Categories
NASIONAL SELANGOR

Dr Dzulkefly: Gaji Minimum, “Too Late Too Few”

SHAH ALAM, 1 MEI : Pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung pelaksanaan gaji minimum pada kadar RM900 untuk semua sektor pekerja di negara ini kecuali perkhidmatan domestik dilihat tidak ubah seperi melepaskan batuk di tangga.

Sambil menyifatkan keputusan itu tidak munasabah, MP Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad turut mempersoalkan kesungguhan kerajaan pusat untuk membantu rakyat seperti yang diuar-uarkan dalam program transformasi negara.

Dr Dzulkefly berkata, penyelarasan gaji minimum itu tidak mencapai sasaran atau hasrat kesatuan sekerja walaupun kerajaan pusat dilihat cuba memenuhi permintaan mereka.

“Ini perkara yang cukup mengecewakan. Baguslah ada gaji minima, tetapi ia diibaratkan seperti “too late too few”. Sudahlah lambat, jumlahnya pun terlalu sedikit.

Kita bukan tidak mahu berterima kasih, tetapi isunya apakah gaji itu munasabah untuk mengizinkan rakyat hidup secara bermaruah tanpa perlu mencari kerja sampingan?

Kita sangat kecewa dengan angka itu kerana setelah 50 tahun menunggu, akhirnya keputusan yang dibuat itu macam acuh tak acuh sahaja,” katanya.

Tambahnya, situasi ini jelas berbeza daripada keputusan Pakatan Rakyat yang mengumumkan sejumlah RM1,100 sebagai gaji minima jika berjaya mentadbir negara satu hari nanti.

Beliau dengan sinis turut menyelar tindakan kerajaan persekutuan yang dilihat lebih bersikap “murah hati” terhadap kroni terutama berhubung isu pelupusan hutang.

“Ia dapat dilihat dengan jelas apabila kerajaan Umno-BN melepaskan tanggungan hutang membabitkan kroni mereka, Tan Sri Tajudin Ramli berjumlah RM589 juta

Begitu juga apabila kerajaan bertindak melepaskan Maju Holdings Sdn Bhd dengan keuntungan RM976.2 juta setelah menjual konsesi Lebuhraya Kuala Lumpur- Putrajaya kepada EP Manufacturing Berhad yang dilaporkan bernilai RM1.7 juta, sementara geran sebanyak RM976.2 juta tidak dituntut kembali Kementerian Kewangan,” katanya.

Najib hari ini mengumumkan pelaksanakan gaji minimum pada kadar RM900 untuk tenaga kerja di Semenanjung manakala Sabah dan Sarawak pula RM800 sebulan.

Kadar itu akan dilaksanakan dalam tempoh enam bulan sejak tarikh ia dikuatkuasakan dan dijangka akan memanfaatkan kira-kira lima juta tenaga kerja.

Tindakan terdesak Najib tersebut juga ekoran tekanan dari Pakatan Rakyat yang telah melaksanakan gaji minima sebanyak RM1,500 khususnya di Selangor.