Categories
AGENDA NASIONAL

RM66 juta agihan inisiatif e-Tunai Rakyat setakat ini

CYBERJAYA, 20 JAN: Sejumlah RM66 juta telah diagihkan kepada rakyat menerusi insiatif e-Tunai Rakyat setakat 9 malam semalam sejak dilaksanakan pada 15 Januari lepas, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Malah, beliau berkata sambutan orang ramai terhadap skim itu terbukti memberangsangkan dengan sejumlah 2.2 juta permohonan telah diluluskan daripada 2.9 juta permohonan yang diterima.

“Selain meningkatkan kadar penerimaan bagi pembayaran tanpa tunai di Malaysia, inisiatif e-Tunai Rakyat itu akan turut menyokong pertumbuhan ekonomi negara apabila penerima membelanjakannya di peringkat peniaga dan vendor tempatan,” katanya pada majlis pelancaran ekosistem tanpa tunai Cyberjaya dengan QR kebangsaan Malaysia, DuitNow QR hari ini.

Hadir sama Pengerusi Cyberview Sdn Bhd yang juga Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir, Pengarah Urusan Cyberview Sdn Bhd Mohd Najib Ibrahim dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PayNet Peter Schiesser.

Kerajaan telah memperuntukan sejumlah RM450 juta bagi inisiatif e-Tunai Rakyat tersebut.

Inisiatif mula 15 Januari dan berakhir pada 14 Mac depan, membolehkan rakyat Malaysia yang layak untuk menebus RM30 daripada mana-mana tiga pengendali e-dompet terpilih, Grab, Boost dan Touch ‘n Go.

Mengulas selanjutnya, Lim menegaskan bahawa usaha melahirkan masyarakat tanpa tunai itu adalah seiring dengan keutamaan kerajaan untuk menangani gejala rasuah.

“e-pembayaran itu merupakan saluran penting dan selamat bagi memastikan pihak yang layak menerima subsidi kita tanpa perlu membayar fi kendalian atau komisyen yang tidak sewajarnya,” katanya.

Menurut beliau, walaupun telah melaksanakan pelbagai usaha dan inisiatif sejak dua dekad lepas, hanya lima peratus daripada jumlah bayaran harian di Malaysia dijalankan menerusi kaedah tanpa tunai.

Sehubungan itu, katanya, antara aspek yang perlu ditumpukan bagi melonjakkan lagi amalan itu adalah memperluas kemudahan e-pembayaran selain selamat dan mudah digunakan.

Pada majlis hari ini, Lim berkata ekosistem tanpa tunai Cyberjaya akan dikendalikan oleh DuitNow QR, kos standard QR kebangsaan Malaysia.

Menerusi inisiatif itu, katanya, Cyberjaya akan menjadi bandar pertama di Malaysia untuk menggunapakai kod QR kebangsaan di bawah Rangka Kerja Pemindahan Kredit Saling Boleh Kendali (ICTF) Bank Negara Malaysia.

Piawaian DuitNow QR itu membolehkan pihak peniaga menjalin kerjasama dengan pihak seperti pelanggan semua bank dan e-dompet terbabit untuk membuat pembayaran DuitNow QR menggunakan aplikasi mudah alih masing-masing, katanya.

“Menerusi penyertaan dalam DuitNow QR, peniaga terbabit dapat menerima bayaran daripada 22 juta pelanggan bank selain berjuta-juta pengguna e-dompet,” katanya.

Sementara itu, Mohd Najib berkata kira-kira 51 peratus peniaga di Cyberjaya mempunyai kemudahan tanpa tunai setakat Disember 2018 dan angka itu dijangka meningkat susulan pelaksanaan DuitNow QR.

Rangkaian DuitNow itu dibangunkan oleh PayNet yang dimiliki bersama oleh 11 bank dengan BNM menjadi pemegang saham terbesarnya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

2.6 juta sudah mohon RM30 e-Tunai Rakyat – Guan Eng

IPOH, 20 JAN: Kerajaan tidak bercadang untuk melanjutkan tempoh permohonon program e-Tunai Rakyat yang akan berakhir pada 9 Mac depan.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata sebanyak 2.6 juta permohonan bagi menuntut wang percuma RM30 menerusi e-Tunai Rakyat diterima sejak program itu diumumkan pada Selasa lepas.

Katanya, daripada jumlah itu, 2 juta permohonan telah menerima pembayaran insentif berkenaan.

“Sebanyak RM59 juta telah dibelanjakan menjadikan lebih 10 peratus daripada RM450 juta yang diperuntukkan untuk program berkenaan telah dibelanjakan,” katanya selepas hadir pada majlis pelancaran Inisiatif e-Tunai Rakyat di pasar raya Aeon Kinta City di sini semalam.

Beliau berkata program ini adalah usaha untuk menggalakkan pembayaran digital dalam kalangan rakyat dan pada masa sama menggalakkan peniaga dan pedagang untuk berdaftar dan seterusnya menjual secara dalam talian.

“Usaha ini juga adalah untuk menuju masyarakat tanpa tunai dan sambutan serta respons yang diterima begitu baik dari rakyat Malaysia dan ia di luar jangkaan,” katanya.

Guan Eng berkata rakyat Malaysia yang telah menuntut wang RM30 pemberian kerajaan daripada mana-mana tiga pengendali e-dompet terpilih iaitu Grab, Boost, dan Touch ‘n Go perlu menggunakannya sebelum 14 Mac depan.

“Jadi semua termasuk peniaga diminta untuk mendaftarkan diri sekali gus merebut peluang ini sama ada untuk menjual atau membeli secara digital atau dalam talian,” katanya.

Program e-Tunai Rakyat membabitkan peruntukan RM450 juta diumumkan pada Selasa lepas bagi rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas dan berpendapatan kurang daripada RM100,000 setahun, layak menuntut wang percuma RM30 diberikan kerajaan.

Terdahulu, Guan Eng meluang masa lima minit melawat ‘village foodcourt’ di pasar raya berkenaan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Data peribadi program e-Tunai Rakyat disimpan secara sulit – Guan Eng

KUCHING, 17 JAN: Semua data peribadi yang diterima menerusi program e-Tunai Rakyat akan disimpan secara sulit oleh agensi pelaksana, Khazanah Nasional Berhad, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Beliau berkata Khazanah Nasional Berhad adalah sebuah syarikat pelaburan dana kekayaan yang dimiliki oleh kerajaan dan semua data diperolehnya adalah sama seperti yang dimiliki oleh kerajaan.

“Kalau kerajaan mahukan data peribadi rakyat Malaysia, ia sudah ada di dalam kad pengenalan. Ia lebih terperinci dan lebih menyeluruh.

“Ia bernilai kepada syarakat swasta yang terlibat dalam perniagaan dan perdagangan tapi sekiranya ia dimiliki oleh kerajaan, kita bukan dalam perniagaan, tentu kita tidak akan gunakannya untuk manfaat sedemikian,” katanya pada sidang media selepas mempromosi Pelancaran Inisiatif e-Tunai Rakyat kepada warga Kuching di pusat membeli-belah The Spring, di sini malam ini.

Hadir sama Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Chong Chieng Jen.

Guan Eng meminta orang ramai supaya tidak terpengaruh dengan tohmahan yang tidak berasas pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab kononnya program itu adalah strategi kerajaan untuk mendapatkan maklumat peribadi rakyat.

“Semua individu yang telah mendaftar itu, mereka tahu ia dikendalikan oleh kerajaan dan kerana itu mereka yakin untuk mendaftar dan menikmati insentif berkenaan,” tambahnya.

Program e-Tunai Rakyat dilancarkan pada Selasa bagi membolehkan rakyat Malaysia berkelayakan menuntut RM30 melalui tiga pengendali e-dompet iaitu Grab, Boost dan Touch ‘n Go.

Guan Eng berkata setakat ini lebih 800,000 permohonan telah diluluskan dan RM24 juta dibelanjakan.

Inisiatif berkenaan diumumkan kerajaan pada pembentangan Belanjawan 2020, Oktober tahun lepas yang menyediakan peruntukan RM450 juta bagi menggalakkan budaya digital dan peralihan masyarakat tanpa tunai.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

e-Tunai Rakyat: RM18.8 juta dibelanja kurang 48 jam

PUTRAJAYA, 17 JAN: Sebanyak RM18.8 juta dibelanjakan kerajaan dalam program e-Tunai Rakyat, kurang 48 jam pelaksanaannya, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Beliau berkata program itu menerima reaksi menggalakkan apabila 784,000 permohonan diterima dan 672,000 diluluskan setakat 10 malam tadi.

“Saya harap seluruh rakyat ambil manfaat ini. Ini hadiah daripada kerajaan Pakatan Harapan,” katanya kepada media selepas menyaksikan majlis menandatangani Perjanjian Tambahan kepada Perjanjian Rakan Pelaksana Projek MRT Laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya antara MRT Corp dan MMC-Gamuda JV, di sini hari ini.

Ditanya kebimbangan orang ramai berhubung pencerobohan data peribadi, Guan Eng berkata perkara itu tidak akan berlaku kerana data yang diperoleh tidak akan didedahkan kepada pihak berkepentingan.

“Kalau kita nak sebut data, sudah ada data dari kad pengenalan. Kalau ada apa-apa manfaat pun ia (data) daripada segi trend penggunaan.

“Di sini janganlah terbawa-bawa oleh pihak tertentu yang mungkin iri hati dengan sambutan baik atas e-wallet ini (e-dompet). Mereka cuba memperkotak-katikkan usaha ini,” katanya.

Dianggarkan 15 juta rakyat Malaysia layak menuntut wang RM30 pemberian kerajaan daripada mana-mana tiga pengendali e-dompet iaitu Boost, GrabPay dan Touch ‘n Go eWallet, bermula 15 Januari hingga 14 Mac.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

e-Tunai Rakyat: 320,000 permohonan lulus

SHAH ALAM, 16 JAN: Sebanyak 320,000 permohonan insentif e-Tunai Rakyat diluluskan Kementerian Kewangan setakat ini, kata menterinya.

Lim Guan Eng berkata program yang dilancarkan semalam menerima 380,000 permohonan untuk mendapatkan RM30 wang percuma, lapor Berita Harian.

Katanya susulan sambutan menggalakkan, sistem syarikat pengendali tersekat apabila terlalu ramai pengguna memasukinya pada satu masa.

“Terdapat gangguan sistem trafik kerana terlampau banyak permohonan dalam satu masa tetapi pengendali sudah menanganinya.

“Diharapkan tiga syarikat pengedali swasta yang dipilih dapat memastikan tiada lagi masalah teknikal seperti ini,” katanya.

Syarikat pengendali terlibat ialah Touch ‘n Go, GrabPay dan Boost.

Kira-kira 15 juta rakyat negara ini berusia 18 tahun ke atas dan berpendapatan kurang RM100,000 setahun, layak menerima insentif berkenaan.