Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Saringan Komuniti fasa dua dijangka bermula minggu depan

HULU SELANGOR, 8 JUN: Saringan Komuniti fasa dua untuk kawasan mencatat kes disyaki positif Covid-19 lebih lima peratus dijangka bermula minggu hadapan atau hujung bulan ini.

Pengarah Pasukan Petugas Operasi Selangor (STFO) berkata setakat ini beberapa Dewan Undangan Negeri (DUN) sudah dikenal pasti namun masih dibincangkan lebih terperinci bagi memastikan matlamat program tercapai.

“Konsep kali ini sedikit berbeza kerana kita mahu cari punca penularan. Pada fasa dua ini, kita akan lihat sama ada peratusan kes menurun atau sama (lima peratus).

“Jika masih sama, saringan fasa ketiga pula dilaksana dengan tumpuan seperti taman perumahan atau bangunan pangsapuri. Kita mungkin tidak ketuk rumah ke rumah sebaliknya hanya kawasan kediaman sahaja, namun masih dibincangkan,” kata Dr Muhammad Farhan Rusli ketika ditemui.

Dr Muhammad Farhan Rusli. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Setakat ini, lapan DUN merekodkan kes disyaki positif melebihi paras lima peratus iaitu Kajang (8.08), Hulu Kelang (8.06), Bukit Antarabangsa (7.58), Sungai Tua (5.63), Gombak Setia (8.24), Taman Templer (7.99), Seri Setia (6.99) dan Taman Medan (5.29).

Sejak 8 Mei hingga 10 Jun ini, Kerajaan Negeri menjalankan program pengawasan Covid-19 secara aktif melalui saringan percuma di seluruh 56 DUN dengan menyasarkan 100,000 penyertaaan.

Program bawah Fasa Mitigasi Wabak Pandemik Covid-19 memanfaatkan rakyat yang berisiko, pernah menjadi kontak rapat, bergejala dan bimbang status kesihatan diri.

Categories
AGENSI SELANGOR

Ramai warga emas sertai saringan percuma di luar bandar

HULU SELANGOR, 8 JUN: Majoriti peserta Saringan Komuniti di kawasan luar bandar membabitkan warga emas, kata pengarah Pasukan Petugas Operasi Selangor (STFO).

Berikutan itu, Dr Muhammad Farhan Rusli berkata petugas khas ditempatkan di setiap lokasi bagi memudahkan proses pendaftaran golongan terbabit.

“Selain warga emas ramai, ramai juga individu yang mendaftar terus di lokasi tanpa menggunakan aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah). Mungkin mereka tidak tahu jadi kita bantu.

“Berbanding kawasan bandar, kebanyakan peserta adalah golongan muda dan pendaftaran menerusi SELangkah juga tinggi,” katanya ditemui pada program saringan di Kuala Kubu Bharu hari ini.

Sementara itu, Dr Muhammad Farhan menjangka seramai 1,000 individu menjalani ujian Covid-19 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu dan Hulu Bernam.

“Kami turut menyediakan kaunter program Outreach Imunisasi Covid-19 Selangor (ImuniSel) sebagai langkah proaktif membantu rakyat negeri ini mendaftar suntikan vaksin,” katanya.

Kerajaan Selangor giat menjalankan program saringan percuma di 56 DUN sejak 8 Mei hingga 10 Jun.

Program yang memanfaatkan penduduk berisiko, pernah menjadi kontak rapat, bergejala dan bimbang
status kesihatan diri selesai dijalankan di 52 DUN setakat ini.