Categories
AGENDA NASIONAL

Lembah Klang, Melaka beralih ke fasa empat PPN Isnin ini

KUALA LUMPUR, 15 OKT: Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Selangor serta Melaka akan beralih daripada Fasa Tiga kepada Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuat kuasa Isnin ini (18 Okt).

Kelantan, Perak, Pulau Pinang, Sabah dan Kedah pula akan beralih daripada Fasa Dua kepada Fasa Tiga berkuat kuasa tarikh sama.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam kenyataan berkata perkara itu diputuskan pada Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik Covid-19 yang dipengerusikannya hari ini.

Beliau berkata dengan peralihan fasa bagi negeri-negeri tersebut, Malaysia secara keseluruhannya kini beralih ke Fasa Tiga.

“Peralihan fasa ini mengikut garis panduan yang ditetapkan PPN dan peratusan kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa,” katanya.

Perdana Menteri berkata tatacara operasi piawai (SOP) bagi negeri-negeri yang memasuki Fasa Tiga dan Empat boleh dilayari di laman sesawang rasmi Majlis Keselamatan Negara (MKN), www.mkn.gov.my.

Mengulas lanjut, beliau berkata berdasarkan laporan kes positif Covid-19 harian yang dilaporkan Kementerian Kesihatan (KKM), negara mencatatkan bilangan kes di bawah 10,000 kes sehari bagi tempoh dua minggu berturut-turut.

Katanya kadar kebolehjangkitan atau R-naught juga terus mencatatkan penurunan dengan angka di bawah paras 1.0 iaitu 0.86.

“Sehingga semalam, kadar vaksinasi populasi dewasa bagi dos pertama adalah 95 peratus manakala jumlah yang menerima dua dos vaksin pula seramai 91.2 peratus dan dijangka terus meningkat,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata mesyuarat jawatankuasa khas itu juga bersetuju untuk melaksanakan program rintis protokol test and release (T&R) dengan syarat perjalanan atau itinery yang ketat dan terhad bagi lawatan rasmi kepada kumpulan pengembara yang dikenal pasti.

Ia membabitkan pembesar negara, Menteri, Timbalan Menteri, Menteri Besar, Ketua Menteri, Exco kerajaan negeri, Ahli-ahli Parlimen dan pegawai kerajaan.

“Pelaksanaan program rintis ini akan berkuat kuasa 18 Okt dan akan diperluaskan kepada pengembara perniagaan dalam waktu terdekat,” katanya.

Menurutnya antara syarat yang dikenakan adalah mengemukakan permohonan dalam tempoh yang ditetapkan bersama dokumen sokongan kepada MKN dan KKM bagi tujuan kelulusan.

Selain itu, menjalani ujian Polymerase Chain Reaction (PCR) tiga hari sebelum berlepas pulang ke Malaysia dan setibanya di mana-mana pintu masuk negara.

Ismail Sabri berkata syarat-syarat berkenaan terhad kepada pengembara yang tiba dari negara berisiko rendah sahaja serta terpakai kepada individu-individu yang lengkap divaksin.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PKP: Suami tunggu dalam kereta, isteri masuk kedai

SHAH ALAM, 30 APRIL: Para suami dinasihatkan tunggu di dalam kereta ketika isteri keluar membeli barang keperluan bagi mengelakkan kesesakan di pasar raya, kata menteri kanan (kluster keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pihaknya yakin pasar raya masih mengekalkan tatacara operasi piawai (SOP) yang ketat seperti fasa awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) walaupun kini kelonggaran keluar diberikan kepada dua individu pada satu masa.

“Mengenai kesesakan di pasar raya dan sebagainya, saya lihat mereka mengikuti SOP yang kita keluarkan dari segi penjarakan sosial, jumlah mereka yang berada dalam pasar raya telah dipatuhi.

“Saya percaya walaupun ada peningkatan sedikit kerana dua yang (dibenarkan) keluar ini, SOP itu akan terus dikekalkan supaya tidak berlaku lagi kesesakan,” katanya ketika sidang media di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata pertimbangan dua individu dibenarkan keluar pada satu masa dibuat selepas menerima pelbagai aduan termasuk isu kesukaran mencari parkir dan suami terpaksa menghantar isteri ke tempat kerja kerana tidak boleh memandu.

Ismail Sabri berkata keadaan kes Covid-19 yang mula melandai dan berkurang itu membolehkan kerajaan memberikan sedikit kelonggaran berbanding ketika PKP fasa satu dan dua.