Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Pelancong antarabangsa ke Selangor dijangka meningkat tahun depan

PETALING JAYA, 23 NOV: Kerajaan Negeri menyasarkan lebih ramai pelancong luar negara berkunjung ke Selangor sejurus gelembung pelancongan antarabangsa dibuka.

EXCO pelancongan berkata pihakya tidak meletakkan sasaran jumlah pengunjung tempatan mahupun antarabangsa ke Selangor tahun depan berikutan kes Covid-19 yang kelihatan masih tinggi.

Menurut Hee Loy Sian, kedatangan pelancong khususnya dari luar negara dilihat semakin menurun pada 2019 iaitu 3.3 juta dan semakin berkurang kepada 1.57 juta pada tahun lalu.

“Kita tidak menetapkan sasaran pelancong ke Selangor pada tahun depan tetapi kita harap selepas kerajaan membuka pintu sempadan, lebih banyak pelancong antarabangsa berkunjung ke negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Pusing Selangor Dulu Travel Fair dan Konvensyen Global Tourism Selangor 2021 di Hotel New World Petaling Jaya di sini hari ini.

Susulan banyak kelonggaran diberi pada masa kini, Loy Sian menasihatkan masyarakat terus mengamalkan tatacara operasi piawai (SOP) ketika bercuti atau beriadah.

Pada masa sama, beliau menyeru pihak berkuasa tempatan (PBT) agar mengambil tindakan tegas kepada mana-mana individu yang melanggar SOP.

“Kita harap pengunjung jangan terlalu ghairah ketika melancong sehingga menghiraukan SOP dan PBT juga perlu bertegas memastikan orang ramai mematuhi peraturan,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan hati-hati buka sempadan, Langkawi jadi penanda aras

KOTA BHARU, 30 OKT: Kerajaan akan menjadikan Gelembung Pelancongan Antarabangsa bagi Projek Rintis Pulau Langkawi sebagai penanda aras sebelum membuka sempadan negara kepada pelancong antarabangsa.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri berkata bagaimanapun pihaknya akan menilai prestasi projek rintis berkenaan terlebih dahulu selain keputusan untuk membuka sempadan negara juga perlu dilakukan secara berhati-hati.

Katanya, perkara itu juga akan dinilai oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan sebagai langkah pencegahan berkemungkinan kemasukan pelancong dari negara-negara tertentu akan dihadkan dari semasa ke semasa bagi mencegah penularan wabak Covid-19.​

​“Kami mahu lihat prestasi projek Langkawi dahulu, baru kami buka pada yang lain-lain, kami perlu berhati-hati sebab masih banyak negara yang berdepan dengan gelombang keempat…. jadi kami tidak mahu jadi seperti negara lain selepas buka terpaksa tutup semula.

“Malah ramai yang meminta kepada kementerian kami untuk memberi kebenaran kepada orang luar (pelancong antarabangsa) untuk datang tetapi kami perlu bekerjasama dengan kementerian-kementerian yang berkaitan dahulu. Lagipun, kami hanya cadang tetapi ia akan ditentukan oleh MKN,” katanya.

Nancy berkata demikian kepada pemberita selepas hadir merasmikan Program Merakyatkan Seni Budaya Pengkalan Datu di Pasar Terapung Resort Cerana Villa di Pengkalan Datu di sini hari ini.

Terdahulu, beliau turut menyampaikan sumbangan berjumlah RM85,000 kepada 31 penerima individu dan kumpulan yang terdiri daripada kalangan penggiat seni budaya di Kelantan untuk kembali aktif berkarya setelah hampir dua tahun tidak dapat mengadakan sebarang aktiviti seni budaya secara fizikal akibat wabak Covid-19 yang melanda negara.

Sebelum ini media melaporkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) tidak mengehadkan pelancong asing yang akan menyertai Gelembung Pelancongan Antarabangsa bagi Projek Rintis Pulau Langkawi mulai 15 Nov ini.

Sementara itu, dalam perkembangan lain mengulas mengenai Bajet 2022 yang telah dibentangkan semalam, Nancy berbesar hati dengan peruntukan yang diberikan kepada kementeriannya sebanyak RM1.6 bilion yang dilihat mampu untuk memulihkan ekonomi negara.

“Kami perlu menaik taraf infrastruktur yang ada dalam negara. Satu daripada tumpuan kami untuk menarik minat pelancong berbelanja besar. Walaupun tidak ramai tetapi mereka berbelanja besar.

“Selain itu, melalui dasar pelancongan negara, kami juga akan memastikan insfrastruktur kawasan yang mempunyai produk pelancongan, akan dipertingkatkan. Malah, orang kita juga perlu meningkatkan diri mereka seperti belajar banyak bahasa untuk menarik minat pelancong terutamanya dari luar negara untuk memudahkan berkomunikasi,” katanya.

Semalam, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan beberapa inisiatif utama bagi sektor pelancongan dengan nilai keseluruhan RM1.6 bilion yang akan dilaksanakan pada tahun hadapan.

-BERNAMA