Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Water barrier’ tanpa air, ‘buggy car’ bukan go-kart

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 26 SEPT: Insiden kemalangan maut melibatkan penonton ketika Perlumbaan Automatif dan Inovasi Pendidikan (EIMARace) 2016 di Kuantan, semalam, terus menarik perhatian.

Selaku penganjur, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pantas mengeluarkan kenyataan media di Facebook rasminya berhubung insiden yang meragut dua beranak itu.

Naib Canselornya, Profesor Datuk Dr Wahid Omar berkata, langkah keselamatan sudah diambil bagi mengelak kejadian melibatkan penonton seperti meletakkan penghadang air (water barrier), pita keselamatan dan menempatkan anggota keselamatan.

Katanya, segala langkah itu diambil selaras dengan saranan Motorsports Association of Malaysia (MAM) iaitu badan yang menguruskan sukan permotoran di Malaysia.

utmKenyataan itu bagaimanapun menerima reaksi negatif netizen yang menyifatkan ia sebagai kenyataan tidak bertanggungjawab dan sekadar melepaskan diri.

“Nama je water barrier tetapi tidak diisikan air, jadi ‘plastic barrier’ sajalah.

“Tahap keselamatan sangat teruk, cuba tengok tahap keselamatan ‘cub prix’ dengan pagar, beg pasir, tayar dan lain-lain. Mengarut!,” keluh Haire Efendy di ruangan komen di bawah kenyataan UTM itu.

Teguran sama mengenai ‘water barrier’ turut diberikan seorang lagi netizen dengan nama Facebook, Seni Ukiran Kayu Terengganu.

“Cara menggunakan ‘water barrier’ ini salah kerana air tidak diisi ke dalam itu selain ia tidak disambung satu sama lain,” katanya.

Persoalannya, betulkah apa yang ditegur netizen?

Selangor Kini cuba menghubungi beberapa badan dan syarikat yang mengendalikan ‘go-kart’ di sekitar Lembah Klang.

“Itu adalah kenderaan jenis ‘buggy car’ yang dihasilkan pelajar untuk projek universiti bukan ‘go-kart’.

“Harap salah faham orang awam mengenai jenis kenderaan ini dapat diperbetul.

“Apapun, takziah kepada keluarga mangsa dan berharap penganjur dapat mengambil iktibar serta memastikan aspek keselamatan lebih terjamin di masa hadapan,” ulas wakil sebuah badan ‘go-kart’ terkenal yang enggan dinyatakan.

Semalam, menerusi Berita Awani, Pengurus Litar Speedway Plus Go-Kart Circuit, Norshamsul Mat Noor turut berkongsi pandangannya berhubung insiden menyedihkan itu.

Norshamsul turut memperbetulkan persepsi orang ramai bahawa ia bukan perlumbaan melibatkan ‘go-kart’.

Sebaliknya, beliau menegaskan ia adalah ‘project car’ (PC) yang merupakan hasil reka cipta pelajar institut pengajian tinggi (IPT).

“Daripada rakaman, jelas kelihatan PC belakang cuba memotong, namun tayar hadapannya melanggar tayar belakang PC dihadapannya.

go-kart“Keadaan itu mengakibatkan ia hilang kawalan, terbabas lalu merempuh water barrier yang tidak diisi air dan akhirnya merempuh penonton,” katanya mengulas kejadian menerusi rakaman lapan saat yang menjadi viral itu.

Penjelasan itu membawa kembali isu ‘water barrier’.

Kebiasaannya, kata Norshamsul, untuk sebarang perlumbaan, water barrier akan diisi dengan air bagi menjadikan isi padunya padat dan berat.

“Jadi, kalau dilanggar, water barrier akan memberikan impak bagi mengurangkan kelajuan dan kekuatan kenderaan yang merempuh itu.

“Namun, ia tiada air, ibarat kosong dan boleh melambung,” katanya.

Tambahnya, sukan permotoran adalah berbahaya dan memang sentiasa terdedah kepada kemungkinan berlaku insiden tidak diingini terutama kepada penonton.

“Secara umumnya, rempuhan boleh berlaku tetapi kekuatan kereta untuk melepasi ‘water barrier’ agak terbatas jika ia berisi air.

“Water barrier boleh memastikan kereta tidak terlajak kuat sehingga menyeberangi kawasan penonton,” katanya.

Dalam insiden kira-kira 11.30 pagi semalam, Izwan Isa, 39, serta anak perempuannya Nur Zulaikha, 4, maut dirempuh kenderaan ‘project car’ yang hilang kawalan lalu terbabas.

Seorang lagi anaknya, Muhammad Izz Danial, 7, yang turut cedera dalam kejadian itu masih dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan dan dilaporkan stabil.

-NFN-