Categories
AGENDA NASIONAL

Gagal bayar cukai RM1.69 bilion, LHDN fail notis bankrap terhadap Najib

KUALA LUMPUR, 6 APRIL: Kerajaan memfailkan notis kebankrapan terhadap bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kerana gagal membayar cukai pendapatan berjumlah RM1.69 bilion seperti yang diputuskan Mahkamah Tinggi pada Julai tahun lepas.

Mengikut dokumen yang difailkan di mahkamah, Kerajaan melalui Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) memfailkan notis itu di Mahkamah Tinggi di sini pada 4 Feb lepas terhadap Najib selaku penghutang.

Berdasarkan notis berkenaan, Najib perlu membayar RM1.69 bilion dengan lima peratus kadar faedah setahun atas jumlah baki dari 22 Julai 2020 (tarikh keputusan Mahkamah Tinggi) hingga 4 Feb 2021 iaitu RM45.9 juta serta kos RM15,000 dan setakat 4 Feb 2021 jumlah itu menjadi RM1,738,804,204.16.

Pada 22 Julai tahun lepas, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa Najib perlu membayar tunggakan cukai tambahan LHDN bagi tempoh 2011 hingga 2017 berjumlah RM1.69 bilion, selepas membenarkan permohonan LHDN untuk memasukkan penghakiman terus terhadapnya.

Penghakiman terus ialah apabila mahkamah memutuskan kes tertentu melalui hujahan tanpa mendengar keterangan saksi dalam perbicaraan.

Peguam Muhammad Farhan Muhammad Shafee yang mewakili Najib ketika dihubungi berkata mahkamah menetapkan 5 Mei ini untuk pengurusan kes itu.

“Datuk Seri Najib menerima salinan notis itu semalam,” katanya.

Najib telah memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu di Mahkamah Rayuan yang menetapkan 16 Jun untuk mendengar rayuannya.

Mengikut Seksyen 103(2) Akta Cukai Pendapatan 1967 (ITA), seseorang yang diperintahkan membayar hutang itu perlu menjelaskan bayaran itu kepada LHDN walaupun beliau menfailkan rayuan.

Oleh itu LHDN menfailkan notis kebankrapan terhadap Najib kerana masih gagal membayar jumlah berkenaan sehingga kini.

Hari ini Mahkamah Tinggi Sivil, menetapkan 11 Jun untuk mendengar permohonan Najib bagi menangguhkan perintah Mahkamah Tinggi itu.

Hakim Datuk Ahmad Bache menetapkan tarikh itu semasa pengurusan kes berkenaan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Hasil Care Line beroperasi semula hari ini – LHDN

SHAH ALAM, 30 MAC: Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) mengaktifkan semula operasi Hasil Care Line (HCL) mulai hari ini bagi menjawab sebarang pertanyaan berhubung Bantuan Prihatin Nasional (BPN).

Bahagian Komunikasi LHDNM memaklumkan, perkhidmatan itu bermula 9 pagi hingga 5 petang, dari Ahad hingga Jumaat dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

Bagaimanapun katanya, lain-lain premis LHDNM di seluruh negara masih ditutup sehingga tempoh PKP tamat.

“Pertanyaan mengenai isu percukaian dan BPN boleh dibuat di talian 03-8911 1000 atau +603-8911 1100 (bagi mereka di luar negara).

“Selain itu, talian Bantuan Sara Hidup (BSH) iaitu 1800-88-2747 turut akan beroperasi bagi menjawab sebarang pertanyaan berkenaan BSH,” katanya dalam kenyataan.

Sebarang pertanyaan dan maklum balas berhubung isu percukaian dan perkara berkaitan boleh dikemukakan melalui HASiL Live Chat dan Borang Maklum Balas di portal rasmi LHDN di https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/MaklumBalas/ms-my/.

Orang ramai boleh menggunakan saluran media sosial rasmi LHDN iaitu di Facebook (https://www.facebook.com/LHDNM) dan Twitter (https://twitter.com/LHDNMofficial).

Pembayar cukai juga boleh mendapatkan maklumat lanjut berkaitan urusan percukaian dalam tempoh PKP dengan melayari portal rasmi LHDN di www.hasil.gov.my atau klik pada pautan Soalan Lazim (FAQ) iaitu http://lampiran1.hasil.gov.my/pdf/pdfam/faq_1.pdf (versi Bahasa Malaysia dan http://lampiran1.hasil.gov.my/pdf/pdfam/faq_2.pdf (versi Bahasa Inggeris).

Pada 27 Mac lalu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pemberian BPM secara tunai dengan peruntukan hampir RM10 bilion bagi meringankan pendapatan rakyat yang terjejas susulan pelaksanaan PKP.

Categories
AGENDA NASIONAL

E-fail bermula 1 Mac – LHDN

CYBERJAYA, 28 FEB: Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) Tahun Taksiran 2019 bagi Borang E, BE, B, P, BT, M, MT, TF dan TP boleh dikemukakan melalui e-Filing mulai 1 Mac.

Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dalam kenyataan hari ini menyeru pembayar cukai agar mengemukakan BNCP dan membayar cukai pendapatan mereka dalam tempoh yang telah ditetapkan.

“Ini bagi mengelakkan sebarang penalti lewat hantar BNCP dan kenaikan lewat bayar cukai dikenakan terhadap mereka,” maklumnya.

Menurut LHDN, pembayar cukai juga boleh mengemukakan borang BE mereka menggunakan peranti mudah alih melalui aplikasi Mobile Filing yang boleh dicapai terus melalui portal rasminya www.hasil.gov.my.

Untuk sebarang maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari portal rasmi LHDN atau hubungi Hasil Care Line (HCL) di talian 03-8911 1000 atau 603-8911 1100 (luar negara).

– BERNAMA

Categories
EKONOMI NASIONAL

Kutipan kasar cukai langsung bagi 2018 meningkat 11.13 peratus

KUALA LUMPUR, 20 JAN: Prestasi kutipan kasar cukai langsung negara bagi tahun lalu oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) meningkat 11.13 peratus kepada RM137.035 bilion berbanding 2017, kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Beliau berkata, pencapaian itu telah mencipta satu sejarah baharu dalam kutipan hasil cukai langsung negara dan turut mengatasi pencapaian terbaik yang direkodkan pada 2014 iaitu RM133.70 bilion.

“Peningkatan ini disumbangkan oleh peningkatan kutipan daripada komponen pembayar cukai seperti syarikat, individu, petroleum, koperasi, duti setem dan lain-lain.

“Selain daripada mencerminkan keberkesanan kepimpinan bersih dan pentadbiran Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT), peningkatan hasil ini juga menunjukkan pertumbuhan ekonomi yang masih menggalakkan pada tahun lalu,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, kutipan hasil daripada cukai pendapatan (selain petroleum) telah menyumbang kira-kira 85.35 peratus daripada jumlah keseluruhan kutipan pada tahun lalu.

Komponen syarikat adalah penyumbang terbesar iaitu 51.11 peratus, diikuti komponen individu (26.32 peratus), kutipan hasil cukai petroleum (14.66 peratus), kutipan duti setem (4.33 peratus), kutipan cukai pegangan (2.27 peratus), kutipan Cukai Keuntungan Harta Tanah (1.07 peratus), kutipan cukai koperasi (0.12 peratus) dan Labuan IOFC serta lain-lain cukai (0.12 peratus).

“Kerajaan komited untuk mengurangkan ketirisan hasil dan meningkatkan kadar pematuhan cukai di Malaysia dan bagi tujuan itu, Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS) telah dilancarkan bermula 3 November tahun lalu dan akan tamat pada 30 Jun ini dengan menawarkan pengenaan kadar penalti yang sangat rendah iaitu 10 peratus dan 15 peratus.

“Sehubungan itu, kerajaan menyeru pembayar cukai yang mempunyai isu pematuhan cukai agar segera mengambil peluang menyertai program ini bagi mengelak dikenakan penalti yang lebih tinggi iaitu 80 peratus hingga 300 peratus apabila program ini tamat kelak,” katanya.

SUMBER: BERNAMA