Categories
AGENDA NASIONAL

E-fail tahun taksiran 2020 bermula 1 Mac – LHDN

KUALA LUMPUR, 19 FEB: Pembayar cukai boleh mengemukakan Borang Nyata Tahun Saraan 2020 dan Tahun Taksiran 2020 melalui e-Filing bagi Borang E, BE, B, M, BT,MT, TF dan TP bermula 1 Mac ini.

Menurut kenyataan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) hari ini, sistem e-Filing boleh diakses melalui portal rasmi LHDN di www.hasil.gov.my dan terus ke ‘MyTax’, seterusnya ke ‘Perkhidmatan ezHasil’ dan ‘e-Filing’.

Bagi pembayar cukai yang mendaftar masuk buat kali pertama, mereka perlu mendapatkan nombor PIN terlebih dahulu dengan hadir di kaunter cawangan LHDN atau secara dalam talian menerusi Borang Maklum Balas di portal rasmi LHDN, manakala bagi yang terlupa kata laluan, mereka boleh tetapkan semula kata laluan baharu melalui e-mel atau nombor telefon bimbit yang berdaftar dengan LHDN.

Bagi yang menghadapi masalah, mereka boleh hubungi Hasil Care Line di talian 03-8911 1000 (untuk yang berada dalam negara) dan 603-8911 1100 (di luar negara) atau mengunjungi kaunter perkhidmatan LHDN yang berdekatan.

LHDN menjangkakan hampir 530,000 borang E Tahun Saraan 2020 akan diterima daripada majikan berdaftar, manakala sekitar 3.27 juta borang BE, B, BT, M dan MT, diterima daripada individu yang mempunyai rekod Potongan Cukai Bulanan (PCB) dan Ansuran CP500 bagi 2020.

Maklumat lanjut mengenai Program Memfail Borang Nyata bagi 2021 boleh didapati di http://phl.hasil.gov.my/pdf/pdfam/ProgramMemfailBN_2021_1.pdf.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

E-fail bermula 1 Mac – LHDN

CYBERJAYA, 28 FEB: Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) Tahun Taksiran 2019 bagi Borang E, BE, B, P, BT, M, MT, TF dan TP boleh dikemukakan melalui e-Filing mulai 1 Mac.

Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dalam kenyataan hari ini menyeru pembayar cukai agar mengemukakan BNCP dan membayar cukai pendapatan mereka dalam tempoh yang telah ditetapkan.

“Ini bagi mengelakkan sebarang penalti lewat hantar BNCP dan kenaikan lewat bayar cukai dikenakan terhadap mereka,” maklumnya.

Menurut LHDN, pembayar cukai juga boleh mengemukakan borang BE mereka menggunakan peranti mudah alih melalui aplikasi Mobile Filing yang boleh dicapai terus melalui portal rasminya www.hasil.gov.my.

Untuk sebarang maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari portal rasmi LHDN atau hubungi Hasil Care Line (HCL) di talian 03-8911 1000 atau 603-8911 1100 (luar negara).

– BERNAMA