Categories
AGENSI SELANGOR

Mangsa kebakaran di Gombak terima bantuan Zakat Selangor

SHAH ALAM, 3 FEB: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyantuni empat keluarga terlibat kebakaran di Kampung Sri Makmur, Seri Gombak dekat sini.

Agensi itu menerusi Facebook memaklumkan semua keluarga tersebut turut menerima sumbangan kecemasan bagi meringankan beban.

“Baki bantuan akan disalurkan setelah Zakat Selangor menerima dokumen yang lengkap daripada mereka.

“Punca kebakaran masih dalam siasatan pihak bomba. Semoga mereka diberi kesabaran dan ketabahan atas ujian ini serta dimudahkan segala urusan,”katanya.

LZS turut mengucapkan terima kasih kepada pembayar zakat dan sudah disampaikan kepada mereka yang memerlukan.

Kejadian kebakaran yang berlaku pada 28 Januari lepas melibatkan empat buah rumah.

Categories
AGENSI SELANGOR

PREC agih bantuan makanan, zakat kepada lima keluarga terjejas banjir

SHAH ALAM, 30 DIS: PKNS Real Estate Sdn Bhd (PREC) mengagihkan bantuan makanan dan zakat kepada lima keluarga terjejas banjir di Meru, Klang dan Padang Jawa, Shah Alam hari ini.

Agensi berkata ‘Misi Meringankan Beban dan Agihan Wang Zakat’ itu dibantu enam artis dari Indigital Music iaitu Syahmi, Aufahanie, Nomad, Killa Driz, Aliff Iskandar dan Syafiq Naser.

“PREC menyumbang barangan asas seperti minyak masak, kopi, susu, teh, tisu tandas selain barangan elektrik dan dapur masak bagi menggantikan barangan mangsa yang rosak akibat banjir.

“Siri pengagihan zakat berjumlah RM40,500 akan dilakukan dari semasa ke semasa kepada 17 rumah terpilih dan dijangka selesai awal Januari 2022,” katanya.

Tambahnya, usaha itu turut mendapat sokongan syarikat berjenama seperti Faiza yang menyumbang beras dan tepung manakala Adabi menyumbang makanan sedia dimakan seperti rendang daging, kari ayam, makanan ringan, selain tepung cucur dan banyak lagi.

Menurut PREC lagi, Bazaarlokal juga menganjurkan jualan amal bertemakan ‘Charity Is Fun’ bagi mengumpul dana untuk disalurkan kepada mangsa banjir.

“Pembelian boleh dibuat di booth Bazaarlokal yang terletak di aras bawah, SACC Mall dengan barangan premium serendah RM50 atau pembelian merchandize Bazaarlokal serendah RM1,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

66,160 murid terima bantuan yuran, kelengkapan sekolah sumbangan zakat Selangor

SHAH ALAM, 13 DIS: Seramai 66,160 pelajar asnaf di Selangor bakal menerima bantuan yuran dan peralatan persekolahan bagi sesi persekolahan 2022 daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS) bermula hari ini sehingga 28 Feb 2022.

Ketua Divisyen Operasi Agihan Asnaf LZS Mohd Sabirin Mohd Sarbini berkata Program Bantuan Pendidikan LZS bagi sesi persekolahan 2022 itu, sebanyak RM 32.6 juta diperuntukkan untuk membantu pelajar keluarga asnaf di peringkat prasekolah, sekolah rendah dan sekolah menengah.

“Setiap pelajar Sekolah rendah Kebangsaan akan menerima kelengkapan persekolahan RM170 manakala pelajar Sekolah Rendah Agama RM150.00 seorang. Pelajar asnaf yang layak  juga bakal menerima bantuan yuran persekolahan berjumlah antara RM100 hingga RM200 seorang,” katanya.

Beliau berkata demikan semasa pelancaran program penyampaian bantuan kepada 100 penerima dari daerah Bangi yang disempurnakan Mutfi Negeri Selangor Datuk Dr Anhar Opir.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan atau Sekolah Menengah Agama pula diberikan bantuan sebanyak RM200 setiap seorang.

Dalam pada itu Mohd Sabirin mengingatkan bahawa tempoh bagi penebusan bantuan keperluan peralatan sekolah ini bermula pada hari ini (13 Dis) sehingga 28 Feb 2022.

— BERNAMA

 

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Tengku Permaisuri Norashikin serah sumbangan tablet kepada pelajar asnaf

SHAH ALAM 5 OKT: Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor berkenan berangkat ke majlis penyerahan sumbangan tablet kepada pelajar asnaf fakir dan miskin di Istana Bukit Kayangan di sini hari ini.

Tengku Permaisuri Norashikin menyempurnakan sumbangan alat bantuan belajar berserta data internet itu kepada wakil-wakil daripada 7,000 pelajar asnaf fakir dan miskin kelolaan Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Sumbangan ini adalah bagi meringankan beban pelajar dan keluarga dalam mengadaptasi norma baharu sesi persekolahan dalam talian melalui e-pem belajaran di semua sekolah ketika ini, kata Selangor Royal Office dalam laman Facebooknya.

Turut hadir Pengerusi LZS, Tan Sri Syed Anwar Jamalullail dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Saifulyazan M. Yusop.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Shopee kutip lebih RM200,000 zakat fitrah

PUTRAJAYA, 7 MEI: Platform e-dagang Shopee telah bekerjasama dengan tiga institusi zakat iaitu Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP), Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) serta Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) sempena bulan Ramadan ini.

Sehingga kini, kerjasama tersebut telah berjaya menarik lebih 10,000 pengguna dalam kalangan umat Islam membayar zakat fitrah secara dalam talian menerusi platform itu.

Pengarah Urusan Serantaunya Ian Ho berkata jumlah pembayaran yang direkodkan bagi tempoh 12 April hingga kini ialah kira-kira RM200,000.

“Selain memudahkan umat Islam menunaikan zakat fitrah, platform kami (Shopee) tidak mengenakan sebarang bayaran perkhidmatan kepada pelanggan.

“Para pengguna hanya perlu memilih pembayaran zakat melalui ‘Deals, Top-ups & Bills’ dalam aplikasi Shopee dan ikuti langkah-langkah mudah yang diberikan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata pihaknya juga menyasarkan untuk menjalin kerjasama dengan semua institusi zakat di seluruh negara pada masa hadapan.

Ho berkata Shopee akan terus berusaha meningkatkan komitmen memudahkan umat Islam khususnya bagi menunaikan zakat fitrah untuk disalurkan kepada golongan memerlukan lebih-lebih lagi ketika negara berdepan ancaman pandemik Covid-19.

Pengguna setia Shopee Nur Hazwani Ishak pula berkata beliau memanfaatkan kemudahan itu tahun ini memandangkan ia memudahkan pengguna kerana dapat membayar zakat fitrah pada bila-bila masa dan di mana sahaja menerusi platform e-dagang tersebut.

“Pengguna tidak perlu risau, proses pembayaran adalah sama seperti kaedah bersemuka. Ia mudah, hanya masukkan jumlah zakat fitrah yang ingin dibayar dan akan ada ‘pop-up’ niat menunaikan zakat sebelum meneruskan transaksi,” katanya.

Hazwani juga memaklumkan bahawa beliau menerima resit transaksi daripada institusi zakat sejurus membuat pembayaran.

 

 

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

LZS sasar kutip zakat RM150 juta Ramadan ini

SHAH ALAM, 5 MEI: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyasar kutipan RM150 juta bagi zakat harta, perniagaan dan fitrah pada Ramadan tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Saipolyazan M Yusop berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM31 juta disasar melalui zakat fitrah, lapor Berita Harian.

“Pada Ramadan tahun lalu, kita dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19 dan kita mula memperkasakan sistem dalam talian untuk pembayaran zakat.

“Dengan pelaksanaan sistem berkenaan, kita mengutip RM18 juta zakat fitrah tahun lalu (bagi kutipan dalam talian sahaja), justeru kita harapkan dengan pengalaman itu, kita lebih bersedia pada tahun ini serta mampu mencapai sasaran yang ditetapkan,” katanya.

Saipolyazan Mat Yusop memberikan penerangan ketika sidang media di Bangunan Zakat Selangor, Shah Alam pada 23 November 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Beliau yang ditemui pada Majlis Iftar dan Penyerahan Zakat Perniagaan di sini, semalam turut melancarkan aplikasi untuk memudahkan orang ramai mendapat maklumat.

Saipolyazan berkata aplikasi yang dalam tempoh percubaan minggu lalu dimuat turun lebih 500 kali meski ia belum diuar-uarkan secara rasmi.

“Malah, sudah ada yang menunaikan zakat menggunakan aplikasi berkenaan yang mana kita berjaya mengutip kira-kira RM60,000 ketika ia belum dilancarkan secara rasmi.

“Aplikasi ini sudah pasti akan memudahkan pembayar zakat terutamanya apabila PKP akan dilaksanakan semula di enam daerah di Selangor mulai 6 Mei (esok),” katanya.

Aplikasi tersebut meliputi semakan penyata, status bantuan, pengumuman kempen dan promosi terkini LZS, maklumat nisab zakat dan harga emas harian. Ia boleh dimuat turun melalui Playstore dan App Store.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Bayar zakat dalam talian, kaunter Pos Malaysia

SHAH ALAM, 21 APRIL: Lembaga Zakat Selangor (LZS) mempelawa orang ramai menunaikan zakat secara dalam talian melalui e-zakat pay.

Agensi itu dalam kenyataan ringkas di Facebook berkata bayaran juga boleh dibuat melalui kaunter Pos Malaysia seluruh negeri atau Pos Online.

“Ibadah selesai, tanggungjawab tertunai. Kemas kini maklumat, semak status bantuan, bayaran dan cetak penyata zakat melalui https://ezo.zakatselangor.com.my,” kata LZS.

Sementara itu, LZS berkata orang ramai juga boleh berurusan melalui Zakat On Wheels yang beroperasi di beberapa lokasi sepanjang Ramadan.

Menurut agensi itu, urusan meliputi permohonan bantuan, semakan status, bayaran dan taksiran zakat serta kemas kini maklumat asnaf.

“Zakat on Wheels beroperasi dari Isnin hingga Jumaat mulai jam 10 pagi hingga 3 petang manakala Sabtu dan Ahad pada jam 7 pagi hingga 12 tengah hari,” kata LZS lagi.

Poster dari Facebook Lembaga Zakat Selangor
Categories
BERITA UTAMA RENCANA WAWANCARA

Vaksin tidak batal puasa, zakat dalam talian sah

Ramadan kali ini tahun kedua umat Islam menyambut bulan mulia dalam suasana wabak Covid-19. Tidak seperti tahun lalu, umat Islam berpeluang mengerjakan ibadat termasuk solat tarawih berjemaah di masjid dengan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP).

Wartawan Amin Ridzuan Ishak mewawancara penolong mufti kanan Bahagian Fatwa Jabatan Mufti Selangor, Abdul Wahid Ishak melalui e-mel bagi merungkai kemusykilan hukum-hakam berkaitan.

Apakah hukum membuat ujian calitan Covid-19 ketika berpuasa? Apakah puasa batal kerana perbuatan itu?

Seperti negeri lain, Selangor mengikuti resolusi Jawatankuasa Muzakarah Khas Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam (MKI) yang bersidang pada 21 April dan mengambil ketetapan ujian Covid-19 dengan mengambil sampel lendir (mukus) dalam hidung sehingga ke kawasan masopharynx (rongga hidung paling atas) dan rongga mulut hingga ke kawasan oropharynk (anak tekak) tidak membatalkan puasa. Jadi, umat Islam tidak perlu risau untuk menjalani saringan kerana ia tidak menjejaskan puasa.

Apakah hukum ambil suntikan vaksin ketika puasa? Apakah pula nasihat kepada golongan antivaksin?

Mesyuarat jawatankuasa fatwa pada 9 Mac lalu memutuskan hukum suntikan vaksin pada Ramadan harus dan tidak membatalkan puasa. Ini kerana pemberian vaksin sama seperti prosedur pemberian vaksin lain dan tidak membatalkan puasa. Ia juga wajar dijadikan syarat untuk bakal jemaah haji dan umrah bagi mengekang penularan virus.

Penolong mufti kanan Bahagian Fatwa Jabatan Mufti Selangor, Abdul Wahid Ishak

Kita menasihati orang ramai supaya mengambil pendekatan dalam al-Quran supaya bertanya kepada orang yang tahu jika tidak mengetahui. Jadi, kita bertanya kepada orang lebih arif sebelum buat keputusan. Ia bukan isu agama tetapi hal kesihatan. Jadi, kita panggil pakar kesihatan untuk bentang mengenai vaksin. Kita berpuas hati dan setuju vaksin harus digunakan.

Tidak harus ada kegusaran dalam kalangan rakyat untuk mengambil vaksin. Ini juga berkaitan tanggungjawab menghentikan wabak. Setakat ini, tiada ubat selain amalkan SOP. Vaksin dikatakan mampu menghalang 90 peratus jangkitan walaupun ada perbahasan mengenainya.

Pandangan berhubung solat berjemaah termasuk tarawih dalam jarak 1.5 meter bagi mengawal penularan wabak sedangkan umat Islam dianjur merapatkan saf?

Pihak berkuasa agama di Selangor menetapkan jarak 1.5 meter walaupun MKI memutuskan jarak satu meter memadai. Kita ambil berjaga-jaga kerana kadar jangkitan di Selangor tinggi selain faktor kepadatan penduduk. MKI menetapkan solat berjemaah diharus berjarak bagi makmum bersebelahan.

Jika solat berjemaah masih lagi selamat daripada penularan wabak, pandangan hukum ini turut berkait dengan jarak solat saf berjemaah dilakukan imam, bilal dan siak bagi pelaksanaan solat berjemaah di masjid, surau, hospital serta tempat dibenarkan oleh Kementerian Kesihatan yang menempatkan pesakit dikuarantin dalam tempoh perintah kawalan pergerakan.

Memang ada isu dibangkitkan mengapa tidak boleh bersolat seperti sebelum ini (tiada jarak) tetapi pertimbangan pihak berkuasa untuk mengelakkan penularan kerana virus ini tidak boleh dilihat dan pembawanya turut meliputi mereka tidak bergejala. Sekiranya solat rapat mungkin berisiko berlaku penularan, jadi tidak tercapai matlamat memutuskan penularan. Langkah berjaga-jaga bukan setakat mengambil suhu jemaah, memakai pelitup muka dan membawa sejadah sendiri tetapi penjarakan fizikal.

Ada pertikai bayar zakat dalam talian, bukan kepada amil. Apakah hukumnya?

Mengikut kitab fikah mazhab Syafie, memang digalakkan membayar sendiri kerana ia dapat mengeratkan hubungan sesama Islam dan penerimanya dapat mendoakan terus penyumbangnya. Cuma zaman sekarang pelbagai isu timbul. Pertama, siapa hendak menentukan seseorang itu sebagai fakir miskin. Kita tengok zahirnya mungkin susah tetapi tidak diketahui latar belakangnya termasuk ada aset di kampung. Di negeri ini, Lembaga Zakat Selangor (LZS) yang menentukan selepas membuat siasatan. Kedua, agihan perlu menyeluruh. Kita tidak mahu hanya fakir miskin tinggal berhampiran orang kaya mendapat zakat manakala selebihnya tidak dapat.

Majlis Fatwa Selangor pada 7 Jun 2007 membuat ketetapan hukum mengagih zakat secara bersendirian dan qada zakat. Pertama, ia dijalankan pemerintah atau ulil amri demi menjaga hak dan kepentingan zakat. Kedua, walau dari segi syarak, mengagih zakat secara persendirian tanpa melalui pemerintah sah jika diagih kepada asnaf tetapi perbuatan itu melanggar peraturan. Dalam Islam, patuh kepada pemerintah dalam perkara kebaikan adalah wajib.

Mengenai zakat dalam talian, tiada masalah berbuat demikian selagi perantaranya masih LZS. Kalau bayar terus kepada orang miskin secara dalam talian, hukumnya sah jika penerimanya fakir miskin tetapi berdosa kerana melanggar ketetapan pemerintah.

Apakah hukum bersedekah (infaq) melalui wadah digital seperti Shopee?

Kalau bersedekah tiada masalah. Biasanya hal berkaitan sunat tiada syarat ketat sangat. Malah, saya boleh katakan sumbangan dalam talian merancakkan aktiviti kebajikan dan memberi pahala kepada sesiapa sahaja di mana sahaja mereka berada. Contohnya jemaah wanita pada masa ini tidak dapat ke masjid, jadi mereka boleh beri sumbangan kepada masjid dengan memasukkannya ke akaun bank secara dalam talian.

Apakah cadangan bagi mengimarah Ramadan dalam wabak Covid-19?

Setiap aktiviti harus mengikut SOP dan norma baharu. Walaupun boleh bertarawih di masjid dan membeli juadah di bazar, golongan risiko seperti warga emas dan kanak-kanak baik elakkan ke tempat berisiko. Kalau tidak dapat ke masjid, bertarawih dan bertadarus di rumah. Jangan jadikan alasan tidak ke masjid, ibadah tidak dibuat. Gunakan Ramadan untuk mantapkan amalan wajib dan perbanyak amalan sunat. Masa dijimatkan kerana banyak program seperti majlis berbuka puasa tidak dilakukan, manfaat kepada ibadat.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Worldwide Holdings agih lebih RM300,000 zakat, manfaat 30 asnaf

SHAH ALAM, 9 APRIL: Worldwide Holdings Berhad (Worldwide Holdings) mengagihkan RM343,794 wang zakat untuk manfaat kira-kira 30 asnaf miskin di Selangor.

Ketua pegawai eksekutif berkata daripada jumlah itu, RM200,000 diperuntuk bagi bantuan modal perniagaan dalam bentuk motosikal roda tiga, latihan dan perbelanjaan.

Datin Paduka Norazlina Zakaria menjelaskan sejumlah RM93,794 pula untuk penerima yang mahu memulakan atau mengembangkan perniagaan.

“Manakala, bakinya (RM50,000) diperuntuk untuk mereka yang memerlukan bantuan peralatan perubatan antaranya seperti katil, kaki palsu atau kerusi roda.

“Agihan ini bertujuan meringankan beban kewangan penerima daripada aspek kesihatan di samping menyuntik semangat untuk memulakan perniagaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Agihan Wang Zakat Worldwide Holdings di Mercu Worldwide di sini semalam.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor, Saipolyazan M Yusop dan Pengerusi Teraju Ekonomi Asnaf Sdn Bhd (Teras), Dato’ Ibrahim Md Yusof.

 

Categories
AGAMA AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Guna telefon bimbit permudah bayaran zakat

SHAH ALAM, 22 FEB: Orang ramai kini boleh membuat bayaran zakat pendapatan, pelaburan dan perniagaan hanya menerusi telefon bimbit, kata Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Agensi itu berkata menerusi laman portal ezakatpay itu mereka perlu mengikuti empat langkah iaitu mengisi maklumat pembayar seperti nama penuh dan kad pengenalan.

“Langkah lain ialah memilih kaedah bayaran, pilih bank dan terakhir mendapatkan resit bayaran.

“Segalanya makin pantas di dunia ini, termasuk juga cara anda untuk membantu saudara yang memerlukan dalam komuniti kita,” kata LZS menerusi Facebook.

Categories
AGAMA AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

LZS sasar kutipan RM875 juta penuhi keperluan asnaf

SHAH ALAM, 18 FEB: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyasarkan kutipan zakat sebanyak RM875 juta tahun ini bagi memenuhi golongan memerlukan, kata ketua pegawai eksekutifnya.

Katanya sasaran berkenaan bakal disemak semula bergantung kepada keadaan ekonomi yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

“Ini kerana banyak syarikat yang terjejas dan kemungkinan ada individu yang dahulu boleh melakukan potongan zakat tetapi mungkin tahun ini tidak dapat berbuat demikian atas faktor ekonomi,” kata Saipolyazan Md Yusop kepada SelangorKini.

Menjelaskan lebih lanjut, beliau turut memaklumkan jumlah keluarga fakir dan miskin yang berdaftar dengan LZS sehingga Januari lalu ialah 58,654 berbanding 58,327 pada Disember 2020.

“Jumlah ini dilihat bertambah sebelumnya, dan mungkin disebabkan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan telah menjejaskan punca pendapatan hampir kesemua kumpulan masyarakat.

“Ada yang dibuang kerja, gaji dipotong separuh, cuti tanpa gaji. Ramai di antara mereka yang sebelum ini tidak disenarai sebagai asnaf tetapi disebabkan keadaan ekonomi sekarang, mereka tergolong sebagai asnaf baharu,” katanya.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Pengeluar i-Lestari, i-Sinar wajib bayar zakat jika pendapatan tidak terjejas

SHAH ALAM, 27 JAN: Inidividu muslim yang layak mengeluarkan wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melalui skim i-Lestari atau i-Sinar wajib mengeluarkan zakat sekiranya masih mempunyai sumber pendapatan.

Lembaga Zakat Selangor (LZS) berkata tuntutan itu perlu disempurnakan kerana pengeluaran dibuat
atas pilihan dan bukannya disebabkan darurat.

“Berdasarkan fatwa Sistem Pengurusan Kutipan Zakat Selangor 2013 (pindaan) berkaitan pengeluaran
KWSP sebelum berusia 55 tahun, zakat wajib ke atas jumlah dikeluarkan.

“Oleh itu tertakluk pada keputusan berkenaan, pengeluaran KWSP melalui dua skim itu, sekiranya
mencukupi syarat wajib mengeluarkan zakat,” kata agensi pada 26 Januari.

LZS bagaimanapun berkata individu yang terjejas pendapatan sehingga memberi kesan kepada keperluan dan tanggungan tidak diwajibkan berbuat demikian.

“Ini kerana pengeluaran simpanan itu dilakukan dalam keadaan terpaksa akibat ketiadaan pendapatan.
Jika pengeluaran dilakukan dalam keadaan begini ia tidak wajib,” katanya.