Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Pelawak terkenal tolak bantuan LZS, rumah siap empat bulan lagi

SHAH ALAM, 16 FEB: Walau rumahnya yang hampir siap hanyut dalam banjir Disember lalu, pelawak terkenal tetap menolak bantuan Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Ebby Yus, 56, menolak tawaran tersebut kerana berasa lebih ramai lagi mangsa bah yang memerlukan, selain beliau yakin dirinya masih mempunyai kudrat untuk bekerja.

“Saya bukan asnaf. Saya tahu LZS mahu ringankan beban tetapi saya boleh lagi keluar bekerja. Jadi biarlah LZS bantu mereka yang benar-benar memerlukan” katanya pada 16 Februari.

Ebby, atau nama sebenarnya Muhammad Yunus Abdul Rashid, bagaimanapun menerima bantuan RM56,000 daripada kerajaan persekutuan dan RM1,000 Bantuan Selangor Bangkit (BSB).

Sekarang menyewa di Kampung Baru, Kuala Lumpur, beliau menjelaskan rumahnya di tepi Sungai Lui, Hulu Langat dijangka dapat disiapkan empat bulan lagi.

“Alhamdulillah. Memang rumah baharu ini tidak sama dengan rumah lama tetapi sudah mencukupi. Rumah didirikan di tapak sama cuma jauh sedikit dari sungai,” katanya.

Rumah impiannya yang hampir siap musnah dihanyutkan bah pada 18 Disember tahun lalu menyebabkan beliau kerugian hampir RM200,000.