Categories
NASIONAL

Najib sahkan Isa rela hati letak jawatan

PUTRAJAYA, 19 JUN: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengesahkan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad bersetuju melepaskan jawatannya sebagai pengerusi Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV).

Najib turut mengesahkan perletakkan jawatan Isa berkuat-kuasa hari ini dibuat dengan rela hati.

“Saya dapat sahkan saya sudah berundingan dengan Isa Samad pagi tadi.

“Kita bincang dengan mendalam tentang masa depan FGV, maka Isa dengan rela hati melepaskan jawatan sebagai pengerusi FGV.

FGVMesyuarat itu turut disertai bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala yang diberi tanggungjawab menyediakan laporan berhubung kemelut FGV.

Pada masa sama, Najib berkata Mohd Isa turut dilantik sebagai pemangku Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD).

“Bagi menghargai peranan Tan Sri Isa dalam FGV, kita setuju lantik beliau sebagai pemangku Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD) berkuat kuasa serta merta,” katanya.

Terdahulu, Najib hadir pada majlis Penyerahan Kunci Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) di Presint 17, di Putrajaya.

Sementara itu, dalam satu kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat perladangan itu berkata, Isa berhenti daripada pelantikannya sebagai pengarah yang dilantik kerajaan untuk memberi perhatian kepada tanggungjawab peribadinya.

Beliau dilantik sebagai Pengerusi dan Pengarah Eksekutif Bukan Bebas FGV pada 1 Jan, 2011.

Categories
NASIONAL

Rombakan FGV: Sulaiman Mahbob ganti Isa Samad?

SHAH ALAM, 19 JUN: Rombakan sedang dijalankan di Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) dengan pengerusi barunya bagi menggantikan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad bakal diumumkan lewat hari ini.

Memetik sumber dari akhbar Berita Harian dan New Straits Times, menyebut Pengerusi Telekom Malaysia Berhad (TM), Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob dijangka dilantik menggantikan Mohd Isa.

Malam tadi, Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Samad juga dipetik sebagai berkata, perlu ada perubahan kepimpinan di FGV, tetapi tidak menyatakan sama ada orang yang hendak digantikan adalah Mohd Isa.

Sebelum ini, Mohd Isa berdepan bantahan sejak lembaga FGV meminta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (CEO) FGV, Datuk Zakaria Arshad dan beberapa eksekutif lain untuk ‘bercuti’ atas alasan melanggar peraturan tadbir urus korporat.

Zakaria mendakwa beliau cuba menghentikan pelaburan bernilai ratusan juta ringgit yang ‘tidak masuk akal’ oleh lembaga pengarah dalam aktiviti yang tidak berkaitan dengan perniagaan teras perladangan FGV.

Baru-baru ini, Datuk Seri Idris Jala, sebagai pihak bebas yang dilantik untuk menangani kemelut yang melanda FGV telah menyiapkan laporannya.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, laporan itu akan diumumkan pada masa sesuai.