Categories
AGENDA EKONOMI

Bursa Malaysia dibuka tinggi, jejaki prestasi serantau

KUALA LUMPUR, 20 FEB: Bursa Malaysia dibuka tinggi hari ini, menjejaki prestasi bursa serantau selepas kenaikan berterusan dicatatkan Wall Street, memandangkan pelabur memberi reaksi positif terhadap penurunan jumlah kes baharu Covid-19 di China.

Pada masa sama, penggubal dasar juga mengambil langkah untuk menangani kesan penularan Covid-19 ke atas ekonomi mereka termasuk Malaysia yang akan menjadi antara negara terawal memperkenalkan pakej rangsangannya pada 27 Februari ini.

Pada jam 9.01 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 3.96 mata kepada 1,538.12 daripada 1,534.16 ketika ditutup pada Rabu, selepas ia dibuka 2.94 mata lebih tinggi kepada 1,537.10 pagi ini.

Kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 153 berbanding 64 di pasaran yang lebih meluas, manakala 152 kaunter tidak berubah, 1,613 kaunter tidak diniagakan dan 40 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 90.28 juta saham bernilai RM42.67 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd menerusi nota penyelidikannya berkata walaupun bursa tempatan mencatatkan sedikit peningkatan namun secara keseluruhannya sentimen dan keyakinan pasaran masih mengalami kesuraman.

“Tekanan negatif di Bursa Malaysia akan terus berlarutan bagi jangka terdekat. Pada penurunan, sokongan ditetapkan pada paras 1,515 hingga 1,520 manakala rintangan masing-masing 1,550 dan 1,560 memandangkan kestabilan kembali menjadi keutamaan,” menurutnya.

Bagaimanapun, firma penyelidikan itu menjangkakan bursa tempatan merekodkan peningkatan semula sederhana kerana pelabur pantas merealisasikan sebarang keuntungan berikutan ketidaktentuan pasaran seterusnya.

Antara saham berwajaran tinggi di Bursa Malaysia, Maybank meningkat enam sen kepada RM8.46, Tenaga melonjak 10 sen kepada RM12.70, Public Bank meningkat 14 sen kepada RM18.08 manakala Petronas Chemicals naik satu sen kepada RM6.55.

Bagi saham aktif, Innature — peruncitan dan pengedaran produk The Body Shop — yang baru disenaraikan di pasaran, naik 7.5 sen kepada 71.5 sen manakala JAG dan Powerwell masing-masing meningkat setengah sen kepada 4.5 sen dan 37 sen serta DGB Asia turun setengah sen kepada 6.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 21.55 mata kepada 11,006.94, Indeks FBM Emas Syariah menokok 16.99 mata kepada 11,732.36 dan Indeks FBMT 100 meningkat 22.66 mata kepada 10,795.84.

FBM 70 menambah 8.28 mata kepada 13,945.38 serta FBM Ace menokok 1.69 mata kepada 5,612.70.

Mengikut sektor, Indeks Barangan dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.13 mata kepada 146.30, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 39.76 mata kepada 14,691.14 dan Indeks Perladangan menambah 4.88 mata kepada 7,185.10.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI

Bursa Malaysia dibuka tinggi naik kepada 1,539 mata

KUALA LUMPUR, 19 FEB: Bursa Malaysia dibuka tinggi hari ini, sebahagian besarnya disokong oleh belian di kaunter perladangan, permodalan kecil dan kewangan.

Pada jam 9.07 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 1.96 mata kepada 1,539.04 daripada 1,537.08 semasa ditutup pada Selasa, selepas dibuka tinggi 2.14 mata kepada 1,539.22 pagi ini.

Kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 147 berbanding 93 di pasaran lebih luas, dengan 203 kaunter tidak berubah, 1,530 tidak diniagakan dan 40 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 132.63 juta saham bernilai RM61.89 juta.

Dalam nota, Malacca Securities Sdn Bhd berkata indeks hampir tidak berubah semalam, walaupun terdapat aktiviti jualan di rantau ini.

“Kami melihat keadaan tidak banyak berubah buat masa ini berikutan pelabur terus memantau perkembangan mengenai langkah-langkah rangsangan kerajaan,” katanya.

Dagangan yang kurang menggalakkan di Bursa Malaysia dijangka berpanjangan berikutan kekurangan perkembangan positif mengenai keadaan virus Covid-19, menurut firma penyelidikan itu.

Pada masa ini, ia menjangka akan terdapat trend jajaran kecil berikutan FBM KLCI dilihat berada antara paras 1,535-1,555. Bagaimanapun, penurunan di bawah paras 1,535 akan terus menyaksikan kemerosotan kepada paras 1,515.

“Kami menjangka aktiviti pengambilan untung segera akan berpanjangan buat masa ini berikutan pelabur juga boleh memilih untuk kekal tidak memasuki pasaran dan memantau kumpulan pendapatan korporat baru-baru ini,” katanya.

-BERNAMA