Categories
AGENDA NASIONAL

SIC dalam peringkat memuktamad lanjutan kontrak anjur MotoGP

KUALA LUMPUR, 3 OGOS: Litar Antarabangsa Sepang (SIC) kini dalam proses untuk memuktamadkan penyambungan kontrak jangka panjang bersama penganjur Grand Prix Motosikal (MotoGP), Dorn Sports.

Meskipun perlumbaan tahun ini dibatalkan susulan Covid-19, Ketua Pegawai Eksekutif SIC Azhan Shafriman Hanif berkata perbincangan itu menampakkan petanda positif untuk Malaysia terus kekal dalam kalendar Kejohanan Dunia, dengan sokongan kuat peminat dan penaja.

“Kontrak semasa untuk menganjurkan MotoGP adalah sehingga 2021, tapi kami di peringkat akhir untuk memuktamadkan penyambungan kontrak untuk jangka panjang. Kami akan umumkan selepas selesai perincian dan dokumen.

“Kami jangkakan tidak mengalami masalah untuk penyambungan, kami bekerjasama dengan mereka sejak 1999 (MotoGP).

“Kami tidak mengalami masalah untuk melanjutkan tempoh, kami telah bekerjasama dengan mereka (MotoGP) sejak tahun 1999. MotoGP mengambil kira peminat Malaysia dan rakan kongsi untuk menyambung kontrak,” katanya pada sidang media maya hari ini.

Sementara itu, Azhan Shafriman berkata peminat yang telah membeli tiket awal untuk menonton aksi MotoGP 2020 yang dijadual pada 30 Oktober hingga 1 November, boleh menghubungi SIC menerusi talian 03-87782222 atau [email protected] untuk tujuan pemulangan wang.

“Kami belum memutuskan sama ada peminat boleh menggunakan tiket mereka untuk tahun depan, kami akan umumkan sebarang maklumat lanjut, namun, peminat boleh menghubungi kami untuk pemulangan wang. Kami mula menjual tiket awal tahun ini tapi menamatkan jualan apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

“Jumlah penjualan tiket adalah antara 20 hingga 30 peratus daripada tahun lepas. Kami bercadang untuk membenarkan 40 peratus daripada jumlah keseluruhan (selepas PKP), namun terpaksa membatalkan perlumbaan demi keselamatan dan kesihatan, memandangkan perlumbaan dengan disaksikan penonton masih belum pasti berlaku,” katanya tanpa mendedahkan angka.

Menurut Azhan Shafriman, pemegang taruh terpaksa membuat keputusan sukar untuk membatalkan perlumbaan demi keselamatan semua susulan situasi tidak menentu Covid-19 serta sekatan perjalanan yang dikenakan oleh kerajaan.

Pada Jumaat lepas, badan pentadbir sukan permotoran – Persekutuan Motosikal Antarabangsa (FIM), Persatuan Pasukan Pelumba Antarabangsa (IRTA) dan Dorna Sports mengumumkan pembatalan perlumbaan Grand Prix Motosikal Malaysia (GP Malaysia) di Litar Antarabangsa Sepang, serta GP Argentina dan Thailand.

Azhan Shafriman berkata kerugian yang dialami susulan pembatalan MotoGP 2020 agak besar, namun SIC telah menubuhkan pasukan petugas khas untuk meneliti perancangan dan alternatif jangka pendek dan pertengahan bagi mengimbangi kerugian dialami.

Bagaimanapun, beliau berkata trek perlumbaan ikonik itu hampir penuh ditempah sehingga hujung tahun ini untuk acara sukan permotoran tempatan, di samping bakal menganjurkan beberapa acara antarabangsa seperti MotoGP, Le Mans Asia dan GT Asia pada 2021.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL SUKANKINI

20 tahun MotoGP bertapak di Sepang

KUALA LUMPUR, 19 APR: Litar Antarabangsa Sepang (SIC) telah menjadi pemangkin pembangunan permotoran di Malaysia seiringi dengan perlumbaan Grand Prix Motosikal (MotoGP) yang menandakan genap 20 tahun di Sepang semalam yang membangkitkan minat baharu di kalangan rakyat Malaysia kepada sukan permotoran.

“Secara semulajadi, kejayaan memiliki pasukan MotoGP sepenuhnya adalah luar biasa dan saya sangat bangga untuk menjadi sebahagian daripada sejarah ini.

“Tetapi secara jujur, saya tidak melihat ini sebagai kemuncak untuk pembangunan sukan permotoran di Malaysia. Lebih banyak peristiwa yang lebih hebat akan berlaku pada masa akan datang terutama dalam sukan permotoran di Malaysia. Bagi MotoGP masa depannya bersinar terang untuk Malaysia,” kata Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali yang juga Team Principal Petronas Yamaha Sepang Racing Team.

Razlan dalam satu kenyataan berkata, bahawa detik-detik bersejarah dilakar oleh Malaysia dalam MotoGP apabila SuperKIP (Khairul Idham Pawi) mengungguli Grand Prix Argentina dan Jerman dalam Moto3, Zulfahmi Khairuddin menduduki tangga kedua di Sepang dan hampir menang pada 2012 serta Hafizh Syahrin Abdullah menduduki podium dalam Moto2 dan menjadi rakyat Malaysia pertama dalam sejarah beraksi dalam kelas MotoGP.

“Akan ada pencapaian yang lebih besar pada masa akan datang jika kita terus berusaha membina kejayaan dan minat MotoGP yang semakin meningkat di Malaysia,” katanya.

Razlan mengakui bahawa Zulfahmi adalah pencetus perubahan dalam sejarah MotoGP Malaysia apabila SIC mengambil langkah lebih berani untuk meletakkan pelumba muda Zulfahmi pada musim penuh dalam kelas 125cc menggunakan jentera Aprilia di bawah Air Asia-Litar Antarabangsa Sepang.

“Dia ketika itu bukan pelumba handalan Malaysia, tetapi beliau mencetuskan minat terbesar dalam permotoran apabila semain ramai rakyat Malaysia mengikuti jejaknya pada kejohanan dunia dan Malaysia kini berbangga mempunyai pasukan MotoGP sendiri dan kejayaan Hafizh Syahrin beraksi dalam kelas MotoGP, benar-benar mengagumkan, ” katanya.

Beliau berkata ketika Sepang meraikan 20 tahun dalam MotoGP, mungkin secara kebetulan Petronas Yamaha Sepang Racing Team memiliki nombor 20 sebagai nombor persaingan dalam kelas MotoGP utama dengan penyertaan Fabio Quartararo berusia 19 tahun.

“Musim 2019 diharap akan menjadi istimewa untuk Malaysia, yang akan menganjurkan Shell Malaysia MotoGP dari 1 hingga 3 November,” katanya.

Sejak 1991, Grand Prix Motosikal Dunia atau MotoGP seperti dikenali sekarang, telah diadakan di Litar Batu Tiga, Shah Alam dan Litar Johor di Pasir Gudang.

Selepas perasmian SIC, kejohanan dunia menemukan venue baharu yang menyaksikan peningkatan populariti di Malaysia, terutama selepas memperkenalkan Program Wildcard kebangsaan oleh SIC pada 2009.

MotoGP sulung di SIC adalah pembuka tirai bagi musim 1999, dan ia bermula pada 17 April dengan sesi latihan bebas untuk semua ketiga-tiga kategori 125cc, 250cc dan 500cc.

Kenny Roberts Jr dari Suzuki Grand Prix Team dinobatkan sebagai pemenang pertama kelas 500cc pada April 1999. Kelas 250cc dimenangi oleh pelumba Itali, Loris Capirossi sementara pelumba Jepun, Masao Azuma mengungguli perlumbaan 125cc.

SUMBER: BERNAMA

FOTO EHSAN: LITAR ANTARABANGSA SEPANG (SIC)