Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Fasa 4 PKP: Ketua keluarga dibenar bawa seorang lagi anggota

SHAH ALAM, 29 APRIL: Kerajaan membenarkan ketua keluarga membawa seorang lagi anggota bersamanya ketika keluar membeli makanan dan keperluan harian sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa keempat yang bermula hari ini.

Kebenaran itu diputuskan menerusi Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 yang diwartakan semalam.

Peraturan diterbitkan dalam Warta Kerajaan mula berkuatkuasa hari ini hingga 12 Mei depan selepas mendapat kuasa perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Syarat pergerakan ditetapkan mengikut Seksyen 4(1)(a)(ii) membenarkan seseorang itu keluar membeli makanan, ubat, keperluan harian atau barang lain dan disertai seorang anggota keluarga yang tinggal serumah.

Seksyen 4(1)(b)(ii) pula membenarkan individu yang keluar ke klinik atau hospital bagi mendapatkan perkhidmatan jagaan kesihatan atau perubatan untuk disertai mana-mana orang lain yang perlu secara munasabah.

Pun begitu, Warta Kerajaan masih mengguna pakai peraturan sebelum ini iaitu kebenaran bergerak kepada individu untuk keluar membeli makanan, barangan keperluan harian, perubatan, rawatan dan lain-lain tidak melebihi 10 kilometer (km) dari kediaman masing-masing.

Sekiranya keperluan itu tidak terdapat di suatu tempat dalam kawasan jarak 10 km, orang ramai diberi kelonggaran bergerak melebihi jarak berkenaan.

Pada 23 April lalu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan PKP fasa ketiga yang tamat semalam akan dilanjutkan sehingga 12 Mei 2020.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PKP: Fasa 4 tuntut komitmen jitu kerajaan, rakyat

KUALA LUMPUR 29 APRIL: Sedar tak sedar, Malaysia sudah pun memasuki fasa keempat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menyaksikan negara kini berada dalam fasa pemulihan COVID-19.

Dengan keluk pandemik yang berjaya diratakan, serta peningkatan kes pulih Covid-19, keberkesanaan pelaksanaan tiga fasa PKP sebelum ini beransur-ansur dapat dilihat hasil tindakan proaktif dan agresif kerajaan membendung penularan pandemik itu.

Malah ia turut dapat dibuktikan dengan apabila Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) semalam mengumumkan kes positif Covid-19 terendah direkodkan sejak PKP dilaksana pada 18 Mac, dengan 31 kes dilapor sehingga 12 tengah hari semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, turut berkata sektor ekonomi digalakkan kembali berfungsi seperti biasa kerana negara kini memasuki fasa pemulihan, namun perlulah mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) KKM.

“Ternyata kejayaan dan pencapaian melandaikan lengkung dan mengawal penularan virus Covid-19 adalah kejayaan bersama, iaitu rakyat dan kerajaan,” kata beliau semalam.

Bagaimanapun telah berkali-kali diingatkan, perkembangan positif situasi ini sekarang bukan bermakna rakyat boleh menghela nafas lega dan terus berasa selesa dengan tidak mematuhi PKP.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, juga telah mengingatkan, tiada gunanya PKP ditamatkan untuk tempoh seketika dan dikenakan semula selepas itu, jadi kerajaan mengajak rakyat bersabar dengan biar susah sekarang demi kesenangan pada masa akan datang.

Namun sebelum itu, rakyat terus dituntut memberikan komitmen jitu mematuhi PKP, kerana hukuman yang bakal menanti mereka yang ingkar, sudah pasti tidak mengira darjat.

Semalam sahaja, Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali dijatuhi hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara sebulan oleh Mahkamah Majistret Gerik, Perak kerana melanggar PKP dengan menghadiri satu jamuan dua minggu lepas.

Turut dijatuhi hukuman denda maksimum RM1,000 semalam di Mahkamah Majistret Gerik kerana melanggar PKP dengan menghadiri jamuan yang sama ialah Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, NGO dan Masyarakat Sivil Perak, Razman Zakaria.

Dengan sedikit kelonggaran diberikan kerajaan yang menyaksikan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) dibenarkan pulang, serta mereka yang terkandas di kampung halaman dibenarkan membuat pergerakan, rakyat pastinya mengharapkan agar lebih banyak kelonggaran akan diberikan selepas ini.

Memetik kata Dr Noor Hisham: “PKP tidak boleh menghapuskan Covid-19 sepenuhnya. Malahan masyarakat perlu bersedia menghadapi virus ini untuk tempoh yang lebih panjang.”

Perjuangan kita menentang musuh yang tidak kelihatan ini masih belum berakhir.

– BERNAMA