Categories
AGENDA NASIONAL

Saringan Komuniti: Penduduk Meru disaran tidak panik, terus ikut SOP

KLANG, 3 DIS: Penduduk Meru dinasihatkan tidak panik jika terdapat peningkatan kes Covid-19 melalui Saringan Komuniti yang diadakan semalam.

Wakil rakyatnya berkata pertambahan kes sememangnya dijangka berikutan saringan besar-besaran membabitkan kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

“Bagaimanapun, kita tidak boleh selesa kerana kita belum menang. Teruskan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) bagi mencegah penularan Covid-19,” kata Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar pada program Saringan Covid-19 Komuniti Bersasar di perkarangan Dewan Masyarakat Taman Meru 3 semalam.

Saringan Komuniti percuma kepada penduduk Taman Meru 3, Taman Seri Meru, Taman Bayu dan Taman Desa Permai diadakan susulan jumlah kes tinggi di kawasan berkenaan.

Taman perumahan ini berdekatan kawasan PKPD asrama pekerja syarikat pengeluar sarung tangan terkenal Top Glove yang mencatatkan ribuan kes sehingga Majlis Keselamatan Negara mengarahkan 28 kilangnya ditutup.

Sementara itu, Mohd Fakhrulrazi mencadangkan Top Glove menutup sementara semua operasi kilang bagi mengawal penularan Covid-19.

“Arahan penutupan kilang oleh MKN secara berperingkat, namun saya mengharapkan (penutupan) sepenuhnya mungkin dua minggu untuk elak penularan wabak,” katanya lagi.

Pada 1 Disember, Dato’ Menteri Besar mengumumkan tiga ketetapan yang diputuskan dalam sidang khas Majlis Keselamatan Negeri Selangor bagi mengawal penularan pandemik.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata usaha meliputi penyediaan Pusat Rawatan dan Kuarantin Berisiko Rendah untuk menempatkan pesakit Covid-19 tanpa gejala bagi mengurangkan bebanan dan kepadatan hospital sedia ada.

Selain itu, Kerajaan Negeri juga menjalankan program pengasingan 247 pekerja bukan warganegara di bahagian kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Amirudin menjelaskan warga Bangladesh, Nepal, India, Indonesia dan Pakistan itu ditempatkan di Tune Hotel Aeropolis di tepi KLIA selama 14 hari sejak 26 November selepas saringan.