Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Penghuni Flat PKNS AU2 harap pembaikan bumbung siap menjelang raya

AMPANG JAYA, 30 APRIL: Penghuni Blok E Flat PKNS AU2 Taman Keramat yang terjejas akibat ribut berharap pembaikan kerosakan bumbung siap seperti dijadualkan.

Noorini Abdullah, 70, berkata Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menjamin semua keluarga terkesan sempat menduduki kediaman menjelang Hari Raya Aidilfitri.

“Makcik sebak ketika menerima kunjungan Dato’ Menteri Besar, tidak sangka beliau segera datang melihat sendiri kerosakan yang berlaku.

Noorini Abdullah, 70

“Kesungguhan beliau (Amirudin) datang ke rumah memberi kelegaan kepada makcik dan suami yang uzur,” katanya

Bagi Aris Bay Haki, 36, dia sekeluarga tidur di ruang tamu sehingga siling rumah dibaiki.

“Bumbung flat pernah dibaiki dua tahun lepas, justeru saya berharap kontraktor menggunakan bahan berkualiti tinggi untuk mengelak kejadian sama berulang,” katanya.

Terdahulu, Dato’ Menteri Besar turun padang meninjau lokasi kejadian serta menganggar peruntukan antara RM50,000 hingga RM60,000 untuk membaiki kerosakan.

Beliau turut menyampaikan bantuan segera sejumlah RM1,000 serta barangan keperluan asas.

Kejadian ribut jam 1.45 tengah hari pada Rabu menyebabkan kerosakan teruk bahagian bumbung serta menjejaskan lima keluarga di tingkat empat Blok E Flat PKNS AU2 Taman Keramat.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

MB tinjau Flat PKNS AU2 dilanda ribut, salur bantuan segera RM1,000

AMPANG JAYA, 29 APRIL: Dato’ Menteri Besar turun padang meninjau kerosakan bumbung Blok E Flat PKNS AU2 Taman Keramat di sini, susulan kejadian ribut semalam.

Dato’ Seri Amirudin Shari diiringi Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Siti Zubaidah Abd Jabar kemudian menziarahi lima keluarga terjejas di tingkat empat kediaman itu.

Beliau turut menyampaikan bantuan segera sejumlah RM1,000 serta barangan keperluan asas.

Keadaan bumbung pangsapuri yang rosak akibat ribut di Pangsapuri PKNS Taman Keramat AU2, Hulu Kelang pada 29 April 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Amirudin ketika ditemui pemberita berkata pihaknya menganggar peruntukan antara RM50,000 hingga RM60,000 diperlukan untuk membaiki kerosakan tersebut.

“Saya berharap keluarga terjejas bersabar, Insya-Allah saya dimaklumkan oleh PKNS kerosakan bumbung sempat dibaik pulih sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri,” katanya.

Kejadian ribut jam 1.45 tengah hari semalam menyebabkan kerosakan teruk bahagian bumbung Blok E Flat PKNS AU2 di Taman Keramat atau dikenali sebagai Flat Colombia.