Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Air laut pasang besar rekod paras tertinggi 20 tahun, keadaan terkawal

SHAH ALAM, 18 OKT: Fenomena air laut pasang besar di Selangor setakat hari ini direkodkan tertinggi sejak 20 tahun lepas, apabila mencatat bacaan ketinggian paras air laut 5.8 meter, pada 6.50 pagi tadi.

Pegawai Operasi Unit Pengurusan Bencana Negeri (UPBN) Selangor Muhammad Izzat Haziq Mohd Nazir berkata fenomena lazim berlaku setiap tahun melanda lima daerah di negeri itu bagaimanapun tidak melibatkan pemindahan penduduk ke pusat pemindahan sementara (PPS) setakat 11 pagi tadi.

“Berlaku limpahan kecil air di kawasan penempatan berhampiran pantai di lima daerah iaitu Kuala Selangor, Klang, Kuala Langat, Sabak Bernam dan Sepang pagi tadi namun kini ia sudah mulai surut.

“Di Kuala Selangor berlaku kejadian hakisan ban dan benteng di Kampung Sungai Janggut, Jeram dan beberapa rumah telah dimasuki air sehingga paras betis akibat limpahan air laut.

Yap Yong Ho, 22, mengeluarkan air bertakung di dalam kasut ketika menyeberang kawasan halaman rumah beliau yang dinaiki air berikutan fenomena air pasang besar di Kampung Sungai Janggut, Klang pada 18 Oktober 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

“Hanya sedikit limpahan kecil juga dikesan melepasi ban atau benteng di kawasan Bagan Pasir Tanjung Karang, jalan masuk Apartment Budiman, rekreasi pantai Sungai Kajang, Jalan Sungai Dungun, Kampung Tok Adam, Bagan Sungai Janggut, Kampung Bagan Sungai Kajang, Jeti Nelayan Sungai Kajang, Pekan Sungai Buloh Sasaran dan Jalan Taman Senangin Sasaran di sekitar daerah ini,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Muhammad Izzat Haziq berkata terdapat runtuhan kecil di Ban Kampung Nelayan Telok Gong, Pelabuhan Klang, Klang dan pihak Jabatan Pengairan dan Saliran negeri akan melaksanakan pembaikan dalam kadar segera.

“Beberapa kawasan di daerah itu turut dikesan mengalami limpahan air iaitu antaranya kawasan Ban Sungai Keramat Kampung Batu 4, Ban Batu 7 (Kampung Sementa), Kampung Tok Muda, Pengkalan Nelayan Batu 7 Kampung Sementa, Pengkalan Nelayan Kampung Sementa, Jalan Banting Pandamaran, Pengkalan Sungai Udang Kampung Baru Telok Gong dan Kampung Tradisi dan Kampung Pendamar,” katanya.

Muhammad Izzat Haziq berkata cuaca yang cerah dan ketiadaan hujan antara faktor yang menyebabkan fenomena air laut pasang di lima daerah tersebut dalam keadaan terkawal.

Fenomena air laut pasang besar yang melanda pesisir pantai di lima daerah di Selangor bermula semalam hingga esok, serta diramal berlaku pada 15 dan 16 November.

-BERNAMA

 

Categories
NASIONAL SUKANKINI

20 tahun MotoGP bertapak di Sepang

KUALA LUMPUR, 19 APR: Litar Antarabangsa Sepang (SIC) telah menjadi pemangkin pembangunan permotoran di Malaysia seiringi dengan perlumbaan Grand Prix Motosikal (MotoGP) yang menandakan genap 20 tahun di Sepang semalam yang membangkitkan minat baharu di kalangan rakyat Malaysia kepada sukan permotoran.

“Secara semulajadi, kejayaan memiliki pasukan MotoGP sepenuhnya adalah luar biasa dan saya sangat bangga untuk menjadi sebahagian daripada sejarah ini.

“Tetapi secara jujur, saya tidak melihat ini sebagai kemuncak untuk pembangunan sukan permotoran di Malaysia. Lebih banyak peristiwa yang lebih hebat akan berlaku pada masa akan datang terutama dalam sukan permotoran di Malaysia. Bagi MotoGP masa depannya bersinar terang untuk Malaysia,” kata Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali yang juga Team Principal Petronas Yamaha Sepang Racing Team.

Razlan dalam satu kenyataan berkata, bahawa detik-detik bersejarah dilakar oleh Malaysia dalam MotoGP apabila SuperKIP (Khairul Idham Pawi) mengungguli Grand Prix Argentina dan Jerman dalam Moto3, Zulfahmi Khairuddin menduduki tangga kedua di Sepang dan hampir menang pada 2012 serta Hafizh Syahrin Abdullah menduduki podium dalam Moto2 dan menjadi rakyat Malaysia pertama dalam sejarah beraksi dalam kelas MotoGP.

“Akan ada pencapaian yang lebih besar pada masa akan datang jika kita terus berusaha membina kejayaan dan minat MotoGP yang semakin meningkat di Malaysia,” katanya.

Razlan mengakui bahawa Zulfahmi adalah pencetus perubahan dalam sejarah MotoGP Malaysia apabila SIC mengambil langkah lebih berani untuk meletakkan pelumba muda Zulfahmi pada musim penuh dalam kelas 125cc menggunakan jentera Aprilia di bawah Air Asia-Litar Antarabangsa Sepang.

“Dia ketika itu bukan pelumba handalan Malaysia, tetapi beliau mencetuskan minat terbesar dalam permotoran apabila semain ramai rakyat Malaysia mengikuti jejaknya pada kejohanan dunia dan Malaysia kini berbangga mempunyai pasukan MotoGP sendiri dan kejayaan Hafizh Syahrin beraksi dalam kelas MotoGP, benar-benar mengagumkan, ” katanya.

Beliau berkata ketika Sepang meraikan 20 tahun dalam MotoGP, mungkin secara kebetulan Petronas Yamaha Sepang Racing Team memiliki nombor 20 sebagai nombor persaingan dalam kelas MotoGP utama dengan penyertaan Fabio Quartararo berusia 19 tahun.

“Musim 2019 diharap akan menjadi istimewa untuk Malaysia, yang akan menganjurkan Shell Malaysia MotoGP dari 1 hingga 3 November,” katanya.

Sejak 1991, Grand Prix Motosikal Dunia atau MotoGP seperti dikenali sekarang, telah diadakan di Litar Batu Tiga, Shah Alam dan Litar Johor di Pasir Gudang.

Selepas perasmian SIC, kejohanan dunia menemukan venue baharu yang menyaksikan peningkatan populariti di Malaysia, terutama selepas memperkenalkan Program Wildcard kebangsaan oleh SIC pada 2009.

MotoGP sulung di SIC adalah pembuka tirai bagi musim 1999, dan ia bermula pada 17 April dengan sesi latihan bebas untuk semua ketiga-tiga kategori 125cc, 250cc dan 500cc.

Kenny Roberts Jr dari Suzuki Grand Prix Team dinobatkan sebagai pemenang pertama kelas 500cc pada April 1999. Kelas 250cc dimenangi oleh pelumba Itali, Loris Capirossi sementara pelumba Jepun, Masao Azuma mengungguli perlumbaan 125cc.

SUMBER: BERNAMA

FOTO EHSAN: LITAR ANTARABANGSA SEPANG (SIC)

Categories
NASIONAL SELANGOR

Kerajaan Selangor Tunaikan Impian Penduduk Batu Caves Dapatkan Tanah

hak milik tanah 5A batu caves 01

BATU CAVES, 22 MAC: Hasrat penduduk Kampung Nahkoda dan Kampung Melayu Batu Caves Selatan untuk memiliki tanah akhirnya terlaksana dan membuktikan sekali lagi bahawa Kerajaan Selangor prihatin terhadap tuntutan rakyat.

Pemberian ini akhirnya menamatkan penantian hampir 20 penduduk setempat yang selama ini berjuang untuk mendapatkan hak mereka walaupun impian itu berkali-kali tidak ditunaikan oleh Umno-BN.

Muhammad Razali Abdullah dari Kampung Bendahara nyata gembira dengan harga premium RM 1,000 yang dikenakan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor.

“Alhamdulillah kami akhirnya dapat hak milik tanah yang selama 20 tahun kami tunggu. Saya ucapkan berbanyak terima kasih kepada Datuk Menteri Besar (Tan Sri Abdul Khalid).

“Kita telah lama menunggu tetapi prosesnya kami tidak mendapat apa-apa berita. Dahulunya kami berjuang untuk mendapat harga premium yang rendah tetapi menunggu lama,” katanya apabila ditemui.hak milik tanah 5A batu caves 02

Bagi Talib Shaari yang juga dari Kampung Bendahara, pelbagai alasan diberikan oleh pentadbiran Umno-BN selain diskriminasi politik yang perlu dihadapi dahulu ketika memohon hakmilik.

“Alasan mungkin politik. Dekat pilihan raya janji, tidak diselesaikan. Setelah Pakatan Rakyat selama lima tahun (mentadbir) perkara ini akhirnya berjaya diselesaikan. Terima kasih banyak-banyak,” katanya dengan nada gembira.

Perasaan gembira turut dizahirkan oleh Satiabama Thangaveloo yang lega akhirnya impian untuk memiliki hak milikan tanah tercapai.

hak milik tanah 5A batu caves 03Mereka ditemui selepas majlis Penyerahan Hak Milik Kampung Bendahara dan Penyampaian Notis Borang 5A Kampung Melayu Batu Caves Selatan di sini tadi.

Di dalam majlis yang disempurnakan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, seramai 18 orang menerima dokumen tawaran hak milik tanah atau dikenali sebagai Borang 5A.

Pada masa yang sama, 118 orang menerima geran tanah.

Turut hadir, Exco Perumahan Selangor, Iskandar Abdul Samad, Ahli Parlimen Gombak, Azmin Ali, Ahli Parlimen Selayang, William Leong dan Adun Batu Caves, Amirudin Shari.

Di dalam ucapannya Abdul Khalid mengingatkan rakyat Selangor supaya memanfaatkan tawaran premium RM 1,000 bagi geran tanah.

“Kerajaan suka milik tanah juga. Saya minta Pegawai Daerah dengan ketua kampung turun padang dan melihat mereka yang belum jelaskan bayaran tersebut.

“Kalau tidak dapat bayar, kita akan bagi usaha mereka bayar. Kalau mereka tidak mahu bayar kerana tidak mahu tanah, saya berbesar hati kerana ramai di Gombak yang mahukan tanah,” katanya.

Dalam penggal pertamanya Kerajaan PR Selangor telah berjaya memberikan lebih 104,000 geran tanah kepada rakyat Selangor.