Categories
ADN SELANGOR

300 keluarga tiga pangsapuri di Seri Kembangan terima bantuan makanan

SHAH ALAM, 3 JAN: Seramai 300 isi rumah memerlukan dari tiga kawasan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Kembangan menerima bantuan pek makanan asas.

Ahli dewan negerinya berkata sumbangan dianggar bernilai RM40 setiap satu diagihkan kepada golongan sasar di Pangsapuri Seri Aman, Pangsapuri Seksyen 5 Bukit Serdang dan Pangsapuri Bayu Bukit Serdang.

“Sebanyak RM12,000 dibelanjakan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) untuk agihan ini bagi meringankan beban keluarga berpendapatan rendah (B40), ibu tunggal, warga emas dan orang kelainan upaya (OKU).

“Semua penerima berterima kasih kepada Kerajaan Negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) kerana mengambil berat kesukaran dihadapi mereka ketika ini disebabkan pandemik Covid-19,” kata Ean Yong Hian Wah ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata jumlah tersebut menjadikan lebih 2,000 penerima mendapat manfaat menerusi program agihan bekalan keperluan makanan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa.

Sementara itu, Ean memaklumkan seramai 200 pelajar sekolah rendah turut mendapat bantuan keperluan persekolahan tahun ini.

“Sumbangan ‘Back To School’ diedarkan dua bulan lalu dengan menyasarkan pelajar yang benar-benar susah. Kita juga sedia membantu pelajar yang berdepan masalah kewangan untuk mendapat bantuan sama,” katanya.

Categories
SELANGOR

26,268 guna aplikasi parkir dalam talian Flexi Parking

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 13 NOV: Sebanyak 26,268 orang menggunakan aplikasi parkir dalam talian dikendali Flexi Parking bagi empat pihak berkuasa tempatan (PBT), di Selangor.

Exco Kerajaan Tempatan, Pemutihan Kilang Haram dan Pembangunan Kampung Baru, Ean Yong Hian Wah berkata, jumlah keseluruhan itu dicatatkan di Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dam Majlis Perbandaran Sepang (MPSp).

“Daripada jumlah itu, seramai 10,819 menggunakannya di MBSA, 8,876 (MPAJ), 3,660 (MPSp) dan 2,913 (MPS).

“Manakala jumlah kos pengurusan Flexi Parking pula hanya di MPAJ berjumlah RM3,995.14,” katanya menjawab pertanyaan lisan Ahli Dewan Negeri Telok Datok, Loh Chee Heng dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, hari ini.

Beliau berkata, kos pengurusan itu hanya membabitkan MPAJ kerana MBSA, MPS dam MPSp tidak mempunyai kos berkaitan.

Katanya, perkara itu ditanggung pihak konsesi di tiga PBT berkenaan.

Categories
PBT SELANGOR

Lebih RM100,000 baik pulih Perhentian Bas Awam Bestari Jaya

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 10 NOV: Majlis Daerah Kuala Selangor sudah mengeluarkan tawaran kerja membaik pulih kemudahan Perhentian Bas Awam, di Pekan Bestari Jaya.

Exco Kerajaan Tempatan, Pemutihan Kilang Haram dan Pembangunan Kampung Baru, Ean Yong Hian Wah berkata, ia dikeluarkan menerusi SH 121/2017 membabitkan kos RM104,740.

“Kerja akan dilaksanakan Kuala Indah Resource,” katanya di Dewan Negeri Selangor, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan lisan Ahli Dewan Negeri (ADN) Ijok, Dr Idris Ahmad berhubung rancangan Kerajaan Negeri membaik pulih perhentian bas berkenaan.

Menjawab soalan lain, Ean Yong berkata, hanya terdapat satu Pasar Rakyat dibuka setakat ini iaitu di kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Ampang Jaya membabitkan 55 usahawan.

“Sementara itu, Majlis Bandaraya Shah Alam, Majlis Perbandaran Kajang, Majlis Perbandaran Sepang dan Majlis Daerah Hulu Selangor masih dalam pembinaan,” katanya.

Beliau merujuk pertanyaan lisan ADN Sabak, Sallehen Mukhyi berhubung pembangunan Pasar Rakyat, di seluruh Selangor.

Categories
PBT SELANGOR

10 PBT pantau kawasan cerun kritikal

OLEH SABIRAH AZIZ

SHAH ALAM, 10 NOV: Sebanyak 10 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) membuat pemantauan berterusan di kawasan cerun yang berisiko.

Exco Kerajaan Tempatan, Pemutihan Kilang Haram dan Pembangunan Kampung Baru, Ean Yong Hian Wah berkata, pemantauan itu dilakukan mengikut kaedah disyorkan Cawangan Cerun Jabatan Kerja Raya (JKR) dan perunding geoteknikal lain.

“Antara PBT terbabit ialah MBPJ, MPK, MBSA, MPAJ dan MPKJ. Selain pemantauan, PBT kini sedang berusaha memperkuatkan keupayaan dan keanggotaan Unit Cerun di Jabatan Kejuruteraan masing-masing.

“PBT juga tidak mempunyai peruntukan khas bagi kerja pembaikan cerun. Bagaimanapun, PBT menggunakan Tabung Amanah (ISF) dan peruntukan MARRIS untuk menjalankan kerja kritikal serta secara pinjaman daripada Kerajaan Negeri bagi mengatasi masalah ini,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negeri (ADN) Kinrara, Ng Sze Han berhubung kawasan cerun kritikal yang memerlukan tindakan segera.

Sementara itu, sebanyak 182 kompaun dan 76 sitaan dikenakan terhadap kedai besi buruk haram di Seksyen 18, Petaling Jaya, dari tahun 2013.

Beliau juga akan meminta Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) mengambil tindakan lebih tegas berkaitan dengan kedai besi buruk haram yang masih beroperasi walaupun aduan sudah dibuat, sejak tahun 2013.

“Saya akan meminta MBPJ mengambil tindakan lebih tegas ke atas kedai besi buruk haram yang berkaitan,” katanya yang menjawab pertanyaan ADN Bukit Gasing, R Rajiv.

Categories
SELANGOR

Subang Jaya lokasi Sistem BBU Berpusat pertama negara

Subang Jaya lokasi Sistem BBU Berpusat pertama negara
OLEH LIZAWATI MADFA

SUBANG JAYA, 28 SEPT: Selangor sekali lagi mencatat sejarah apabila menjadi lokasi projek perintis teknologi Sistem BBU Berpusat (Centralised BBU System-CBS) pertama negara, di Subang Jaya.

Exco Kerajaan Tempatan, Pembangunan Kampung Baru dan Pemutihan Kilang Haram, Ean Yong Hian Wah berkata, ia mampu menyediakan capaian internet laju dengan kemudahan wifi percuma selain dilengkapi ciri tambahan seperti Kamera Litar Tertutup (CCTV) dan lampu limpah.

Katanya, teknologi berkenaan juga menggunakan kaedah fiber optik berbanding fiber microwave.

IMG_20170928_114247-1280x838“CBS ini juga membabitkan kerja ‘laying cable’ di bawah tanah sahaja tanpa mengganggu sebarang kerja pemotongan atau pengorekan jalan.

“Kaedah ini, sekali gus mengelakkan kerosakan jalan yang kerap terjadi sebelum ini,” katanya pada Majlis Pelancaran CBS, di Padang Permainan SS18/6, di sini, hari ini.

Projek perintis itu dibangunkan syarikat swasta, Platinum Core Solution (PCS) bagi memperkenal teknologi diilhamkan dari Korea Selatan.

Untuk fasa pertama, Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) meluluskan sembilan ‘pole’ untuk didirikan, di sekitar Subang Jaya dan USJ.

Majlis turut dihadiri Timbalan Yang Dipertua MPSJ, Mohd Zulkurnain Che Ali dan Speaker Dewan Negeri Selangor yang juga Ahli Dewan Negeri Subang Jaya, Hannah Yeoh.

Categories
SELANGOR

Miliki Balairaya JKKK selepas 45 tahun menanti

OLEH SYAZWANI SUFIAN

KAJANG, 10 SEPT: Setelah hampir 45 tahun, Kampung Bukit Angkat kini memiliki Balairaya Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) pertama bagi kegunaan penduduk disekitar itu.

Exco Kerajaan Tempatan, Pembangunan Kampung Baharu dan Pemutihan Kilang Haram, Ean Yong Hian Wah berkata, sebanyak RM230,000 diperuntukkan Kerajaan Negeri untuk membangunkan pusat komuniti itu.

Katanya, sebelum ini kampung tersebut diabaikan kerajaan terdahulu iaitu ketika pentadbiran dibawah Barisan Nasional (BN).

“Sebelum ini, kampung ini tiada sebarang pembangunan mahupun baik pulih dilakukan di kampung ini.

“Namun setelah Kerajaan Pakatan mengambilalih, kita peruntukkan RM1 juta sepanjang dua penggal kita tadbir untuk menaik taraf infrastruktur dan membangunkan kemudahan di kampung ini,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan pembukaan Balairaya JKKK Kampung Bukit Angkat, Kajang, di sini, hari ini.

Ean berharap dengan adanya pusat komuniti itu lebih memudahkan penduduk di kawasan itu melaksanakan sebarang aktiviti kemasyarakatan.

=EZY=

Categories
SELANGOR

Kerajaan Negeri tanggung hampir RM300,000 tanggungjawab Persekutuan

OLEH LIZAWATI MADFA

HULU SELANGOR, 25 OGOS: Sejumlah RM296,000 dibelanja Kerajaan Negeri bagi membina semula jambatan di Kampung Baru Gurney, di sini, walaupun ia tanggungjawab Kerajaan Persekutuan menerusi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Exco Kerajaan Tempatan, Pemutihan Kilang Haram dan Pembangunan Kampung Baru, Ean Yong Hian Wah berkata, jambatan asal dibiayai Kerajaan Persekutuan namun tiada tindakan lanjut walaupun keperluan jambatan baru disuarakan, sejak 2012.

Katanya, Kerajaan Negeri bagaimanapun bersetuju mengeluarkan peruntukan selepas mengambil kira keperluan mendesak lebih 1,000 penduduk di kampung berkenaan.

HULU SELANGOR EAN (2)“Seharusnya Kerajaan Persekutuan beri peruntukan, malangnya tiada bantuan walaupun ia adalah tanggungjawab mereka. Kita kesal dengan sikap sebegitu, namun tidak mengapa kerana Kerajaan Negeri sentiasa bersedia demi kemudahan penduduk,” katanya selepas menyertai lawatan kerja ke tapak jambatan dengan disertai Jurutera Daerah Hulu Selangor (JPS), Halim Masri.

Halim berkata, kerja pembinaan mula dibuat pada 21 Julai lalu dan dijangka siap pada 14 September ini.

Katanya, ia bagaimanapun hanya boleh dilalui kenderaan kecil seperti motosikal, basikal serta pejalan kaki.

“Itu permintaan penduduk di sini untuk membina jambatan konkrit untuk laluan berkapasiti kecil bagi memudahkan penduduk terutama pelajar ke sekolah.

“Ia tidak sesuai untuk laluan kereta, maka kita penuhi permintaan penduduk seperti diminta Kerajaan Negeri,” katanya.

Categories
KENYATAAN MEDIA

Kenyataan Noh Omar tak betul, burukkan Kerajaan Negeri

OLEH EAN YONG HIAN WAH

Saya berasa amat kesal dan terkejut apabila Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan, dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Tan Sri Noh Omar mengatakan semalam bahawa kementeriannya mengambil tindakan tidak meneruskan kontrak syarikat pengendali yang dilantik oleh Kerajaan Negeri yang tamat pada 21 Mei 2017 atas alasan tidak berpuas hati dengan hasil kerjanya.

Kenyataan Noh Omar adalah tidak betul dan cuba memburukkan nama baik Kerajaan Negeri Selangor.

Ingin dimaklumkan bahawa sepanjang tempoh pengurusan tapak Stesen Pemindahan Sisa Pepejal Seksyen 21, Shah Alam(SATS), Worldwide Holding Berhad(WHB) tidak pernah menerima sebarang aduan berkenaan pengurusan dan perkhidmatan daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), KPKT dan agensi-agensi yang terlibat dalam pengoperasian SATS iaitu SWCorp, Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) dan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (PPSPPA) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

i. Sepanjang tempoh 5 tahun pengurusan SATS, pihak kerajaan Persekutuan dan agensi yang berkaitan telah melawat SATS lebih dari 10 kali, antaranya lawatan daripada mantan Menteri KPKT, Dato’ Seri Chor Chee Heung dan mantan Ketua Setiausaha KPKT, Datuk Seri Arpah Abdul Razak, mantan Ketua Pengarah JPSPN, Dato’ Dr. Nadzri Yahaya dan CEO SWCorp, Dato’ Dr. Zulkapli Bin Mohamed. Kesemua ulasan yang diterima daripada lawatan-lawatan ini adalah baik dan tiada sebarang aduan telah dikemukakan kepada WHB.

ii. Pihak KPKT juga telah menempatkan dua pegawai SWCorp selama dua (2) bulan bagi menjalani latihan pengurusan alam sekitar di SATS.

iii. Laporan pengoperasian dan penyelengaraan SATS diberikan kepada KPKT secara berkala.

iv. Surat aduan daripada KPKT berhubung ketidakpuasan pengoperasian dan penyelenggaraan SATS tidak pernah diterima oleh WHB sepanjang tempoh lima (5) tahun.

Justerus itu, tuduhan daripada Noh Omar adalah tidak berasas dan beragenda politik jahat.

Saya menyeru kepada Noh Omar supaya menjalankan tugasnya sebagai menteri dengan profesional dan memberi kenyataan mengikut fakta. Rakyat Selangor berasa amat kecewa dengan perangai Noh Omar yang sengaja mempolitikkan isu demi kepentingan diri sendiri.

# Ean Yong Hian Wah adalah Exco Kerajaan Tempatan, Pemutihan Kilang Haram dan Pembangunan Kampung Baru

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Pertimbang tempat letak kenderaan berat di kawasan terbiar

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 7 NOV: Kerajaan Negeri akan mempertimbangkan cadangan tempat letak kenderaan berat di tanah kosong atau kawasan yang terbiar berdekatan kawasan perumahan.

Exco Kerajaan Tempatan, Pemutihan Kilang Haram dan Pembangunan Kampung Baru, Ean Yong Hian Wah berkata, cadangan terbabit akan dikaji terlebih dulu sebelum dilaksanakan ekoran tidak semua kawasan perumahan mempunyai kawasan yang sesuai.

“Kita mengambil maklum cadangan ini, namun perlu difahami bukan semua taman mempunyai kawasan yang sesuai.

img_4395-1024x683“Penyediaan tapak tempat letak kenderaan berat adalah berdasarkan kepada peruntukan yang ditetapkan dalam manual garis panduan piawaian dan perancangan Selangor,” katanya di Sidang Dewan Negeri, di sini, hari ini.

Hian Wah berkata, undang-undang yang digunapakai bagi mengelakkan kenderaan berat diletakkan di kawasan kediaman ketika itu adalah peruntukan di bawah Undang-undang Kecil Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) berhubung halangan di atas jalan.

“Kesalahan yang dilakukan boleh dikenakan tindakan kompaun RM1,000 dan kes dibawa ke mahkamah sehingga RM2,000,” katanya.

Setakat ini, sebanyak 12 tempat letak kenderaan berat di Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Bandaraya Petaling Jaya (1), Majlis Perbandaran Klang (6), Majlis Perbandaran Subang Jaya (1), Majlis Perbandaran Sepang (3), Majlis Perbandaran Selayang (1) dan Majlis Daerah Kuala Selangor (3).
-NFN-

Categories
SELANGOR

Sambut baik guna CCTV kekang kes buang sampah haram

OLEH : NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 2 MEI: Kerajaan Negeri menyambut baik tindakan inisiatif pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam menangani isu pembuangan sampah haram.

Exco Kerajaan Tempatan, Pemutihan Kilang Haram dan Pembangunan Kampung Baru, Ean Yong Hian Wah, berkata Kerajaan Negeri mengalakkan PBT mengambil tindakan inisiatif secara ‘Smart’ dan inovatif selaras gagasan Smart Selangor yang diuar-uarkan.

“Ia perlu mengikut kesesuaian PBT masing-masing.

cctv“Kerajaan Negeri mengalakan PBT mengambil tindakan inisiatif secara “smart” dan inovatif untuk mengawal isu pembuangan sampah haram,” katanya kepada SelangorKini ketika dihubungi.

Ean berkata demikian bagi mengulas tindakan Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) yang memasang kamera litar tertutup (CCTV) bergerak di lokasi tempat pembuangan sampah haram di bawah pentadbiran PBT itu.

Baru-baru ini, Yang Dipertua MPSepang, Datuk Puasa Md Taib berkata, inisiatif itu bagi mengenal pasti pembuang sampah yang menjadikan tempat letak kereta di kawasan komersial sebagai lubuk pembuangan sisa perniagaan.

“Kita sedang dan kenal pasti siapa buang sampah di kawasan tersebut, saya syak mereka peniaga dari kawasan berhampiran termasuk dari kawasan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dan Sepang,” katanya.

Katanya, MPSepang akan meletakkan papan tanda denda di kawasan yang sering dijadikan tempat pembuangan

Mereka yang ditangkap pula dikenakan kompaun RM1,000 manakala kenderaan digunakan akan disita.

“Kita tempatkan CCTV ni di lokasi panas, yang mana buang di kawasan selain rumah sampah, memang kita akan kenal pasti dan kenakan tindakan. Tahun ini saja dah lima tangkapan dan sitaan dibuat,” katanya.

Pada masa sama Puasa berkata, MpSepang dalam proses membuat lantikan baharu kepada 14 kontraktor sampah domestik.

Katanya, kontraktor lama ditamatkan perkhidmatan pada 30 Jun ini setelah diberi lanjutan sebanyak tiga kali.

EZY

Categories
SELANGOR

SELCAT: JKN perlu buat kajian keberkesanan atasi denggi

Oleh: HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 23 FEB: Kajian perlu dijalankan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) bagi mengenal pasti kawasan ‘hotspot’ dan isu pengurusan sampah di Selangor.

Exco Kerajaan Tempatan, Pemutihan Kilang Haram dan Pembangunan Kampung Baru, Ean Yong Hian Wah, berkata kenyataan mengatakan masalah pembanterasan wabak denggi gagal berikutan masalah pengurusan sampah adalah tidak tepat kerana ia berjalan seperti mana ditetapkan.

Ean SELCAT“Kalau dikatakan gagal tidak tepat tetapi dikatakan kurang berkesan mungkin boleh diterima.

“Bagi saya JKN perlu menjalankan satu kajian bagi mengenal pasti masalah ini dan tidak seharusnya mengaitkan dengan pengurusan sampah di pihak berkuasa tempatan (PBT),’ katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi pendengaran awam mengenai wabak denggi di Selangor bersama Jawatankuasa Pilihan Khas Mengeai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) di sini, hari ini.

Beliau berkata, PBT menjalankan tugas dalam pengurusan sampah dengan baik dan ia pada tahap membanggakan.

Katanya, kutipan sampah domestik dilakukan secara berkala di setiap PBT dan hanya sampah pukal dijalankan seminggu atau dua minggu sekali mengikut jadual di sesuatu PBT.

“PBT kebiasaannya bertindak sebagai agensi bantuan dalam kerja pencegahan wabak denggi.

“Kita sentiasa memberi kerjasama kepada JKN dalam perkara ini,” katanya kepada SELCAT yang mempersoalkan peranan PBT dalam isu pengurusan sampah seperti mana dibangkitkan JKN.

EZY

Categories
SELANGOR

Guna burung pungguk tangani tikus

Oleh: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 26 DIS: Kerajaan Negeri akan menggunapakai burung pungguk bagi menangani masalah tikus di semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sekiranya ia efektif.

Exco Kerajaan Tempatan, Pemutihan Kilang Haram dan Pembangunan Kampung Baru, Ean Yong Hian Wah, berkata Kerajaan Negeri tiada sebarang masalah untuk laksanakan kaedah tu.

Burung PunggukKatanya, namun pihaknya perlu melihat dan mengkaji keberkesanan yang dilakukan oleh Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) ketika ini terlebih dahulu.

“Tiada masalah untuk dilaksanakan. Kita akan menggunapakai jika kaedah itu efektif.

“Ketika ini, MPSJ terlebih dahulu melaksanakannya dan kita akan lihat keberkesanan daripada mereka,” katanya kepada SelangorKini.

Minggu lalu, MPSJ dengan kerjasama Universiti Sains Malaysia (USM) menggunakan burung pungguk sebagai ejen biologi mengawal pembiakan tikus.

Sebanyak 12 burung pungguk akan ditempatkan di Subang Jaya, USJ dan Bandar Sunway dalam tempoh enam bulan bagi inisiatif pertama seumpamanya di Asia.

Sebelum ini, kaedah racun bagi mengawal populasi tikus kurang berkesan.

Bagi merealisasikan hasrat tersebut, MPSJ memperuntukkan sebanyak RM50,000 selain ia turut mendapat tajaan hampir RM100,000 hasil sumbangan pejabat Adun Subang Jaya serta beberapa sektor swasta di sekitar kawasan Subang Jaya.

Dalam tempoh dua tahun lalu hampir 8,500 ekor tikus berjaya ditangkap di kawasan MPSJ.

Diet pemakanan burung pungguk lebih eksklusif kepada tikus perosak dan dianggarkan sepasang burung pungguk bangsal boleh makan 1,300 tikus setahun.

EZY