Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Wakil rakyat Kampung Tunku lancar niaga dalam talian, bantu usahawan

PETALING, 10 MAC: Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kampung Tunku melancarkan Program Usahawan Digital bagi membantu peniaga terjejas pendapatan akibat Covid-19.

Ahli Dewan Negerinya berkata inisiatif jualan secara dalam talian menerusi platform Yezza Store menyasarkan 100 peserta yang dikecualikan caj perkhidmatan selama tiga bulan.

“Kita mengeluarkan peruntukan lebih RM10,000 untuk menjayakan program ini, semoga inisiatif ini membantu menjana atau meningkatkan pendapatan peniaga kecil-kecilan.

“Peniaga boleh memohon menerusi https://adunkgtunku.yzza.io/dme sebelum 17 Mac. Setiap permohonan akan diteliti bagi memastikan hanya yang layak terima manfaat,” kata Lim Yi Wei pada sidang media hari ini.

Beliau berkata sempena sambutan Hari Wanita Sedunia, 38 daripada 100 peserta dipilih dalam kalangan golongan terbabit.

“Inisiatif pejabat DUN Kampung Tunku bertujuan menyokong pelbagai program jualan secara dalam talian yang dilaksanakan Kerajaan Negeri untuk membantu peniaga,” katanya.

Categories
ADN SELANGOR

DUN Kampung Tunku ajak masyarakat bantu mangsa banjir Pahang

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 9 JAN: Dewan Undangan Negeri (DUN) Kampung Tunku mengalu-alukan orang ramai untuk turut serta membantu dan menderma kepada mangsa banjir di Pahang.

Ahli Dewan Negerinya berkata pihaknya menjalin kerjasama dengan badan bukan kerajaan, Persatuan Sukarelawan dan Kebajikan Tulus bagi mengumpul sumbangan membantu mangsa bencana tersebut.

 

“Orang ramai boleh menyumbang barangan seperti air mineral, biskut, mee segera, minyak masak dan beras.

“Syarikat swasta atau agensi korporat juga dialu-alukan bagi membantu kepada mangsa bencana ini,” kata Lim Yi Wei ketika dihubungi.

Sumbangan boleh dibuat menerusi dalam talian ke akaun Pertubuhan Sukarelawan dan Kebajikan Tulus 5643 0623 9265 (Maybank) dan emel penyata pembayaran ke [email protected] .

Selain itu, barangan bantuan juga boleh ditempatkan di Pejabat DAP Selangor, No 24, Jalan 20/9, Taman Paramount, 46300 Petaling Jaya yang dibuka setiap Isnin hingga Jumaat dari jam 9 pagi hingga 5 petang.

Categories
ADN SELANGOR

ADN: Tambahan lapan lot parkir di Kampung Tunku, mudahkan OKU

SHAH ALAM, 3 DIS: Sebanyak lapan lot tempat letak kereta orang kelainan upaya (OKU) ditambah di kawasan komersial di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kampung Tunku.

Ahli Dewan Negerinya berkata kemudahan terbabit mendapat kerjasama dan kelulusan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) untuk disediakan di Taman Paramount, Seksen 20 serta Sea Park, Seksyen 21.

“Tempat letak kereta ini bertujuan memudahkan pergerakan golongan tersebut ketika berkunjung di kawasan berkenaan.

“Namun disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hanya tiga lot dapat disiapkan di Taman Paramount manakala lima lagi di Sea Park masih dalam proses pelaksanaan,” kata Lim Yi Wei menerusi kenyataan di Facebook.

Sementara itu, beliau menasihatkan orang ramai bertimbang rasa dan tidak menyalahgunakan kemudahan parkir untuk golongan OKU berkenaan.

Yi Wei berkata OKU yang mahu mendapat keistimewaan tersebut boleh memohon pelekat OKU percuma di Jabatan Kemasyarakatan, Tingkat 7, Menara MBPJ.

“Pelekat ini untuk tempoh dua tahun dan boleh diperbaharui. Pemohon hanya perlu membawa kad OKU dikeluarkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya.

Berdasarkan rekod MBPJ, bagi 2018 terdapat 215 permohonan pelekat tempat letak kereta OKU diikuti 227 (2019) dan 144 (hingga November lalu).