Categories
SELANGOR

Kerajaan Negeri tawar RM520 juta sahaja kepada Eco World

Oleh: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 29 OGOS: Projek perumahan Selangorku yang ditawarkan kepada Eco World adalah RM520 juta sahaja selepas hasil kajian terperinci yang dilaksanakan jawatankuasa dengan dibantu Independent Checking Engineer (ICE).

Eksekutif Komunikasi Menteri Besar, Shazni Munir Mohd Ithnin, berkata jumlah itu berdasarkan kos kontrak yang wajar ditawarkan.

Katanya, semua pihak juga bersetuju bahawa sebarang penjimatan kepada kos kontrak akan dihitung sebagai keuntungan bersama (profit sharing).

rumah mampu milik sutera damansara 01“Jika terdapat peningkatan kos, lebihan itu perlu ditanggung sepenuhnya Eco World. Malah, Lembaga Perumahan & Hartanah Selangor (LPHS) akan memaklumkan kos yang dibayar kepada kontraktor (Eco World) supaya transaksi kewangan ini dapat dianalisa rakyat, di samping mengekalkan konsep ketelusan dan urus tadbir yang amanah,” katanya kepada Selangor Kini.

Shazni berkata, keseluruhannya, projek itu dijangka siap sepenuhnya penghujung 2020 dan dijalankan secara tiga fasa pembangunan membabitkan 2,496 unit rumah.

“Bagi Fasa 1, projek akan bermula pada Januari 2015 hingga Disember 2016 (20 bulan), Fasa 2 akan bermula Mei 2015 hingga 2018 dan Fasa 3 akan bermula Januari 2016 hingga Disember 2019,” katanya.

Shazni berkata, Kerajaan Negeri pada sesi Dewan yang lepas meluluskan peruntukan RM100 juta untuk pembinaan Rumah Mampu Milik.

shaznihqdefaultKatanya, peruntukan RM100 juta itu akan digunakan sebagai modal pusingan yang diurus dan dilaksanakan LPHS untuk membina lebih banyak Rumah Mampu Milik pada masa akan datang.

Beliau berkata, selepas mengenalpasti konsep pembinaan Rumah Mampu Milik yang lebih cepat, murah dan berkualiti tinggi, Kerajaan Negeri akhirnya bersetuju untuk menggunapakai Konsep Pasang Siap [Pre-Fabricated – Industrial Building System (IBS)].

“Lalu beberapa siri perbincangan diadakan bersama dengan lebih daripada lima buah syarikat pembinaan yang terbabit secara langsung dengan IBS.

“Tidak sekadar itu, LPHS juga membuat lawatan tapak projek sehingga ke Bangkok dan Singapura untuk melihat sendiri gambaran sebenar operasi pembinaan, kemampuan kuantiti pengeluaran serta kualiti yang dihasilkan syarikat pembinaan ini,” katanya.

Sehubungan itu, Kerajaan Negeri membuat keputusan untuk menggunapakai teknologi IBS yang dimiliki Eco World Development Group Berhad.

“Keputusan itu dibuat memandangkan syarikat terbabit berpengalaman membangunkan Perumahan Mampu Milik dalam kuantiti yang banyak (mewarisi sekitar 80 peratus tenaga pakar daripada syarikat SP Setia Berhad Group) serta menggunapakai konsep IBS secara in-situ iaitu konsep pasang siap di tapak pembinaan yang dapat menjimatkan kos pengangkutan,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan urusan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dengan pihak swasta termasuk projek perumahan untuk rakyat miskin yang dilihat sebagai mencurigakan.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Eco World diberi tender Rumah Selangorku kerana kepakaran tinggi

Oleh: AFEEQA AFEERA

KUALA LUMPUR, 10 OGOS: Penganugerahan tender kepada Eco World Berhad bagi membangunkan projek perumahan rumah mampu milik di Sungai Sering, Hulu Kelang dilakukan berikutan syarikat terbabit memiliki kepakaran yang tinggi dalam bidang pembinaan.

Eksekutif Komunikasi Menteri Besar Selangor, Shazni Munir Mohd Ithnin, berkata pemilihan Eco World dibuat melalui proses yang panjang dengan membabitkan lebih lima buah syarikat berpengalaman untuk membangunkan rumah mampu milik.

rumah mampu milik sept 2012 01Kenyataan itu sekali gus menafikan dakwaan Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Saifuddin Nasution bahawa Eco World diberi ‘keistimewaan’ kerana pemiliknya, Tan Sri Rashid Manaf mempunyai hubungan baik dengan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

“Berlaku perubahan pentadbiran apabila Rashid yang dulunya pengerusi SP Setia kemudiannya menubuhkan Eco World dengan menyaksikan pemindahan kira-kira 80 peratus tenaga mahir dari SP Setia ke syarikatnya.

“Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) menilai bahawa projek mampu milik ini boleh diuruskan Eco World kerana kerja mereka yang lebih berkualiti dan cepat berikutan kepakaran dari syarikat SP Setia dibawa masuk ke Eco World.

shaznihqdefault“Justeru kenyataan Saifuddin itu tidak tepat apabila mengatakan ia secara tiba-tiba dianugerahkan kepada Eco World,” katanya pada Forum Krisis Selangor : Khalid Ibrahim belot Pakatan? di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor, di sini, semalam.

Saifuddin sebelum ini mendakwa Eco World dianugerahkan projek perumahan mampu milik di Ukay Perdana bagi membina 2,400 unit rumah pangsa mampu milik di bawah geran Selangorku yang dianggarkan bernilai RM591 juta, pada 25 Mac lalu.

Beliau juga mendakwa, langkah memberikan projek itu juga meragukan kerana pada asalnya sedang dibincangkan dengan syarikat lain.

-NFN-