hakim Syarie bersama media di Bangunan Mahkamah Syariah Sultan Idris Shah, di sini hari ini.

Pada masa sama, Na’im turut menafikan kaedah “fast track” yang memudahkan proses penceraian akan menggalakkan lebih banyak pasangan cenderung ke arah itu.

Sebaliknya, beliau berkata, ia mampu mengelakkan konflik daripada terus berpanjangan di antara pasangan yang rela berpisah dengan cara baik.

“Tidak timbul isu galakan cerai sebaliknya kita memudahkan pasangan yang benar-benar mahu berpisah atas kerelaan mereka sendiri.

“Pasangan memilih kaedah ini biasanya sudah bersetuju untuk bercerai dan membincangkan tuntutan nafkah, hak jagaan anak dan lain-lain secara bersama,” katanya.

Kaedah penceraian pantas itu merujuk kepada pasangan Islam di Selangor yang bersetuju untuk berpisah dan boleh diselesaikan dalam tempoh kira-kira enam jam.

Bagaimanapun, ia hanya ditawarkan kepada kes perceraian yang difailkan mengikut Seksyen 47 Enakmen undang-Undang Keluarga Islam (Selangor) sahaja atau dengan kata lain kepada pasangan (suami isteri) yang bersetuju untuk berpisah.

-nR-