Categories
EXCO SELANGOR

EXCO: Permohonan lesen niaga sementara semakin berkurang

PETALING JAYA, 18 DIS: Permohonan lesen sementara peniaga kecil semakin berkurangan berikutan Selangor kini memasuki fasa empat Pelan Pemulihan Negara (PPN).

EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han bagaimanapun berkata tempoh pemberian lesen itu yang sepatutnya tamat bulan ini dilanjutkan sehingga Jun tahun depan.

“Sebenarnya permintaan lesen penjaja semakin berkurangan kerana kita sudah memasuki fasa empat PPN.

“Kerajaan Negeri juga belum ada jumlah sasaran berapa banyak permohonan diterima setakat ini tetapi kita akan tetap melanjutkan enam bulan lagi bagi membantu peniaga terkesan pandemik Covid-19,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan majlis pemakluman penggunaan eKupon menerusi aplikasi SSP di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya di sini hari ini.

Pada 3 Julai, Sze Han memaklumkan sebanyak 8,386 lesen sementara dikeluarkan antara Ogos tahun lalu hingga April bagi memudahkan individu terkesan Covid-19 menjalankan perniagaan.

Pemberian lesen tersebut kepada peniaga tidak berlesen bermula sejak Ogos tahun lalu dengan Majlis Bandaraya Shah Alam sebagai pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama.

PBT perlu memastikan tapak niaga bersesuaian, menjamin keselamatan serta tidak mendatangkan kacau ganggu.

Categories
AGENDA NASIONAL

94 pengunjung pusat hiburan dikompaun RM188,000 langgar SOP PPN

KUALA LUMPUR, 2 DIS: Seramai 94 pengunjung sebuah pusat hiburan di Bandar Utama, Petaling Jaya, di sini, dikompaun RM2,000 setiap seorang kerana melanggar tatacara operasi piawai (SOP) Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) kelmarin.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Fakhrudin Abdul Hamid berkata dalam serbuan di pusat hiburan berkenaan seramai dua pengunjung turut didapati positif dadah jenis syabu.

Beliau berkata semasa serbuan dilakukan muzik di premis berkenaan dipasang dengan kuat dan pelanggan sedang berhibur.

“Ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadap semua pengunjung berumur lingkungan 19 hingga 57 tahun berkenaan mendapati dua orang lelaki positif dadah dan mereka telah ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Fakhrudin berkata semua pengunjung pusat hiburan berkenaan yang merupakan warga tempatan dikompaun di bawah peraturan 17(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.

“Kompaun sebanyak RM10,000 turut dikeluarkan kepada pemilik premis berkenaan di bawah Peraturan 17(2) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021 kerana telah menjalankan perniagaan pusat hiburan semasa tempoh (Fasa Empat) PPN.

“Pemilik premis berkenaan juga disiasat di bawah Seksyen 76(1) Akta Eksais (menjual minuman keras tanpa lesen) dan Seksyen 6(1) Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan Selangor (menjalankan perniagaan pusat hiburan tanpa lesen yang sah),” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Agong ingatkan rakyat jangan lalai dengan kelonggaran PPN

KUALA LUMPUR, 13 NOV: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini mengingatkan rakyat kelonggaran daripada Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang dinikmati kini boleh hilang sekali lagi jika mereka berterusan lalai.

Seri Paduka bertitah semua pihak mengambil iktibar daripada pelbagai ujian sebelum ini selain terus memainkan peranan sehingga negara bebas sepenuhnya daripada wabak Covid-19.

Al Sultan Abdullah dalam pada itu turut menasihati rakyat agar terus bersabar, menjaga kesihatan diri dan mematuhi peraturan yang ditetapkan kerajaan dalam usaha mengekang penularan pandemik itu.

“Beta percaya, setiap badai yang melanda akan berhenti jua, yang gelap pasti akan menjadi terang dan yang kelam akan kembali bercahaya,” titah Al-Sultan Abdullah pada Istiadat Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Tahun 2021 di Istana Negara hari ini.

Turut berangkat Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Pada istiadat itu, seramai 44 daripada 1,207 individu menerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan Tahun 2021 hari ini sempena Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong yang disambut 7 Jun lepas, namun tiada istidat sambutan diadakan berikutan penularan Covid-19.

Mengenai sambutan hari ini, Seri Paduka bertitah ia dirancang untuk berlangsung pada Julai, namun tidak dapat dilaksanakan berikutan keadaan pandemik Covid-19 yang belum reda.

“Alhamdulillah, situasi pandemik Covid-19 di negara kini semakin bertambah baik, negara mula beransur meniti ke fasa terakhir PPN yang memberi pelbagai kelonggaran kepada rakyat beta,” titah Yang di-Pertuan Agong.

PPN yang merangkumi empat fasa diumumkan pada 15 Jun lepas oleh Perdana Menteri ketika itu Tan Sri Muhyiddin Yassin.

-BERNAMA

Categories
SELANGOR

Pengusaha pusat siber lega boleh kembali beroperasi

WANGSA MAJU, 18 OKT: Kebenaran pembukaan semula perkhidmatan pusat siber melegakan pengusaha selepas hampir empat bulan menutup operasi ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Tinjauan Selangorkini di pusat siber sekitar Lembah Klang mendapati kebanyakannya telah mula beroperasi semalam selaras kelonggaran diberikan dalam fasa empat Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Pengusaha Redsea e-Sports Center Muhammad Aqmal Zainal Abidin, 27, berkata pengumuman itu disambut baik dan pelanggan kini berpeluang berkunjung ke pusat siber untuk berhibur dan menikmati permainan video.

Pengusaha pusat siber Redsea e-Sports Center Muhammad Aqmal Zainal Abidin. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Sebaik dibuka hari ini (semalam), ramai pelanggan datang khususnya remaja. Kita amat memahami keinginan mereka yang mahukan hiburan.

“Pekerja juga gembira kerana boleh mencari rezeki walaupun majikan memberi elaun bulanan kepada mereka sepanjang tempoh penutupan,” katanya.

Sebagai langkah keselamatan, Muhammad Aqmal berkata pihaknya menekankan tatacara operasi piawai (SOP) dengan membenarkan pelanggan lengkap dos vaksin selain menyukat suhu badan dan mengimbas kod bar MySejahtera.

Menurutnya, kapasiti pengunjung di pusat siber terbabit pula dihadkan 50 peratus meskipun operasi dibenarkan 100 peratus.

“Kita mampu menampung 112 pelanggan pada satu-satu masa, namun buat ini hanya 56 sahaja dibenarkan bagi mengurangkan risiko jangkitan Covid-19 selain semua peralatan di sini disanitasi,” katanya yang mengusahakan tiga lagi cawangan masing-masing di Danau Kota, Prima Setapak dan Taman Bunga Raya.

Muhammad Ashraf Md Aris. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Sementara itu, pelanggan Muhammad Ashraf Md Aris, 32, teruja kerana dapat merasai semula suasana bermain permainan video di pusat siber bersama kawan-kawan selepas tiga bulan tidak berbuat demikian.

“Sebelum ini, hampir setiap hari saya mengunjunginya selepas selesai bekerja sebagai penghantar makanan. Apabila ia dibuka semula semalam, saya terus datang untuk lepas ‘gian’. Gembira kerana dapat hilangkan rasa bosan.

“Kalau main (permainan video) di rumah kurang seronok dan suasana pun tidak semeriah di sini,” kata pengemar permainan Dota dan PUBG dari Rawang itu.

Berkuat kuasa semalam, pusat siber dibenarkan beroperasi dengan 80 peratus kapasiti bagi fasa tiga dan 100 peratus kapasiti fasa empat PPN.

Categories
AGENDA NASIONAL

Lembah Klang, Melaka beralih ke fasa empat PPN Isnin ini

KUALA LUMPUR, 15 OKT: Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Selangor serta Melaka akan beralih daripada Fasa Tiga kepada Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuat kuasa Isnin ini (18 Okt).

Kelantan, Perak, Pulau Pinang, Sabah dan Kedah pula akan beralih daripada Fasa Dua kepada Fasa Tiga berkuat kuasa tarikh sama.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam kenyataan berkata perkara itu diputuskan pada Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik Covid-19 yang dipengerusikannya hari ini.

Beliau berkata dengan peralihan fasa bagi negeri-negeri tersebut, Malaysia secara keseluruhannya kini beralih ke Fasa Tiga.

“Peralihan fasa ini mengikut garis panduan yang ditetapkan PPN dan peratusan kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa,” katanya.

Perdana Menteri berkata tatacara operasi piawai (SOP) bagi negeri-negeri yang memasuki Fasa Tiga dan Empat boleh dilayari di laman sesawang rasmi Majlis Keselamatan Negara (MKN), www.mkn.gov.my.

Mengulas lanjut, beliau berkata berdasarkan laporan kes positif Covid-19 harian yang dilaporkan Kementerian Kesihatan (KKM), negara mencatatkan bilangan kes di bawah 10,000 kes sehari bagi tempoh dua minggu berturut-turut.

Katanya kadar kebolehjangkitan atau R-naught juga terus mencatatkan penurunan dengan angka di bawah paras 1.0 iaitu 0.86.

“Sehingga semalam, kadar vaksinasi populasi dewasa bagi dos pertama adalah 95 peratus manakala jumlah yang menerima dua dos vaksin pula seramai 91.2 peratus dan dijangka terus meningkat,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata mesyuarat jawatankuasa khas itu juga bersetuju untuk melaksanakan program rintis protokol test and release (T&R) dengan syarat perjalanan atau itinery yang ketat dan terhad bagi lawatan rasmi kepada kumpulan pengembara yang dikenal pasti.

Ia membabitkan pembesar negara, Menteri, Timbalan Menteri, Menteri Besar, Ketua Menteri, Exco kerajaan negeri, Ahli-ahli Parlimen dan pegawai kerajaan.

“Pelaksanaan program rintis ini akan berkuat kuasa 18 Okt dan akan diperluaskan kepada pengembara perniagaan dalam waktu terdekat,” katanya.

Menurutnya antara syarat yang dikenakan adalah mengemukakan permohonan dalam tempoh yang ditetapkan bersama dokumen sokongan kepada MKN dan KKM bagi tujuan kelulusan.

Selain itu, menjalani ujian Polymerase Chain Reaction (PCR) tiga hari sebelum berlepas pulang ke Malaysia dan setibanya di mana-mana pintu masuk negara.

Ismail Sabri berkata syarat-syarat berkenaan terhad kepada pengembara yang tiba dari negara berisiko rendah sahaja serta terpakai kepada individu-individu yang lengkap divaksin.

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Buka semula pelancongan domestik beri sinar baharu buat penggiat

SUBANG JAYA, 5 OKT: Pembukaan semula sektor pelancongan domestik secara berperingkat dalam fasa tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) memberi sinar baharu buat penggiat industri di Selangor.

EXCO Pelancongan Hee Loy Sian berkata pandemik Covid-19 sejak lebih setahun lalu memberi kesan ketara terhadap industri pelancongan negara amnya dan Selangor khasnya.

“Tidak dapat dinafikan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam beberapa fasa yang kemudiannya diikuti dengan PPN telah menjejaskan operasi dan pendapatan penggiat industri pelancongan negeri.

“Ini terbukti bila penggiat industri menghadapi pembatalan tempahan bilik, penganjuran acara, pakej pelancongan dan perkhidmatan lain. Justeru, peralihan ke fasa tiga PPN mampu memberi nafas baharu kepada mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pemantauan pelaksanaan tatacara operasi piawai (SOP) dan pelancaran Baucar Pelancongan Negeri Selangor 2.0 di Sunway Lagoon di sini hari ini.

Selangor  ke fasa tiga PPN berkuat kuasa 1 Oktober yang memberi kelonggaran kepada rakyat lengkap vaksin untuk melakukan aktiviti pelancongan dalam negeri melibatkan penginapan di hotel dan inap desa.

Sementara itu, Loy Sian turut menyenaraikan beberapa aktiviti dibenarkan melibatkan premis pelancongan di Selangor antaranya:

1. Hotel dan inap desa
2. Zoo, taman tema, selam, akuarium, taman negara
3. Premis hasil seni budaya dan warisan, muzium perpustakaan, galeri
4. Pusat hiburan keluarga

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

MPKj terus pantau SOP, elak masyarakat alpa

HULU LANGAT, 4 OKT: Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dengan kerjasama polis meneruskan operasi tahap pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) dalam kalangan orang awam meskipun Selangor beralih ke fasa tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Yang Dipertuanya Najmuddin Jemain berkata pemantauan itu akan dilakukan di sekitar kawasan tumpuan ramai seperti pasar raya, pasar awam, pasar pagi dan kawasan rekreasi.

“Kita masih meneruskan operasi pemantauan kerana tidak mahu kejadian sama berulang seperti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) satu dan dua sebelum ini dengan kes jangkitan Covid-19 tinggi kerana masyarakat gagal mematuhi SOP.

“Kita harus memastikan masyarakat maklum virus wabak masih ada dan jangan sesekali lalai,” katanya ketika ditemui pada program Semenyih Prihatin Sungai di Pekan Semenyih di sini semalam.

Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya beralih ke fasa tiga PPN berkuat kuasa pada Jumaat dengan beberapa kelonggaran tambahan untuk individu lengkap dos vaksin.

Kebenaran baharu termasuk majlis rasmi kerajaan dan swasta, pembukaan semula sektor latihan kemahiran serta kehadiran penonton ke tempat perlawanan sukan dan rekreasi.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Riadah lebih lama hilangkan tekanan, bantu peniaga tambah rezeki

SHAH ALAM, 2 OKT: Kelonggaran beberapa aktiviti termasuk riadah sehingga tengah malam susulan peralihan Selangor ke fasa tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) melegakan ramai pihak.

Seorang peniaga di Dataran Shah Alam gembira dapat menjana semula pendapatan dengan menjual permainan kanak-kanak selepas terjejas teruk akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Bila dibenarkan berniaga sehingga 10 malam pun saya bersyukur. Saya kena cari duit untuk tanggung enam anak berusia tiga hingga 13 tahun.

“Sekarang kerajaan benarkan sampai 12 tengah malam, lebih ramai orang datang ke sini terutama hari minggu dan saya boleh berniaga lebih lama,” kata Azura Zubair, 33, ketika ditemui malam tadi.

Azura Zubair,33, berniaga sehingga tengah malam setelah kerajaan mengumumkan Lembah Klang beralih ke Fasa 3 ketika tinjauan Selangorkini di Dataran Shah Alam pada 1 Oktober 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Pengunjung Alam Shah Los berpendapat kebenaran aktiviti lebih lama pada waktu malam membolehkan dia membawa anaknya Muhd Nazrin Shah, 12, yang juga pesakit Autisme untuk beriadah.

Kakitangan swasta berusia 51 tahun itu berkata anaknya memerlukan aktiviti sebagai terapi bagi mengelak rasa bosan setelah beberapa bulan terkurung di rumah.

“Ketika PKP ketat saya terpaksa mengajaknya berlari ulang alik dari ruang tamu ke dapur supaya dia tidak bosan. Hari ini bila bawa tengok pancuran air berirama di Laman Budaya memang dia seronok.

“Saya bersyukur sangat dan harap kes akan terus menurun supaya banyak lagi kelonggaran diberikan,” katanya.

Sementara itu, Saiful Muzamir Azmi, 33, mengingatkan orang ramai supaya terus mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) tambahan selepas kerajaan memberi pelbagai kelonggaran.

“Kita kena sedia hidup dengan Covid-19. Jadi perlu sentiasa pakai pelitup muka, bawa cecair pembasmi ke mana sahaja. Pilih kawasan terbuka dan elak kesesakan,” katanya.

Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya beralih ke fasa tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuat kuasa semalam dengan beberapa kelonggaran tambahan untuk individu lengkap dos vaksin.

Kebenaran baharu termasuk majlis rasmi kerajaan dan swasta, pembukaan semula sektor latihan kemahiran dan kehadiran penonton ke tempat perlawanan sukan dan rekreasi.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Peniaga pantau ketat SOP, hanya lengkap vaksin boleh makan di kedai

SHAH ALAM, 2 OKT: Peniaga di bandar raya ini tetap mengehadkan kebenaran makan di kedai kepada pelanggan lengkap vaksin meski Selangor beralih ke fasa tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) semalam.

Ini kerana beberapa pemilik restoran dan gerai kurang jelas tatacara operasi piawai (SOP) fasa itu yang dikatakan membenarkan individu belum lengkap suntikan makan dalam premis.

Kekeliruan itu turut diakui Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin yang kemudian mengekalkan peraturan makan di kedai hanya untuk individu lengkap dua dos bagi semua fasa PPN.

Pemilik Restoran Hatinie di Seksyen 10 Amir Sharifudin Mohd berkata pihaknya tetap memeriksa sijil digital vaksin walaupun difahamkan ada kelonggaran kepada mereka yang belum lengkap vaksin.

Pemilik Restoran Hatinie, Amir Sharifudin Mohd (kanan) melihat sijil digital vaksinasi pelanggan yang lengkap dua dos sebelum dibenarkan memasuki restoran miliknya di Seksyen 10, Shah Alam pada 1 Oktober 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Ada rakan peniaga di Negeri Sembilan memberitahu ketika dalam fasa tiga mereka diminta hanya membenarkan pelanggan lengkap vaksin makan di kedai.

“Kami hanya benarkan penerima lengkap dua dos vaksin sahaja, kami bimbang kalau tidak saring pihak berkuasa ambil tindakan pula,” katanya ketika ditemui.

Pengurus Restoran Hakim di Seksyen 7 Roslan Hakimsa berkata majoriti pelanggannya memahami prosedur pemeriksaan vaksin sebelum dibenarkan makan di kedai bagi mengawal penularan Covid-19.

“Walaupun sudah ada kelonggaran dalam fasa tiga namun kami tetap ambil langkah berjaga-jaga sehingga kes benar-benar dapat dikawal,” jelasnya.

Bagi peniaga makanan di medan selera Seksyen 2 Roslinda Rasid, beliau masih mengekalkan SOP lama yang mengehadkan hanya penerima vaksin lengkap boleh makan di kedai sebagai langkah keselamatan.

“Selagi semua atau hampir semua penduduk tidak lengkap vaksin maksudnya keadaan belum selamat dan boleh menyebabkan penularan,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Kaedah penggiliran ke sekolah tidak tambah beban tugas guru

KUALA LUMPUR, 30 SEPT: Pelaksanaan kaedah penggiliran ke sekolah dengan memecahkan kelas kepada dua kumpulan pada pembukaan sekolah mengikut fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) mulai 3 Okt depan, tidak akan menambah beban tugas pengajaran guru.

Menteri Kanan Pendidikan Datuk Radzi Jidin berkata ini adalah kerana guru hanya perlu mengajar secara bersemuka mengenai silibus yang sama, untuk dua kumpulan murid yang berbeza.

“Kaedah pelaksanaan sistem penggiliran ini ialah satu kelas kita pecahkan kepada dua kumpulan, minggu pertama kumpulan A yang datang ke sekolah akan belajar secara bersemuka dengan guru, dan minggu seterusnya kumpulan ini akan belajar di rumah dan perkara yang mereka perlu buat adalah melakukan tugasan seperti aktiviti, buku teks termasuk pembelajaran melalui Youtube yang diberikan guru.

“Sistem ini tidak akan tambah beban tugas guru, sebab guru memang sudah buat persediaan dan rancangan mengajar, mereka hanya kongsikan perkara ini dengan murid untuk buat persediaan di rumah dan bila murid datang semula ke sekolah, guru akan tengok topik mana yang anak murid mereka tidak faham, guru akan bantu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Inklusif: Pengoperasian Sekolah Secara Selamat dan Kondusif yang disiarkan Radio Televisyen Malaysia (RTM), malam tadi.

Jelasnya, kumpulan B akan hadir ke sekolah pada minggu berikutnya untuk mengikuti sesi pembelajaran bersemuka.

Dalam pada itu, Radzi berkata dalam memastikan aspirasi kerangka yang dikeluarkan kementerian dapat dilaksanakan dengan baik, jaringan komunikasi bukan sahaja di peringkat kementerian bahkan di peringkat bawah digunakan sebaiknya.

“Ibu bapa sendiri turut memohon supaya diadakan libat urus sekolah dengan ibu bapa, supaya masing-masing faham apa yang kementerian lakukan.

“Semalam, kami juga ada berjumpa Pengarah Pendidikan dan katakan arahan kami bahawa anak-anak kalau tidak datang sekolah, ada surat tidak akan dikenakan tindakan disiplin, kami sudah pesan janganlah pula nanti keluar surat amaran bila murid tiga hari tidak hadir ke sekolah, diberikan surat amaran,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

MB seru rakyat lengkap vaksin teroka lokasi pelancongan negeri

SHAH ALAM, 27 SEPT: Dato’ Menteri Besar menyeru rakyat yang lengkap dos vaksin supaya meneroka lokasi pelancongan di Selangor dalam fasa dua Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sokongan rakyat diyakini mampu memulihkan semula industri pelancongan negeri yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

“Semoga dengan Selangor memasuki fasa dua PPN dan majoriti masyarakat dewasa telah divaksin, ambil peluang untuk meneroka pelbagai tarikan pelancongan dekat mahupun jauh.

“Industri pelancongan mampu pulih dengan sokongan daripada warga Selangor, jadi ayuh bersama kitarkan ekonomi negeri meneroka tarikan-tarikan yang terdapat di Selangor Darul Ehsan,” katanya.

Menerusi hantaran di Twitter, beliau turut mengucapkan selamat hari pelancongan sedunia buat penggerak industri di Selangor, Malaysia dan seluruh dunia.

Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya beralih ke fasa dua PPN berkuat kuasa 10 September lalu.

Peralihan fasa tersebut memberi kelonggaran kepada rakyat yang mendapat suntikan dua dos vaksin untuk melakukan aktiviti pelancongan dalam negeri melibatkan penginapan di hotel dan inap desa.

Categories
AGENDA NASIONAL

Bukan semua sekolah buka 3 Oktober, tertakluk fasa pemulihan setiap negeri

KUALA LUMPUR, 13 SEPT: Kementerian Pendidikan (KPM) hari ini menjelaskan bahawa  pembukaan sekolah di seluruh negara adalah secara berperingkat mengikut fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata jika negeri itu berada dalam Fasa Satu PPN maka tidak ada sekolah yang dibuka di negeri terbabit.

Beliau menjelaskan perkara itu kerana KPM mendapati masih ada yang mengganggap semua sekolah di seluruh negara akan dibuka pada 3 Okt ini, meskipun perincian mengenainya sudah dijelaskan semalam.

Radzi berkata dapatan itu dikenal pasti hasil pemantauan beliau terhadap maklum balas yang diutarakan melalui pelbagai platform termasuk di media sosial berkenaan pengumuman pembukaan sekolah semalam.

“Pada maklum balas yang kami lihat secara langsung atau pun melalui media termasuklah media sosial, kita dapati ada yang masih mengganggap seolah-olah pada 3 Okt ini, semua sekolah di seluruh negara akan dibuka,” katanya dalam video penjelasan pengoperasian sekolah yang diberikan kepada media, hari ini.

Mengulas lanjut perkara itu, Radzi berkata bagi negeri berada di Fasa Dua PPN pula, pembukaan untuk sekolah rendah hanya melibatkan Murid Berkeperluan Khas (MBK) di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (SKPK) dan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI), sementara untuk sekolah menengah melibatkan pelajar Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) semester dua yang akan menduduki peperiksaan pada akhir Oktober ini.

“Untuk negeri di bawah Fasa Tiga PPN, selain daripada MBK di SKPK dan PPKI, kita akan masukkan (melibatkan) murid prasekolah, pelajar Tingkatan Lima dan juga pelajar STPM lain.

“Manakala untuk negeri di bawah Fasa Empat PPN – dua minggu pertama bermula daripada 3-17 Okt, mereka yang berada di sekolah adalah sama seperti di Fasa Tiga, sebelum kita memperluaskannya kepada murid Tahun Satu, Dua dan Tiga bermula 17-31 Okt, diikuti murid Tahun Empat, Lima dan Enam (di akhir Oktober),” katanya.

Bagi pengoperasian sekolah menengah di fasa itu pula, Radzi berkata sesi pembelajaran akan dimulakan oleh pelajar Tingkatan Lima dan Enam iaitu dari 3-17 Oktr dan selepas itu, disusuli secara berperingkat oleh pelajar tingkatan tiga, empat, satu dan dua.

Katanya, kemasukan secara berperingkat dengan kapasiti hanya 50 peratus dalam kelas ini adalah demi memastikan murid dan pelajar sekolah dapat terus rapat dengan sekolah serta dapat hadir ke sekolah dalam keadaan yang selamat.

— BERNAMA