Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Selvax Komuniti Bandar Baru Klang turut libatkan warga asing

SHAH ALAM, 30 JULAI: Program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Baru Klang tidak memfokus warga tempatan sahaja tetapi juga diberi kepada warga asing yang mempunyai dokumen.

Wakil rakyatnya Dato’ Teng Chang Khim berkata jangkitan Covid-19 tidak mengira kewarganegaraan malah warga asing boleh menjadi penyumbang penularan wabak.

“Kita memperuntuk 2,600 penerima untuk suntikan vaksin di kawasan ini yang diadakan dua hari bermula kelmarin.

“Sehingga kelmarin, seramai 1,122 penduduk DUN Bandar Baru Klang menerima vaksin Covid-19 melalui program Selvax Komuniti,” katanya kepada SelangorKini.

Chang Khim yang juga EXCO Kerajaan Negeri berkata pihaknya mencadangkan suntikan vaksin diberikan kepada warga asing yang tidak mempunyai dokumen.

“Mereka juga boleh mendatangkan bahaya jika dibiarkan berada dalam komuniti tanpa suntikan vaksin.

“Namun, strategi pemberian vaksin ini akan dibincangkan dalam mesyuarat akan datang bagi memastikan kes Covid-19 mencatat penurunan,” katanya.

Pada 30 Jun, Kerajaan Selangor melancarkan Selvax Komuniti dan Selvax Industri bagi melengkapkan dan mempercepat proses suntikan pelalian rakyat negeri ini.

Program itu bakal memanfaatkan 1.25 juta penduduk di Selangor yang menyasarkan golongan berpendapatan rendah, warga emas dan pekerja industri.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Rawatan, khidmat nasihat percuma untuk warga Bandar Baru Klang

SHAH ALAM, 5 JULAI: Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Baru Klang menawarkan rawatan dan konsultasi perubatan percuma bermula hari ini sehingga 11 Julai.

Wakil rakyatnya berkata tawaran itu terbuka kepada semua penduduk di kawasan berkenaan.

“Rawatan dan konsultasi percuma ini adalah anjuran pusat khidmat masyarakat dan Klinik Medic Suria.

“Program ini dijalankan untuk mengurangkan beban dan memastikan kesihatan penduduk terjaga,” kata Dato’ Teng Chang Khim menerusi Facebook.

Categories
ADN SELANGOR

ADN sumbang barang keperluan asas, baucar Jom Shopping

SHAH ALAM, 7 APRIL: Sebanyak 2,200 pek barang keperluan asas dan baucar Jom Shopping diberikan kepada penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Baru Klang sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.

Ahli Dewan Negerinya, Dato’ Teng Chang Khim berkata agihan itu dilakukan secara berjadual bermula sejak 1 April lalu membabitkan keluarga di lima pangsapuri kos rendah.

Antara pangsapuri terlibat ialah Pangsapuri Mawar Cempaka, Bandar Baru Klang; Pangsapuri Dahlia, Bandar Baru Klang; Pangsapuri Pelangi Indah, Jalan Pekan Baru; Pangsapuri Permai Bukit Kuda dan Pangsapuri Rebana, Bandar Bukit Raja.

“Saya harap sumbangan ini dapat meringankan beban mereka kerana sukar mendapatkan bekalan makanan asas berikutan perintah PKP.

“Semua juga berharap penduduk bukan sahaja di DUN ini malahan seluruh rakyat Selangor supaya ambil langkah berjaga-jaga, duduk rumah agar wabak Covid-19 dapat diputuskan,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut menasihatkan kepada mereka yang mempunyai simptom Covid-19 agar segera membuat pemeriksaan di klinik atau hospital berhampiran.