Categories
AGENDA NASIONAL

Generasi muda wajar diberi pendedahan karya penggiat sastera

OLEH ALIFF HAIKAL

SHAH ALAM, 15 NOV: Generasi muda di negara ini perlu diberi pendedahan dengan karya nukilan Sasterawan Negara supaya tidak hilang ditelan zaman.

Penggiat Teater dan Pelakon, Fauziah Nawi berkata, kebanyakan anak muda masa kini tidak mengenali karya sastera termasuk Sasterawan Negara itu sendiri.

“Oleh sebab itu, kita memperjuangkan seni pentas dan kesusasteraan negara melalui program seni persembahan Gempita Sastera-Sasterawan Negara yang akan dilangsungkan tidak lama lagi.

“Kalau tiada orang yang mahu mengambil usaha bagi menggalakkan lagi program seperti ini, siapa lagi yang mahu bertanggungjawab?,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu pada Majlis Pelancaran Program Gempita Sastera Sasterawan Negara 2019 di De Palma Hotel, Shah Alam.

Fauziah berkata, pihaknya bersyukur dengan kerjasama dan sumbangan yang diterima, terutama daripada Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT)

“Kami bersyukur kerana masih ada pihak yang sudi membantu bagi menjayakan program ini dan berharap masyarakat dapat memberikan sokongan dengan menghadiri teater yang diadakan pada Disember ini dengan bayaran RM25 setiap seorang,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Bayaran pelakon hak produksi masing-masing – Fauziah Nawi

SHAH ALAM, 15 NOV: “Kita kena terima hakikat dan tidak boleh berbuat apa-apa sebab itu wang dan perniagaan mereka (produksi televisyen). Mereka enggan membayar, itu terpulang kepada hak masing-masing”.

Demikian luahan Aktivis Teater, Fauziah Nawi, 66, ketika diminta mengulas berhubung kenyataan aktor senior, Faizal Hussein yang melahirkan rasa terkilan apabila namanya sering digugurkan bagi menjayakan drama atau filem berikutan bayaran dikenakan disifatkan terlalu tinggi.

Pelakon yang pernah membintangi drama Curi-Curi Cinta itu berkata, bayaran sama tinggi diberikan kepada pelakon veteran dan baharu adalah sangat tidak wajar.

Malah katanya, ramai pelakon yang suatu ketika dahulu pernah meledakkan nama dalam industri hiburan tempatan terpaksa meninggalkan dunia glamor masing-masing seterusnya beralih kepada bidang lain demi mencari pendapatan.

“Itu punca ramai (pelakon) sudah tidak berminat untuk berlakon lagi, sebaliknya mereka lebih memilih untuk mengusahakan perniagaan sendiri.

“Akhirnya, siapa yang hendak jadi pelakon ? (jadi pelakon) kena fikir dan sebenarnya sama sahaja di mana-mana…ada yang kelihatan hebat-hebat (berlakon), yang tiada ni bagaimana pula ?.

“Sebab itu arwah bapa saya pernah berpesan dan tidak mengizinkan saya untuk jadi pelakon, sebaliknya suruh belajar, tetapi nekad juga untuk berlakon. Maka, kena terima semua risiko dan apabila difikirkan balik memang betul,” katanya.

Beliau ditemui media selepas sidang media pelancaran Gempita Sastera-Sasterawan Negara 2019, di Hotel De Palma, di sini hari ini.

Fauziah mewakili Stefani Events dan Sanggar Teater Fauziah Nawi bekerjasama dengan Persatuan Teater dan Seni Selangor (PENTAS) serta Kerajaan Negeri Selangor untuk mengadakan program yang bakal berlangsung di Auditorium Daeng Chelak, Muzium Sultan Alam Shah, Shah Alam.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB ucap takziah kepada keluarga Fauziah Nawi

SHAH ALAM, 27 OKT: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga dramatis terkenal tanah air, Fauziah Nawi atas kehilangan anaknya, Pitt Hanif yang ditemui mati lemas, di Sungai Mela, Jerantut, Pahang, hari ini.

“Innalillahhiwainnailaihirojiun. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan di syurga penuh nikmat.

“Takziah diucapkan kepada @fauziahnawi sekeluarga. Semoga tabah menerima ujian. Al Fatihah,” tulisnya menerusi ciapan di Twitter.

Terdahulu, mayat Pitt atau Mohd Firdaus Mohamad Hanif,43, ditemui kira-kira jam 5 petang tadi selepas dua hari dilaporkan hilang.

Berita menyayat hati itu disahkan sendiri pelakon veteran berkenaan menerusi siaran langsung di laman Facebook.

Mayat mangsa ditemukan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) terapung kira-kira 500 meter dari lokasi dilaporkan hilang.

Sebelum ini, pengarah filem Coast Guard itu dan jurukamera Sham Mokhtar menaiki sebuah bot untuk memancing selepas menamatkan penggambaran filem pada jam 9 pagi.

Menurut seorang kru produksi filem terbabit, memaklumkan kejadian jam 11 pagi itu disaksikan isteri Sham Mokhtar.

Bagaimanapun, jurukamera filem itu dapat menyelamatkan diri dan Pitt dikatakan cuba berenang selepas bot yang dinaiki terbalik dan gagal ditemui.