Jais gagalkan cubaan hidupkan Al Arqam

RAWANG, 2 NOV : Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) melancarkan operasi serbuan di Bandar Perniagaan RSA Country Homes, Bandar Tasek Puteri di sini malam tadi bagi menggagalkan cubaan didakwa menghidupkan kembali pertubuhan Al Arqam yang diharamkan pada 1994.

Seramai kira-kira 20 hingga 30 orang ditahan Jais dalam serbuan dilakukan pada kira-kira jam 10.00 malam semalam diketuai Ketua Operasinya, Sahrom Maarof bersama anggota penguatkuasa Jais dan polis seramai 70 orang.

Sebuan dibuat berikutan dakwaan satu perhimpunan sambutan Ulangtahun Memperingati Hari Kelahiran bekas pemimpin tertinggi Al Arqam, Allahyarham Ashaari Muhammad anjuran Global Ikhwan Sdn Bhd (Global Ikhwan) di adakan di lokasi terbabit.

Di antara mereka ditahan bagi membantu siasatan pihak berkuasa tersebut ialah beberapa Ahli Lembaga Pengarah dan kaki tangan Global Ikhwan.

Berlaku sedikit kekecohan berikutan anggota penguatkuasa Jais cuba menahan seorang ahli Global Ikhwan dan merampas kameranya yang menyebabkan ramai turut campurtangan dalam insiden berkenaan.

Sementara itu, jurucakap Global Ikhwan, Sallehuddin Abu Bakar berkata, perhimpunan diadakan yang didakwa dihadiri kira-kira 5,000 orang itu adalah semata-mata memperingati hari kelahiran Ashaari atau lebih dikenali sebagai Abuya.

Beliau menjelaskan dakwaan bagi menghidupkan kembali Al Arqam yang diharamkan adalah tidak benar kerana perhimpunan diadakan adalah sekadar jamuan makan malam di kalangan ahli dan tetamu jemputan selain menggerakkan program pertubuhan tersebut.

Menurut Salehuddin, beliau pernah bersama Ashaari ketika bekas ketuanya menyatakan tidak akan menghidupkan kembali Al Arqam biarpun sekiranya diminta berbuat demikian.