Categories
AGENDA SUKANKINI

Hafizh Syahrin teroka bidang fesyen, jadi duta Primavalet

KUALA LUMPUR 16 JAN: Pelumba Moto 2 negara Hafizh Syahrin Abdullah memilih fesyen sebagai bidang baharu untuk diterokai selaku duta Primavalet bagi 2020.

Beliau menjadi atlet serta pelumba motosikal pertama negara dipilih sebagai duta jenama itu.

“Ini permulaan untuk industri ini dan saya akan belajar. Ini juga satu daripada cara yang boleh bantu saya uruskan diri demi masa depan.

“Primavalet berikan saya semangat untuk teruskan 2020 ini,” katanya pada majlis menandatangani perjanjian itu di sini hari ini.

Beliau mengalu-alukan pihak yang sudi menajanya biarpun di pertengahan musim perlumbaan.

-BERNAMA

Categories
SELANGOR SUKANKINI

Anugerah BKS cetus semangat baharu Hafizh Syahrin

OLEH AFIX REDZUAN

KLANG, 11 DIS: Pelumba MotoGP negara, Hafizh Syahrin Abdullah merafak sembah menjunjung kasih ke bawah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah atas perkenan menganugerahkan Bintang Kecemerlangan Sukan Selangor (BKS).

Katanya, anugerah ini bakal menjadi pemangkin semangat buatnya untuk beraksi lebih cemerlang selepas ini selain memberikan tunjuk ajar kepada anak muda Selangor menceburi bidang sukan permotoran.

“Syukur Alhamdulillah di atas penganugerahan BKS dan saya ingin mengucapkan selamat menyambut Ulang Tahun Keputeraan ke-73 buat DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah.

“Anugerah ini memberikan semangat untuk meneruskan karier sebagai wakil Negeri Selangor dan saya akan sentiasa berikan 100 peratus dan semangat kepada anak muda Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas berakhirnya Istiadat Pengurniaan Darjah Dan Bintang Kebesaran Negeri Selangor Darul Ehsan Sempena Menyambut Ulang Tahun Keputeraan Ke-73 Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Balai Rungseri, Istana Alam Shah.

Mengulas mengenai persediaan musim hadapan, anak kelahiran Ampang ini berkata beliau akan kembali menjalani latihan Januari ini sebagai persediaan menghadapi musim 2019 yang bermula pada Mac di Qatar.

Buat masa ini, beliau lebih menumpukan aktiviti sukan sepanjang tempoh rehat dua bulan bagi menjaga stamina dan kesihatan menjelang pembukaan musim baharu.