Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Golongan pemalas tak layak terima zakat

SHAH ALAM, 24 OKT: Mereka yang bertubuh badan sihat tetapi enggan memerah kudrat mencari rezeki atau lebih tepat malas bekerja haram menerima bantuan zakat, kata Pengerusi Pertubuhan Muttaqa Asatizah dan Pendakwah Malaysia (MURSHID), Dr Zaharuddin Abdul Rahman.

Katanya, mereka yang belum mendapat pekerjaan atau berpendapatan kecil masih layak dibantu mengikut dua saluran iaitu zakat (fakir dan miskin) dan sedekah.

“Bantuan atau pemberian sesuatu kepada fakir miskin yang bukan daripada golongan ‘malas’ bukan hanya daripada sumber zakat dan sedekah sahaja, bahkan mereka juga boleh menerima pemberian apabila seseorang yang hendak membersihkan wang atau harta (disebabkan riba atau judi terdahulu),” katanya.

zaharudinKatanya, perkara itu jelas pada zaman Nabi Muhammad SAW, apabila datang dua pemuda dan nabi lihat kedua-duanya mempunyai tubuh sihat juga kuat.

“Nabi Muhammad SAW berkata, kalau kamu berdua inginkan zakat, aku boleh berikan tetapi haram ke atas lelaki yang mampu dan kuat.

“Maknanya, pemberian bantuan itu dengan peringatan bahawa kalau malas ia tidak harus bagi kamu,” katanya ketika mengulas isu kemiskinan yang berlaku di negara ini.

Beliau berkata, Islam menggariskan dasar yang jelas kepada fakir dan miskin iaitu kemiskinan disebabkan anggota badan yang lemah atau cacat.

Zaharuddin berkata, bagi orang miskin yang malas dan sentiasa mengharapkan bantuan sedangkan dia mampu bekerja adalah orang yang telah jatuh kehormatannya pada pandangan masyarakat dan Islam.

“Mereka yang menganggur dan mengharapkan bantuan orang itu adalah sifat yang terkeji dalam Islam. Orang yang sihat tubuh badan wajib bekerja melainkan jika dia diberhentikan kerja.

“Dia tak mampu tanggung kos atau bil rumah dan kereta yang tinggi, sementara dia mencari kerja yang layak, maka boleh menerima zakat dan bantuan,” tegas beliau.

-NFN-