Categories
SELANGOR

Polis Selangor rampas 600,000 pil Erimin 5

SHAH ALAM – Polis Selangor merampas 600,000 biji pil Erimin 5 bernilai RM9 juta di sebuah gudang di Telok Gong, Pelabuhan Klang, pada 22 Mei lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Samah Mat, berkata rampasan kira-kira pukul 2 petang itu adalah susulan tangkapan seorang lelaki berusia 30-an bersama 60 kotak berisi pil berkenaan di dalam kereta Toyota Vellfire di kawasan sama, pada 18 Mei.

“Suspek berusia 30-an itu dibawa ke gudang terletak di Jalan Udang Gantung dan polis berjaya merampas 60 kotak saiz sederhana berisi 600,000 pil sama dianggarkan seberat 17.52 kg.

samahmat“Sebiji pil itu bernilai RM15 mengikut harga pasaran. Siasatan awal mendapati dadah ini diimport dan dibawa masuk ke negara ini dengan kapal kontena serta diisytihar sebagai ubat-ubatan pelbagai jenis,” katanya, memetik BERNAMA.

Beliau berkata, siasatan juga mendapati pil dirampas di gudang berkenaan adalah yang ketiga dibawa masuk ke negara ini manakala yang dirampas bersama-sama tangkapan suspek sebelum ini adalah kiriman (consignment) kedua.

“Daripada maklumat diperolehi, pil dengan jumlah sama yang pertama kali dibawa masuk ke negara ini oleh sindiket sama sudah terlepas,” katanya.

Abdul Samah berkata, pihaknya akan menyiasat kemungkinan wujudnya penglibatan orang dalam pihak berkuasa pelabuhan.

Katanya, pihaknya juga sedang mengesan seorang lagi suspek warga tempatan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan suspek pertama bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati,” katanya.