Categories
SUKANKINI

Penstrukturan semula hak penyiaran beri manfaat kelab kecil

KUALA LUMPUR, 5 JUL: Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) memberi jaminan bahawa kelab kecil akan turut menerima manfaat menerusi struktur baharu hak penyiaran yang berkuat kuasa musim hadapan.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam berkata kelab-kelab kecil yang tidak memiliki kelompok penyokong besar, tidak akan ketinggalan jauh dari segi pendapatan dengan pasukan berstatus gergasi tanah air.

“Tidak ada. Misalnya satu kelab yang besar itu mungkin mendapat sebahagian daripada sumbangan penyokong mereka yang menyumbang terus kepada kelab manakala sebahagian lagi sumbangan akan dikongsikan kepada semua pasukan (yang bertanding di Liga Malaysia).

“Jadi jika kelab-kelab besar lebih berjaya, kelab kecil juga akan mendapat imbuhannya. Itu adalah kebaikan ‘centralize marketing’ program yang MFL lakukan,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan MFL, hari ini.

Pada masa sama, Kevin percaya pendekatan baharu ini bukan sahaja memberi manfaat kepada bola sepak tempatan, tetapi ia turut memberi impak kepada sukan-sukan lain menerusi platform penstrukturan baharu hak penyiaran.

“MFL akan cuba sedaya upaya untuk menjadi peneraju dalam industri sukan tempatan kita ini.

“MFL turut berharap model yang digunakan ini untuk mengagihkan hak-hak siaran terus kepada penyokong dan penonton akan menjadi satu dorongan yang bagus untuk kemajuan bola sepak dan sukan lain di Malaysia,” katanya.

MFL pada Khamis mengumumkan kemasukan rakan kongsi baharu Enervive Consultancy Sdn Bhd (EVC) dalam penstrukturan hak penyiaran Liga Malaysia bermula musim 2020.

Menerusi penstrukturan semula, Liga Malaysia bakal menyaksikan hak penyiaran Liga Malaysia secara terus kepada pengguna khususnya penyokong bola sepak tempatan. – BERNAMA

Categories
SUKANKINI

Setiap pasukan dapat hak penyiaran sama bermula musim 2020

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 4 JUL : Kemasukan rakan kongsi baharu Enervive Consultancy Sdn Bhd (EVC) dalam penstrukturan hak penyiaran Liga Malaysia bermula musim 2020 bakal menyaksikan setiap pasukan bertanding menerima hak penyiaran sama seperti musim lalu bagi musim ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Football League (MFL), Kevin Ramalingam berkata, penstrukturan itu membabitkan RM3 juta bagi pasukan Liga Super, manakala RM1 juta bagi pasukan Liga Premier sebelum 15 Julai ini.

Katanya, pembayaran hak penyiaran akan dibuat sebanyak dua kali dengan pembayaran pertama bermula pada bulan ini disusuli pembayaran akhir, pada 15 Ogos depan.

“Kami percaya langkah baharu ini akan dapat membantu menjana pendapatan pasukan dengan lebih efektif apabila MFL tidak terlalu bergantung kepada mana-mana syarikat penaja dan stesen televisyen seperti yang dilakukan pada musim-musim lalu.

“Sekarang, masa depan bola sepak Malaysia di tangan peminat di mana peranan mereka diibaratkan sebagai pemegang taruh kepada kelab masing-masing dengan menjana kewangan pasukan apabila setiap duit yang dibayar untuk melanggan perkhidmatan ini akan terus masuk ke kantung setiap pasukan bertanding di Liga Malaysia.

“Jika penyokong mahu pasukan mereka memiliki kewangan kukuh dan memiliki pemain yang baik, mereka harus memainkan peranan kepada pasukan mereka,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Enervive Group of Companies, Muhammad Nizamuddin Abdul Hamid berkata, EVC sebagai firma pelaburan butik dan kini terbabit sebagai penasihat serta pengurusan hak sukan optimis dengan hala tuju selain perancangan diatur badan pentadbir Liga Malaysia itu.

Katanya, langkah penstrukturan hak penyiaran MFL memberi manfaat besar kepada industri bola sepak tanah air.

“Kami amat berterima kasih dan dalam masa yang sama teruja menerusi kerjasama dengan MFL ini di mana saya percaya ia menjadi satu permulaan yang cukup positif ke arah perkembangan bola sepak Malaysia.

“Saya percaya MFL perlu berani melakukan pembaharuan untuk menyokong perkembangan pasukan Liga Malaysia dan kami di sini akan bersama-sama merealisasikan perancangan ini.

“Ia bukan sesuatu yang mustahil untuk dijayakan kerana kita tahu dan percaya bahawa industri bola sepak Malaysia cukup besar untuk diteroka dan pendekatan untuk memberi kepercayaan kepada penyokong dalam sama-sama membantu perkembangan pasukan masing-masing adalah pendekatan cukup positif,” katanya.