Categories
AGENDA NASIONAL

Saman masih belum serah, sebutan kes Goldman Sachs 14 Januari

KUALA LUMPUR, 26 DIS: Kes terbitan bon berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bernilai US$6.5 bilion (RM27.2 billion) terhadap Goldman Sachs (Singapore) Pte akan disebut semula di Mahkamah Tinggi di sini pada 14 Januari depan.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan menetapkan tarikh itu di dalam kamarnya, semasa kes berkenaan disebut di hadapannya hari ini.

Timbalan Pendakwa Raya Zaki Asyraf Zubir memberitahu pemberita, penyerahan notis saman oleh pihak pendakwaan terhadap Goldman Sachs (Singapore) masih dalam proses.

“Sehubungan itu mahkamah menetapkan 14 Januari depan untuk sebutan, bagi mengetahui status penyerahan notis saman tersebut terhadap Goldman Sachs (Singapore),” katanya.

Peguam Krishna Dallumah dan Datuk Prem Ramachandran hadir bagi pihak syarikat itu.

Mahkamah sebelum ini menetapkan hari ini untuk mendengar permohonan pihak pendakwaan, untuk memindahkan kes membabitkan Goldman Sachs (Singapore) ke Mahkamah Tinggi.

Pada 16 Disember lepas, hakim Mohamed Zaini membenarkan kes sama membabitkan Goldman Sachs International Ltd, yang berpangkalan di UK dan Goldman Sachs (Asia) LLC berpangkalan di Hong Kong, dipindahkan dari Mahkamah Majistret ke Mahkamah Tinggi.

Pada Disember tahun lepas, Malaysia memfailkan empat pertuduhan terhadap Goldman Sachs, kerana didakwa meninggalkan fakta material berhubung penjualan bon terbitan, antara anak syarikat 1MDB dengan Aabar Investments P.J.S. Limited (Aabar Limited).

Kesalahan itu didakwa dilakukan di 1MDB, Aras 8, Menara IMC, No. 8, Jalan Sultan Ismail, di sini antara 19 Mac 2012, dan 11 November 2013.

Syarikat itu didakwa mengikut Seksyen 179(c) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 dan boleh dihukum menurut Seksyen 182 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun dan didenda tidak kurang daripada RM1 juta, jika sabit kesalahan.

Bekas ahli perbankan Goldman Sachs, Roger Ng Chong Hwa, mengaku tidak bersalah terhadap empat pertuduhan bersubahat dengan syarikat itu berhubung penjualan nota jaminan dan bon yang sama, dengan mengeluarkan fakta material serta mengemukakan pernyataan palsu.

Jabatan Keadilan Amerika Syarikat menganggarkan sekitar US$4.5 bilion diselewengkan daripada 1MDB antara 2009 dan 2014.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

1MDB: Tuduhan jenayah terhadap Goldman Sachs diteruskan

PUTRAJAYA, 12 DIS: Malaysia akan meneruskan tindakan undang-undang terhadap Goldman Sachs Group Inc berhubung kes 1Malaysia Development Bhd (1MDB) walaupun syarikat itu dilaporkan akan membuat bayaran kepada Jabatan Keadilan (DoJ) Amerika Syarikat bagi menyelesaikan kes itu.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata beliau menghubungi Jabatan Peguam Negara yang memaklumkan kes itu dijangka dibicarakan pada pertengahan tahun hadapan.

“Jadi kes ini masih berjalan dan kerajaan Malaysia masih menuntut bayaran sehingga US$7.5 bilion. Ini sebagai balasan ke atas kerugian yang kita (negara) alami berikutan skandal 1MDB hanya daripada Goldman Sachs sahaja.

“Ini yang kita tuntut dan kita akan teruskan dengan tindakan di mahkamah,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Menurut laporan media, Goldman Sachs akan membayar sejumlah US$1.5 bilion hingga US$2 bilion kepada Jabatan Keadilan (DoJ) Amerika Syarikat sebagai penyelesaian kes berkenaan.

Goldman Sachs menghadapi tuduhan jenayah berhubung terbitan bon bernilai US$6.5 bilion berkaitan 1MDB.

Pada 19 Disember 2018, pihak pendakwaan memfailkan empat pertuduhan ke atas Goldman Sachs dan didakwa meninggalkan fakta material berhubung penjualan bon terbitan antara anak-anak syarikat 1MDB dengan Aabar Investments P.J.S. Limited (Aabar Limited).

Syarikat itu dituduh melakukan kesalahan tersebut antara 19 Mac 2012 dan 11 November 2013 di 1Malaysia Development Berhad (1MDB), di Aras 8, Menara IMC, No. 8, Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur, antara 19 Mac 2012 dan 11 November 2013.

Pertuduhan di bawah subseksyen 179(c) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 itu boleh dihukum di bawah Seksyen 182 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda tidak kurang daripada RM1 juta, jika sabit kesalahan.

Pada 19 Disember tahun lalu, bekas ahli perbankan Goldman Sachs, Roger Ng Chong Hwa, 46, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas dakwaan memainkan peranan dalam pengeluaran bon berkaitan 1MDB.

DoJ menganggarkan sekitar US$4.5 bilion diselewengkan daripada 1MDB antara 2009 dan 2014, termasuk sebahagian dana yang dibantu oleh Goldman Sachs.

-BERNAMA

Categories
GLOBAL

CEO Goldman Sachs mohon maaf kepada rakyat Malaysia

BENGALURU: Ketua Pegawai Eksekutif Goldman Sachs Inc, David Solomon, semalam memohon maaf kepada rakyat Malaysia berikutan peranan bekas pegawai bank itu Tim Leissner, dalam skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Bagaimanapun, menurut bank berkenaan, pihaknya sudah melakukan urusan sewajarnya (due diligence) sebelum setiap transaksi dibuat.

Goldman kini sedang disiasat oleh pihak berkuasa Malaysia dan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) di atas peranannya sebagai penaja jamin dan pengatur tiga jualan bon yang mengumpulkan AS$6.5 bilion (RM26.70 bilion) untuk 1MDB.

Pendakwa raya AS pada tahun lalu mendakwa, dua bekas pegawai Goldman mencuri berbilion ringgit dari 1MDB.

Leissner, bekas rakan kongsi Goldman Sachs di Asia, mengaku bersalah terhadap konspirasi untuk penggubahan wang dan melanggar Akta Amalan Rasuah Asing.

“Sangat jelas bahawa rakyat Malaysia telah ditipu oleh banyak individu, termasuk anggota tertinggi kerajaan terdahulu,” kata Solomon dalam sidang membincangkan keputusan suku keempat bank berkenaan.

Solomon berkata, bahawa Leissner menafikan pembabitan mana-mana pengantara Goldman dalam transaksi dengan 1MDB.

Seorang peguam yang mewakili Leissner bagaimanapun masih belum bersedia untuk mengulas sebarang komen.

Roger Ng, antara bekas pegawai bank Goldman yang didakwa, ditahan di Malaysia atas permintaan pihak berkuasa AS dan dijangka akan diekstradisi, demikian menurut John Marzulli, jurucakap bagi pihak pendakwaan.

DOJ sebelum ini menyatakan bahawa sejumlah AS$4.5 bilion (RM18.49 bilion) sudah disalahgunakan oleh pegawai tinggi dana itu dan rakan-rakan sekutu mereka antara 2009 dan 2014.

Sebagai sebahagian daripada urusan kewajaran (due diligence) Goldman, Solomon berkata, bank itu meminta dan menerima jaminan bertulis daripada 1MDB dan International Petroleum Investment Co (IPIC) bahawa tidak ada pihak ketiga yang terbabit dalam penjualan dua bon pertama.

IPIC Abu Dhabi sudah menjamin bon 1MDB apabila ia dikeluarkan pada 2012.

Dalam tawaran akhir, katanya, kerajaan Malaysia sendiri, bersama dengan 1MDB, membuat representasi bahawa tiada perantara yang terbabit

“Semua representasi kepada Goldman Sachs ini, terbukti salah,” kata Solomon.

Goldman Sachs tidak mendedahkan apa-apa maklumat lain mengenai pembabitannya dengan 1MDB, tetapi berkata impak kepada francais pelanggannya adalah “de minimis.”

Saham bank berkenaan, yang melaporkan keputusan suku keempat yang kukuh pada dagangan awal, jatuh lebih 25 peratus dalam tempoh tiga bulan terakhir, selepas muncul berita mengenai pembabitannya dengan dana itu.

Kerajaan Malaysia berkata, pada Disember ia menuntut ganti rugi sebanyak AS$7.5 bilion (RM30.81 bilion) daripada Goldman berhubung urusannya dengan 1MDB.

*Sumber: REUTERS/BHOnline