Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Kerja pembersihan tingkat bacaan indeks kualiti air Sungai Klang

KLANG, 23 MAC: Pembersihan Sungai Klang sejak lima tahun lalu berjaya meningkatkan bacaan indeks kualiti air (WQI) daripada kelas empat kepada tiga.

Dato’ Menteri Besar berkata dalam tempoh berkenaan lebih 67,000 tan metrik sampah dikeluarkan dari sungai berkenaan di bawah projek Gerbang Maritim Selangor (SMG).

“Kerajaan Negeri sudah berbelanja kira-kira RM45 juta untuk membersihkan sungai dengan membina log boom atau perangkap sampah.

“Buktinya, kita dapati jumlah kutipan (sampah) berkurang iaitu 30 hingga 35 tan metrik sehari berbanding sebelumnya antara 40 hingga 50 tan metrik,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari kepada media selepas menyelusuri Sungai Klang dan melawat Taman Awam Pangkalan Batu yang merupakan salah satu daripada lima projek pemangkin di bawah SMG di sini hari ini.

Beliau menambah perkembangan itu juga didorong penggunaan inovasi jentera Interceptor yang menjadi pelengkap kepada usaha pembersihan di perairan sepanjang 56 kilometer dari Midvalley ke muara sungai di Pelabuhan Klang.

Menurutnya, Sungai Klang dipilih sebagai sungai pertama di negara ini menggunakan jentera generasi baharu itu dengan kerjasama The Ocean Cleanup diasaskan Boyan Slat.

“Interceptor diperoleh secara percuma hasil kerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) tersebut untuk memerangkap sampah sarap pelbagai saiz dari dalam sungai,” katanya.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

Gerbang Maritim Selangor dijangka hasil pelaburan RM1 bilion – MB

KLANG, 23 MAC: Kerajaan Negeri menjangka pelaburan berjumlah kira-kira RM1 bilion bakal diperoleh menerusi projek pembangunan Gerbang Maritim Selangor (SMG) di Sungai Klang menjelang 2030.

Dato’ Menteri Besar berkata sungai tersebut dan kawasan tebingnya memiliki prospek besar untuk membuka pelbagai peluang bernilai tinggi kepada pelabur serta peniaga.

“Ketika ini, kita sedang berunding dengan beberapa pihak bagi melaksanakan aktiviti ke arah memacu usaha menghidupkan semula Sungai Klang.

“Sungai sepanjang 56 kilometer sudah kita kenal pasti lokasi seluas 242.811 hektar di bahagian pesisirnya yang berpotensi sebagai kawasan pembangunan pada masa depan,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyelusuri Sungai Klang dan melawat Taman Awam Pangkalan Batu yang merupakan salah satu daripada lima projek pemangkin di bawah SMG di sini hari ini.

Sementara itu, Amirudin berkata empat teras utama digariskan sebagai pemacu utama projek berkenaan merangkumi pembersihan dan ketersambungan sungai serta pembangunan juga pemuliharaan.

“Sudah pasti kita akan lakukan (pembangunan) secara berhemah dan berhati-hati untuk mengekalkan kualiti air Sungai Klang.

“Oleh sebab itu, kita sudah memulakan kerja pembersihan dan menaik taraf di kawasan sungai tersebut,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Jentera Interceptor pelengkap pembersihan Sungai Klang

SHAH ALAM, 29 OKT: Projek Gerbang Maritim Selangor (SMG) menarik perhatian antarabangsa menerusi kerjasama dengan ‘The Ocean Cleanup’ membabitkan penggunaan inovasi jentera Interceptor yang akan dijadikan sebagai pelengkap kepada usaha pembersihan Sungai Klang sedia ada.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, Selangor salah satu daripada dua lokasi di dunia yang menggunakan jentera generasi baharu itu, tidak termasuk Rotterdam di Belanda.

Selain Selangor, katanya, jentera terbabit turut digunakan di Can Tho, Vietnam selepas jentera prototaipnya diuji di Jakarta, Indonesia.

“Teknologi Interceptor berfungsi dengan cara memanfaatkan arus sungai bagi memerangkap sampah sarap terapung di sungai dan bukannya dengan cara mengejar sampah sarap berkenaan.

“Ia boleh memerangkap sampah sarap pelbagai saiz dan tidak mengganggu pelbagai jenis pengangkutan yang menggunakan sungai.

“Menggunakan tenaga solar, sistem ini mudah diselenggara dan berupaya untuk beroperasi secara semi-autonomi 24 jam sehari walaupun dalam keadaan ekstrem,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Selangor Maritime Gateaway (SMG) To A Better Tomorrow di Pusat Konvensyen Shah Alam, di sini, hari ini.

Amirudin Shari melekatkan pelekat harapan kepada Sungai Klang bertulis ‘Bersih dan menjadi sumber air kepada Selangor’ yang ditulis beliau dalam Pelancaran Gerbang Maritim Selangor berlangsung di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), Shah Alam pada 29 Oktober 2019. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) merangkap Pengerusi Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB), Raja Shahreen Raja Othman dan Pengarah Urusan LLSB, Syaiful Azmen Nordin.

Pada majlis sama, Westports Holdings Berhad iaitu sebuah syarikat logistik dan pengendali pelabuhan utama di Pelabuhan Klang memberi sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) berjumlah RM200,000 sebagai menyokong usaha pembersihan sungai oleh SMG.

Amirudin berkata, beliau berharap supaya lebih banyak organisasi akan tampil untuk menjadikan sungai serta pelbagai komuniti dan aspek pelancongan Sungai Klang sebagai anak angkat.

“Saya juga menyeru komuniti peniaga dan pelabur supaya mengambil kesempatan daripada usaha Kerajaan Negeri untuk menghidupkan semula Sungai Klang dan menggunakan projek serta program SMG sebagai batu loncatan untik mengembangkan lagi perniagaan mereka, selain mencari pendapatan baharu.

“Saya mencabar pemaju untuk memulakan merekabentuk hartanah yang menerapkan sungai sebagai sebahagian daripada pelan keseluruhan mereka.

“Sementara itu, perniagaan yang sedia ada di sepanjang sungai perlu mula memikirkan berkenaan manfaat yang bakal diterima dengan menjadikan sungai sebagai laman hadapan perniagaan,” katanya.