Categories
SELANGOR

Penswastaan Air Haruslah Berkualiti, Berkekalan dan Harga Berpatutan


KUALA LUMPUR 28 SEPT : Penswastaan utiliti awam seperti air seharusnya menepati empat elemen agar ia memberi faedah kepada masyarakat, menurut seorang pakar undang-undang dari Britain.

Empat elemen tersebut adalah perkhidmatan tersebut dapat dinikmati oleh semua orang (access), berkualiti (quality), pada harga berpatutan (affordability) dan berkekalan (sustainable).

Mengambil contoh program penswastaan air di United Kingdom (UK) pada tahun 1989, David Watkins berkata penswastaan air juga berkeupayaan meningkatkan mutu perkhidmatan air kepada pengguna.

“Bagi mencapai semua elemen ini, syarikat korporat perlu memainkan dua peranan.

?Pertama sebagai pembekal air di mana mereka perlu berorientasikan prestasi komersial, mekanisme pasaran seperti harga, sistem perdagangan air, subsidi dan sebagainya selain mementingkan pengagihan yang efektif.

“Keduanya, mereka juga perlu menjadi pengguna dengan mengutamakan kemampanan penggunaan air dan komunikasi yang baik dengan komuniti dalam usaha meningkatkan kualiti dan agihan air,” ujarnya yang kini bertugas di Firma Slaughter & May, Hong Kong.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Forum Undang-undang Antarabangsa Malaysia yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC)  pagi tadi dengan tajuk ‘Peranan Syarikat Korporat Dalam Merealisasikan Hak Asasi Terhadap Air’.

Kerajaan Selangor sedang dalam proses mengambilalih operasi bekalan, rawatan dan agihan air terawat daripada Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas).

Usaha itu dimulakan setelah Kerajaan Negeri mendapati penswastaan perkidmatan air terawat kepada Syabas pada 2004 telah mengakibatkan harga air naik secara berterusan walaupun peratusan air yang bocor dan hilang semakin meningkat.

Mengulas lanjut, Watkins yang ditemui TVSelangor, sejurus forum selesai bersetuju bahawa nilai harga yang perlu dibayar pengguna merupakan elemen yang penting dalam program penswastaan utiliti awam ini.

“Kebanyakan penswastaan akan mengambil kira kesemua kos termasuk pentadbiran, penyelenggaraan dan sebagainya agar satu nilai yang mampu dibayar oleh setiap pengguna dapat dicapai.

“Misalnya, di UK setiap syarikat korporat akan mengendalikan proses rawatan, bekalan dan agihan air untuk mengurangkan kos.

“Jika proses ini dilakukan oleh syarikat yang berasingan, kos sudah pasti lebih tinggi dan pengguna juga perlu membayar lebih,” jelasnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, monopoli satu syarikat korporat dalam penswastaan air berkemungkinan tidak mampu menggalakkan peningkatan kualiti agihan dan bekalan air.

“Sebaliknya, jika terdapat persaingan beberapa syarikat korporat, kualiti dan perkhidmatan kepada pengguna sudah pasti akan meningkat dari semasa ke semasa.

?Itulah yang seharusnya berlaku dalam sektor swasta,” ujarnya.