Categories
NASIONAL

Pelaburan kayu gaharu Kemboja perdaya mangsa RM15 juta

Oleh: HAFIZAN TAIB

PETALING JAYA, 3 DIS: Lebih 1,000 pelabur seluruh negara dipercayai menjadi mangsa penipuan skim pelaburan kayu gaharu Kemboja membabitkan RM15 juta.

Sindiket itu dikatakan didalangi seorang individu dikenali Yap Kim Piow @ Dr Nixon Yap, 43, yang mengaku menggunakan agensi kewangan asing sebagai jaminan kewangan dengan tiga tahun kontrak, yang mana setiap tahun jumlah keuntungan dipungut boleh mencapai 30 peratus.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan, Hee Loy Sian berkata, skim pelaburan itu disyaki melakukan jenayah kolar putih yang sedang menular di seluruh negara dengan tawaran keuntungan berganda bagi menarik orang ramai menjadi pelabur.

pchee2Beliau berkata, ia disebarkan sebagai pelan pelaburan ladang kayu gaharu berpusat di Kemboja dan pelabur dimaklumkan modal pelaburan mereka dilindungi institusi perlindungan modal antarabangsa-LAPIF (Latin America Private Interest Foundation) sebagai penjamin.

“Ramai pelabur mengadu mereka mengalami kesukaran mendapatkan keuntungan atau bayaran semula modal, manakala ejen bertanggungjawab mempromosikan pelan pelaburan juga mengalami kesukaran menerima komisyen.

“Mereka menyatakan pelan pelaburan ini membabitkan tiga tahun kontrak dengan pulangan tahunan 30 peratus dari modal, selain tiada dividen selama dua bulan, manakala pulangan dividen untuk 36 bulan akan datang adalah 2.5 peratus.

“Bila masalah timbul pada Jun lalu, pelabur dan ejen berusaha menemui dalang di sebalik pelaburan ini tetapi tiada sebarang respon diterima dan sebaliknya laman sesawang www.argrow.biz ditutup, pada 7 Ogos lalu,” katanya dalam sidang media, di sini, semalam.

pcheee3Pelabur dari Kuantan, Liang Kam Youn, 56, berkata dia menyertai pelaburan itu pada Oktober 2012 dengan modal RM6,400 bagi nilai pelaburan USD2,000.

“Saya dijanjikan keuntungan 30 peratus untuk 12 bulan tetapi tidak pernah mendapat sebarang pulangan selepas itu. Selepas setahun, saya cuba berhubung dengan ejen dan syarikat pelaburan, namun tiada sebarang jawapan diterima,” katanya yang membuat laporan polis pada Oktober lalu.

Loy Sian berkata, Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Petaling Jaya Selatan menerima aduan daripada sebahagian pelabur bersama salinan laporan polis dan beliau sudah mengutus surat kepada Kim Piow bagi mendapatkan maklum balas dan perbincangan berhubung perkara itu, pada 15 Oktober lalu.

pchee1Katanya, surat balasan Kim Piow diterima melalui peguamnya beberapa hari selepas itu dengan satu salinan laporan polis.

Antara kandungan laporan polis itu adalah “Saya tidak tahu menahu tentang wang yang diserahkan kepada individu yang tidak dikenali dan jumlahnya juga tidak jelas. Dengan ini, saya datang ke balai polis buat laporan.

“Tujuan saya buat laporan ini bagi menafikan sekeras-kerasnya tuduhan tersebut. Saya ingin menyatakan di sini bahawa tidak pernah terima sebarang wang berkaitan pelaburan tersebut.

“Saya juga tidak mengenali dan tidak mengetahui individu yang menerima wang tersebut. Saya juga rela disiasat dan saya minta jika pihak saya bersalah, Hee Loy Sian boleh buat siasatan serta tindakan selanjutnya mengikut prosedur yang betul,” katanya.

Skim pelaburan itu dikatakan bermula pada September 2009 dengan catatan pulangan baik pada 2012 dan tahun lalu tetapi mengalami masalah pada tahun ini, yang mana ramai pelabur mengadu mengalami kesukaran mendapat keuntungan atau bayaran semula, bahkan ejen juga sukar mendapat komisyen.

-NFN-