Categories
SUKANKINI

OKU cacat penglihatan kayuh basikal 400km

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 5 SEPT: Dilahirkan sebagai orang kelainan upaya (OKU) cacat penglihatan tidak menghalang Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB) bersaing bersama individu normal lain.

Iltizam itu dilaksanakan MAB menerusi penganjuran Ekspedisi Berbasikal Tandem KL – Selangor – Tasik Banding, Perak 2017 membabitkan penyertaan 90 peserta termasuk 20 pelatih cacat penglihatan, 27 sukarelawan, 25 jawatankuasa kerja dan 20 jawatankuasa teknikal.

Disokong sepenuhnya Kerajaan Negeri, Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari berkata, program itu membuktikan Kerajaan Negeri tidak meminggirkan golongan terbabit dalam segenap aspek.

“Pelaksanaan program ini seharusnya mendapat sokongan semua pihak memandangkan manfaatnya begitu besar khususnya dalam meningkatkan kesedaran terhadap OKU.

“Kita yakin ekspedisi ini dapat dilaksanakan dengan jaya membawa nama baik Kerajaan Selangor sebagai kerajaan prihatin dan cakna kepada sukan OKU.

IMG_20170905_132515“Secara tidak langsung, ekspedisi ini juga dapat mempromosikan program latihan anjuran MAB dan semoga usaha baik ini diberkati dan dipertingkatkan lagi dari semasa ke semasa,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor, pagi ini.

Hadir sama, Pengarah Eksekutif MSN Selangor, Mohd Zubir Idrus; Timbalan Presiden MAB, Dato’ Kulasegaran Sabaratham; Pengerusi Bahagian Pendidikan dan Latihan MAB, Dr S. Hadi Abdullah dan Ahli Majlis Latihan Gurney MAB, Abdul Rahman Wahidin.

Ekspedisi Berbasikal Tandem itu membabitkan jarak 400KM dengan beberapa ‘pit stop’ di Slim River, pada jarak (100km), Ipoh (100km), Gerik (150km) dan Tasik Banding (50km), bermula 19 hingga 23 September ini.

Antara objektif utama penganjurannya termasuk mempromosikan pusat latihan MAB yang menyediakan kursus kemahiran secara percuma kepada OKU cacat penglihatan.

Ia juga dilaksanakan bagi memupuk semangat toleransi antara pelaatih cacat penglihatan, di samping mengamalkan gaya hidup sihat melalui aktiviti kesukananan.