SHAH ALAM, 26 FEB : Galeri Seni Kontemporari dan Moden Shah Alam (SAMA) dijangka siap serta dibuka kepada umum tahun hadapan.
EXCO Kebudayaan dan Warisan Borhan Aman Shah berkata penubuhan galeri itu sudah diluluskan Kerajaan Negeri dan kini sedang dalam proses pembelian bangunan tersebut.
“Insya-Allah kita jangka dalam tahun ini selesai proses jual beli kemudian kita akan mengubah suai mengikut konsep rekaan yang bersesuaian dengan galeri berkenaan.
“Kita jangka paling lewat tahun 2023 galeri ini akan dibuka kepada umum,” katanya selepas menghadiri Majlis Penyampaian Sijil Peserta Program Pembangunan Usahawan Kampung Tradisi Selangor di Mardhiyyah Hotel & Suites di sini hari ini.
Pada 26 November tahun lalu, Dato’ Menteri Besar ketika membentangkan Belanjawan #Selangor 2022 memaklumkan Kerajaan Negeri bakal mewujdukan SAMA di Selangor.
Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Kerajaan Negeri setuju membeli sebuah kompleks bangunan milik Bank Negara di tengah bandar raya Shah Alam berharga RM33.4 juta untuk dijadikan galeri yang mempamerkan karya seni dan menjadi pusat aktiviti kebudayaan.