Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Jualan Selangor e-Bazar Raya sasar RM700 juta kesan riak

SHAH ALAM, 7 APRIL: Kempen Selangor e-Bazar Raya yang dijadual bermula 15 April hingga 29 Mei ini menyasarkan RM700 juta kesan riak kepada ekonomi negeri.

EXCO industri dan perdagangan berkata Kerajaan Negeri akan menyalurkan baucar bernilai RM2 juta menerusi Shopee dan Lazada bagi merancakkan kempen berkenaan.

“Penganjuran ini dilakukan susulan kejayaan e-Bazar Tahun Baharu Cina pada Februari lalu yang mencatatkan RM619 juta kesan riak kepada ekonomi negeri.

“Kita juga berharap supaya pendaftaran usahawan mendapat sambutan menggalakkan,” kata Dato’ Teng Chang Khim pada sidang media menerusi aplikasi Zoom, hari ini.

Hadir sama ialah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Invest Selangor, Dato’ Hasan Azhari Idris dan CEO Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec), Yong Kai Ping.

Menurut Chang Khim, pelaksanaan bazar dalam talian itu bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta usahawan mikro menerapkan pendigitalan dalam perniagaan terutama mendepani cabaran pasca Covid-19.

Tambah beliau, kempen itu menyediakan platform yang selamat untuk pengguna mendapatkan pelbagai jenis barangan dengan harga berpatutan.

“Kita berharap kempen ini memberi semangat dalam meraikan Hari Raya,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Selangor e-Bazar Raya capai 341.5 juta, jauh langkaui sasaran RM8 juta

SHAH ALAM, 29 JULAI: Program e-Bazar Raya Selangor bersama Shopee mencatatkan pulangan RM341.5 juta, jauh melangkaui sasaran awal RM8 juta.

Dato’ Menteri Besar berkata angka itu berdasarkan kesan riak (ripple effect) melalui peruntukan baucar RM1 juta kepada pelanggan platform e-dagang itu.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kesan riak sebanyak 341 peratus merangkumi ekonomi, sosioekonomi dan penjenamaan produk perniagaan.

“Angka ini jauh lebih tinggi berbanding sasaran awal Kerajaan Negeri sekitar RM8 juta,” katanya pada sidang media Selangor e-Bazar Bersama Shopee di sini hari ini.

Amirudin menjelaskan kempen dua bulan sejak 4 Mei lalu disertai 8,400 usahawan, 6,400 daripadanya golongan konvensional yang ada wadah e-dagang manakala 2,000 lagi peniaga aktif sedia ada.

“Hasil langsung daripada sokongan RM1 juta berjaya menjana jualan sebanyak RM11.7 juta. Ini menandakan pulangan pelaburan (ROI) sebanyak 12 kali ganda,” katanya.

Beliau berkata jualan paling laris ialah barangan runcit dan haiwan peliharaan, telefon pintar dan gajet, bayi dan permainan, kesihatan dan kecantikan, fesyen muslimah serta kelengkapan rumah.

Katanya, perkembangan itu menunjukkan rakyat bersedia mempraktik amalan digitalisasi dalam kehidupan selaras hasrat menjadikan Selangor Negeri Pintar 2025.

“Dengan prestasi sebaik ini, saya yakin strategi digitalisasi bakal menjadi penjana baharu ekonomi Negeri Selangor sekali gus membantu peniaga-peniaga tempatan yang terjejas dari segi perniagaan dan pendapatan akibat pandemik Covid-19,” katanya.

Kempen Selangor e-Bazar Raya bersama Shopee merupakan kerjasama julung kali antara Kerajaan Negeri dengan pengendali laman e-dagang terkemuka bagi membantu peniaga terjejas ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menerusi kerjasama itu, Shopee memberi sokongan dalam bentuk alat pemasaran termasuk siaran langsung, Jualan Kilat Shocking Sale dan penghantaran percuma RM19 untuk penjual baharu.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

E-bazar raya Selangor bersama Shopee bantu PKS, tawar insentif

SHAH ALAM, 24 APRIL: Kerajaan Negeri memperuntukkan RM1 juta dalam bentuk baucar potongan harga untuk program e-bazar raya Selangor dengan kerjasama pengendali e-dagang terkemuka, Shopee, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kerjasama itu menawarkan peluang perniagaan kepada usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta perniagaan mikro di Selangor memasarkan produk secara dalam talian selain menjana pendapatan ketika musim perayaan selepas terjejas akibat wabak Covid-19.

Beliau berkata Shopee akan turut menyalurkan lebih daripada sejuta pakej dan ditambah dengan RM12 juta diumumkan sebelum ini untuk membantu usahawan berkaitan yang menjual menerusi landasannya sekali gus menyaksikan e-bazar raya Selangor menawarkan insentif tiga kali ganda kepada pembeli.

“Program ini juga memberi kemudahan kepada orang ramai untuk mendapatkan keperluan sempena musim perayaaan Aidilfitri seperti kuih-muih, barangan kelengkapan rumah, pakaian dan sebagainya dengan pelbagai pilihan serta murah.

“…Shopee Malaysia kini mempunyai 800,000 penjual aktif. Kerajaan Negeri bekerjasama dengan pihak swasta yang berwibawa dan efisien demi mencapai tujuan membantu perusahaan PKS,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Amirudin berkata e-bazar ini akan berlangsung selama dua bulan bermula Mei hingga Jun depan dengan sasaran membantu 3,000 peniaga konvensional memiliki landasan e-dagang di samping 2,000 peniaga e-dagang sedia ada.

“Sepanjang program ini, Shopee akan menyediakan satu laman istimewa (microsite) untuk mempromosikan produk peniaga yang mengikutinya dengan menggunakan kaedah ‘livestream’, jualan mengejut (shocking sales), pemberian baucar dan penghantaran percuma bagi pembelian minimum RM19 dan ke atas,” katanya.

Peniaga yang berminat menyertai e-bazar raya Selangor bersama Shopee boleh mendaftar secara percuma di http://tiny.cc/selangorebazar

Categories
BERITA UTAMA PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

MB: E-bazar raya Selangor dilancar 1 Mei

SHAH ALAM, 24 APRIL: Kerajaan Negeri dengan kerjasama laman e-dagang terkemuka, Shopee akan melancarkan e-bazar raya pada 1 Mei ini bagi membolehkan peniaga memasarkan produk sempena sambutan Aidilfitri, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata peniaga yang berminat boleh mendaftar menerusi pautan http://tiny.cc/selangorebazar bermula hari ini.

“Pendaftaran sudah dibuka dan Kerajaan Negeri nak beri ruang kepada seluruh peniaga di Selangor untuk bersama memasarkan produk mereka seperti pakaian, songkok, kuih raya dan lain-lain,” katanya ketika wawancara menerusi Instragram Dbilique bersama Farah Fauzana hari ini.

Beliau berkata bazar secara dalam talian ini bagi membantu peniaga terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana pembeli tidak keluar atau mengunjungi ekspo raya seperti sebelum ini.

Sempena ketibaan bulan puasa, Kerajaan Negeri memperkenalkan e-bazar Ramadan menerusi dua saluran e-dagang khas iaitu Grab Selangor dan Platform Selangor (Plats) manakala juadah akan dihantar syarikat penghantar seperti Grab, BungkusIt, Mr Speedy, Zepto Express dan MatDespatch.