Categories
SELANGOR

Sambutan hangat, sedia tambah peruntukan geran kecil alam sekitar

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 1 MAC: Kerajaan Negeri sedia menambah peruntukan bagi Program Geran Kecil Alam Sekitar dan Teknologi Hijau tahun hadapan ekoran sambutan menggalakkan.

Exco Pelancongan, Teknologi Hijau, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar, Elizabeth Wong berkata, pada tahun ini Kerajaan Negeri menerima 200 permohonan daripada pelbagai organisasi seluruh negeri.

“Oleh kerana sambutan sangat baik, Kerajaan Negeri akan mempertimbangkan menambah peruntukan pada masa akan datang bagi membolehkan lebih banyak penyertaan diluluskan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Taklimat Program Geran Kecil Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Selangor 2018 di Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) di sini, hari ini.

Jelasnya, sehingga kini sebanyak 98 daripada 200 permohonan yang diterima diluluskan.

Katanya, sambutan menggalakkan ini membuktikan kesedaran masyarakat di Selangor semakin bertambah terhadap kepentingan alam sekitar dan teknologi hijau di negeri itu.

Pada tahun ini, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM750,000 bagi membiayai Program Geran Kecil Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Selangor 2018.

Daripada jumlah itu, RM250,000 diperuntukan bagi kategori alam sekitar dengan pembiyaan maksima bagi setiap organisasi sebanyak RM5,000.

Sementara bagi kategori teknologi hijau pula RM500,000 diperuntukan dengan jumlah maksima pembiayaan sebanyak RM10,000.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Selangor tawar Geran Kecil Alam Sekitar dan Teknologi Hijau

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 18 JAN: Kerajaan Selangor menawarkan program Geran Kecil Alam Sekitar dan Teknologi Hijau kepada golongan berkelayakan, kata Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Elizabeth Wong.

Beliau berkata, permohonan terbuka kepada persatuan dan organisasi bukan kerajaan yang berpangkalan di negeri ini dan menjalankan operasi tidak berasaskan keuntungan.

“Bagi organisasi atau persatuan yang tidak berpangkalan di Selangor, permohonan akan dipertimbangkan jika program atau projek dicadangkan menarik dan mempunyai manfaat spesifik kepada rakyat Selangor.

“Permohonan organisasi bukan berpengkalan di Selangor juga mestilah tidak bercanggah dengan permohonan projek daripada organisasi persatuan komuniti yang berpangkalan di Selangor,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, pelaksanaan permohonan geran meliputi beberapa tempoh tertentu, bermula 3 hingga 31 Januari ini.

Sementara itu, tempoh makluman kelulusan program akan diputuskan, pada 15 Februari ini dan pelaksanaan program akan bermula, pada 15 Februari hingga 15 Jun 2018.

Pemohon juga perlu menyerahkan laporan operasi selewat-lewatnya 30 Jun ini.

Untuk sebarang makluman, orang awam boleh menghubungi talian 03-55447760 dan 03-55447841 atau e-mel di selangor.enviromentgrant2gmail.com.

Maklumat tawaran program juga boleh diakses menerusi laman sesawang www.selangor.gov.my