Categories
SELANGOR

PBT tidak pernah keluar lesen premis maksiat, tindakan tegas diambil

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 16 JAN: Pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak pernah mengeluarkan lesen kepada premis dengan tujuan menjalankan aktiviti maksiat.

Exco Kerajaan Tempatan, Ean Yong Hian Wah berkata pihak PBT juga sentiasa melakukan penguatkuasaan berdasarkan jadual tetap bagi memantau sebarang aktiviti haram yang berkaitan.

Lawatan Exco Ean Yong ke MPKJ (3)Untuk itu, katanya, dakwaan akhbar pro-Umno kononnya terdapat lebih 2,000 sarang pelacuran di Selangor diragui.

“Aktiviti haram ini merupakan kesalahan jenayah dan pihak polis memainkan peranan utama untuk mencegahnya.

“Saya amat hairan mengapa polis tidak mengambil tindakan sewajarnya walaupun sudah berjaya mengenal pasti banyak sarang maksiat di Selangor.

“Statistik yang Polis keluarkan itu boleh diragui,” katanya kepada Selangor Kini.

Semalam, Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Samah Mat berkata sebanyak 2,067 premis di Selangor menjalankan aktiviti pelacuran.

Mengulas lanjut, Ean Yong menyatakan kesediaan Kerajaan Negeri untuk memberikan kerjasama penuh bagi membanteras aktiviti berkenaan.

Pada masa sama, beliau turut mengingatkan mana-mana pihak untuk tidak mempolitikkan isu itu.

“Kita tidak mahu fakta yang ada diputar-belitkan dan seterusnya mengelirukan rakyat.

“Tindakan sebegini ternyata hanya bertujuan memburukkan imej Pakatan Rakyat di Selangor,” katanya lagi.

EZY